Tuesday, July 27, 2010

UNGGAS Sokong Tapisan Ke atas Bahan Pornografi Di Internet

Perdebatan tentang penapisan bahan pornografi di Internet kembali hangat. Sudah tentu perdebatan ini tidak akan berhenti selagi masih banyak kes-kes seks bebas, sumbang mahram, cabul, buang bayi dan rogol berlegar di dada-dada akhbar dan dikaca televisyen. Apatah lagi, laporan demi laporan yang dikeluarkan oleh Universiti-universiti, Jabatan-jabatan Kerajaan dan NGO-NGO sungguh membimbangkan dan membayangkan betapa getirnya masa depan negara yang diserang kerosakan akhlak. Tidak dapat dinafikan lagi, hubungkait lambakan bahan-bahan pornografi ini dengan kerosakan sosial masyarakat. Dalam hal ini, Pada 6 Mac 2010 yang lalu, Urusetia Menangani Gejala Sosial (UNGGAS) pernah mengeluarkan satu laporan bertajuk ‘Penularan Video Lucah Tempatan Melalui Internet Dan Telefon Bimbit’. Datuk Seri Dr Rais Yatim telah memberi maklum balas menerusi surat kepada kami bahawa Kementeriannya akan sedaya upaya untuk membanteras gejala ini dengan undang-undang yang sedia ada. Namun, penyebaran bahan pornografi ini masih terjadi kerana kawalan yang sedia ada dilihat masih lemah.

Merujuk kepada kenyataan Datuk Seri Dr Rais Yatim didalam akhbar The Star pada 25 Julai bahawa sekatan pornografi di internet harus dilaksanakan, UNGGAS sekali lagi menyokong penuh langkah ini. Dengan ini, pihak kerajaan diharapkan dapat terus melaksanakan usaha ini dengan sewajarnya supaya ia tidak menjadi lebih buruk. Walaupun hak untuk kebebasan media perlu ditegakkan, namun di negara ini, ia perlu dilihat daripada kaca mata masyarakat timur. Kebebasan secara total seperti yang dibawa oleh dunia barat sebenarnya hanya akan membinasakan sistem sosial masyarakat yang teratur. Perkara ini telah berlaku di barat. Tiada ertinya sesuatu kemajuan itu jika maruah dan jati diri masyarakat tergadai. Oleh itu, kawalan terhadap penyebaran bahan lucah tempatan dan luar negara sepatutnya dilaksanakan. Sistem seperti tapisan ‘Green Dam’ yang dilaksakan di China, Arab Saudi, dan juga beberapa negara lain perlu dicontohi dengan sedikit pengubahsuaian. Kerajaan perlu ikhlas dan bertanggjawab dalam melaksanakan tugas ini, hanya bahan-bahan yang merosakkan moral perlu dikawal, bukan bahan-bahan lain yang bersifat ada kepentingan tersembunyi pihak-pihak tertentu. Pihak berkuasa yang berkenaan sudah tentu lebih arif bagaimana untuk mengawal kegiatan ini daripada terus membinasakan jati diri masyarakat. Pihak kerajaan perlu tegas dan tidak tunduk kepada mana-mana pihak yang jelas sudah terpengaruh dengan dokma barat yang menolak polisi moral.

Apa yang jelas, majoriti rakyat pasti akan bersetuju agar sekatan terhadap bahan-bahan lucah di internet dilaksanakan segera. Lakukanlah tinjauan pendapat umum di peringkat akar umbi, saya yakin majoriti rakyat yang sudah muak dengan bahan-bahan pornografi ini dan kesan-kesannya pasti akan menyokong kuat tindakan sekatan ke atas pornografi di internet. Oleh itu, situasi penularan video lucah dan kesannya kepada masyarakat perlu didedahkan secara agresif di media-media semasa agar masyarakat faham.

Nurfitri Amir Muhammad
Ko-ordinator,
Urusetia Menangani Gejala Sosial Pulau Pinang.

No comments:

Post a Comment