Sunday, May 30, 2010

Curi Duit Orang Bodoh


Kaki Judi

Tahun 90’an dulu, di kampong-kampung ada sekeping papan judi, atasnya di’stapler’ bungkusan-bunkusan, dalam bungkusan ada ‘cekedis’, dibalik cekedis ada nombor. Siapa ‘tikam’ mengena dapat pistol air, kalau tak kena cuba lagi, tak mahal, sekupang je, sekupang demi sekupang, duit sekolah mak bagi dah habis, curi duit kawan nak makan waktu rehat, kawan dapat tahu ajak bergaduh, gaduh punya gaduh dia menang, bila dah menang jadi ‘gangster’ sekolah.

Tahun 2010, dah ada internet, nak ‘tikam’ tak payah keluar rumah, nanti orang nampak malu, click sana click sini boleh dapat tiket, tak mahal seribu je, seribu demi seribu, duit gaji dah habis, bila tension pukul bini, jual kereta jual rumah jual bini jual anak.

Berjaya Group dapat duit, nama pun Berjaya berjayalah jua, berjaya curi duit orang bodoh…

Saturday, May 29, 2010

'PASCAMODEN' Kepincangan Sistem Kapitalis-Liberal




Oleh: YAMIN CHENG

Pascamoden adalah satu ungkapan mutakhir yang merujuk kepada wajah dunia kini. Menurut kacamata Barat, dunia telah melalui empat era, termasuk yang terkini yang dinamakan sebagai era pascamoden. Tiga era yang terdahulu ialah era silam, era pertengahan dan era moden.

Era silam dikatakan mewajahi dunia dengan legenda dan mitos, era pertengahan dengan keagamaan, era moden dengan akal, dan era pascamoden dengan hermeneutik, atau tafsiran peribadi tentang segala yang ada.

Lima perkara pokok yang membentuk wajah dunia ialah realiti, kebenaran, ilmu, sejarah dan diri. Realiti merujuk kepada persoalan tentang hakikat kewujudan dunia, sama ada dunia ini hanya semata juzuk kebendaan ataupun mempunyai dimensi yang lebih dari itu.

Kebenaran merujuk kepada pengesahan terhadap realiti dunia, dan ini bergantung kepada sumber kebenaran, sama ada ia legenda dan mitos, periwayatan, akal, ataupun wahyu. Ilmu merujuk kepada titik temu diri dengan kebenaran dari segi padanan kebenaran dengan diri dan sebaliknya.

Sejarah merujuk kepada dunia sebagai persada titik temu segala yang terdapat di dalamnya, dan titiktemu ini memberikan satu gambaran tentang perencanaan dunia, termasuk sama ada ia mempunyai corak yang berulang ataupun ia bersifat rambang.

Diri merujuk kepada persoalan tentang kewujudan jati seseorang, seperti persoalan tentang sama ada kejatian dirinya adalah melalui kelahiran ataupun ianya bergantung kepada faktor persekitaran, seperti budaya dan sejarah.

Pascamoden yang berpangkalankan hermeneutik sebagai tafsiran wajahnya menolak segala pandangan tentang dunia sebelumnya. Lebih tepat dikatakan bahawa ia tidak ada ketetapan tentang wajahnya. Wajahnya bergantung kepada tafsiran peribadi seseorang.

Dalam ertikata lain, wajah dunia bukanlah sesuatu yang bersifat objektif, yakni, ia bukanlah sesuatu yang wujud berasingan daripada diri seseorang.

Sebaliknya, ia adalah sesuatu yang dilahirkan dari persepsi seseorang tentangnya. Jikalau falsafah dan sains moden mengajar bahawa dunia adalah sebuah misteri terselindung di sebalik pengetahuan manusia namun boleh diketahui melalui kaedah analisis dan empirik, kaedah hermeneutik mengandaikan bahawa pada hakikatnya, tidak wujud apa-apa di sebalik pengetahuan itu.

Sebaliknya apa yang ada pada dunia adalah hasil janaan manusia terhadapnya melalui imaginasi dan wacana. Wajah dunia bukanlah sesuatu yang dicari dan ditemui tetapi dicipta. Dengan itu, dunia bukanlah sesuatu yang objektik dari diri seseorang, tetapi subjektif pada dirinya.

Implikasi dari hermeneutik sebagai wajah dunia membawa kepada pemahaman baru tentang kelima perkara pokok yang membentuk wajahnya. Realiti sebagai sesuatu yang objektif, kekal, abadi, stabil, dan universal kini hanya tinggal kekosongan yang hakikatnya diisi oleh imaginasi dan wacana manusia mengenainya.

Walaupun manusia dalam suatu zaman hidup dalam ruang dan waktu yang sama, tetapi oleh sebab pengalaman mengenai ruang dan waktu itu berbeza di antara satu dengan yang lain, maka persepsi dirinya tentang persekitarannya pun berbeza.

Justeru realiti yang dijanakan oleh pengalamannya adalah realiti yang hanya relatif kepada dirinya sahaja dan tidak semestinya realiti yang sama untuk orang lain. Inilah yang dikatakan surreality dan virtual reality di mana realiti itu hanyalah kesamaran yang mendatangkan rasa ya atau tidak tentang adanya ia atau tidak.

Dalam ertikata lain, realiti itu hanyalah maya. Oleh kerana realiti itu adalah maya kerana ia bergantung kepada pengalaman seseorang untuk menentukan status realitinya, ia juga tidak semestinya realiti yang kekal sama untuk orang itu sepanjang waktu.

Ini adalah kerana pengalaman seseorang tentang persekitarannnya boleh berubah dari semasa ke semasa. Maka setiap kali pengalamannya berubah, persepsinya tentang dunia pun berubah. Dengan itu, realiti yang kini untuknya tidak semestinya realiti yang sama kepadanya di masa akan datang. Namun oleh kerana pengalaman tidak semestinya berubah secara radikal atau mendadak, cebisan dari pada pengalaman yang terdahulu akan dibawa kepada pengalaman yang seterusnya. Inilah yang mendatangkan kesangsian kepadanya sama ada realiti yang dialaminya dahulu adalah sama dengan realiti yang dialaminya sekarang. Justeru realiti itu berkemungkinan banyak.

Realiti yang berderet banyak hasil dari satu pengalaman kepada satu pengalaman yang seterusnya ini menjadikan satu realiti simulasi kepada realiti yang seterusnya. Realiti yang sebelumnya mensimulasi realiti yang selepasnya supaya mereka kelihatan seiras tetapi pada hakikatnya tidak.

Realiti yang sedemikian sifatnya secara umum boleh diistilahkan sebagai simulakra, atau realiti maya yang disimulasikan dari pengalaman seseorang dari persekitarannya dan dipancarkan kepada pengalaman realitinya yang seterusnya.

Kebenaran dalam faham selama ini merujuk kepada perakuan tentang sesuatu perkara atau benda. Perakuan ini melibatkan persetujuan di antara yang mengaku dan yang diakui. Namun persetujuan ini hanya berkemungkinan jika kedua pihak yang mengaku dan diakui memiliki status diri yang stabil dan tidak berubah. Tetapi dalam realiti maya, ini tidak berkemungkinan kerana tanggapan isi kandungannya senantiasa berubah mengikut pengalaman seseorang mengenainya. Dalam ertikata lain, realiti maya bermakna kebenaran juga adalah maya. Ini sama seperti mengatakan bahawa pada hakikatnya, kebenaran itu sebenarnya tidak ada. Oleh kerana kebenaran tidak berkemungkinan ada, yang hanya tinggal hanyalah pandangan yang relatif tentang apa yang berkemungkinan ada.

Ini dikatakan perspektif, atau sudut pandangan. Maka itu, dalam pandangan pascamoden, kebenaran hanyalah perspektif, dan tidak lebih dari itu.

Ilmu adalah titik temu segala yang wujud dalam satu rangkaian hubungan antara satu dengan yang lain secara serasi.

Rangkaian hubungan ini pula menghasilkan struktur makna yang menyeluruh tentang zat dan sifat yang diketahui. Makna adalah pengertian yang berkemungkinan oleh pancaindera kerana terdapat keserasian dalam hubungan rangkaian yang disebutkan.

Namun oleh kerana realiti dan kebenaran adalah maya dan tidak stabil, ilmu juga tidak berkemungkinan. Ini adalah kerana rangkaian hubungan di antara yang diketahui tidak boleh membentuk satu struktur makna yang tetap dan stabil. Apa yang berkemungkinan adalah struktur makna yang beralih. Oleh sebab itu, maklumat yang dihasilkan mengenai suatu sasaran pengetahuan terdedah kepada pelbagai tafsiran yang mungkin mengenainya. Di dalam istilah pascamoden, ini dikatakan naratif, atau pengkisahan.

Pengkisahan adalah bacaan tentang yang berkemungkinan dikatakan ilmu.
Sejarah yang dimaksudkan di sini bukanlah semata sebuah mata pelajaran mengenai peristiwa silam suka-duka kehidupan manusia dari zaman ke zaman, tetapi tentang persoalan sama ada peristiwa yang berlaku mempunyai corak keberlakuan yang berulang ataupun rambang. Sejarah mempunyai dua wajah, kronologi dan genealogi. Kronologi ialah aspek sejarah yang berkaitan dengan urutan peristiwa dari satu tempoh ke satu tempoh yang lain. Sehingga era moden, sejarah masih dianggap sebagai mempunyai urutan yang mencerminkan kemajuan manusia dari tahap primitif ke tahap yang lebih tinggi.

Zaman silam dianggap zaman yang lebih mundur berbanding dengan zaman pertengahan, dan zaman pertengahan dianggap lebih mundur dari zaman moden. Genealogi pula adalah aspek sejarah yang berkaitan dengan asal-usul sumber sesuatu peristiwa. Sebagai contoh, sehingga era moden, kebanyakan sejarah ditulis oleh kaum lelaki. Tetapi pada hari ini, penulisan sejarah oleh kaum lelaki dipertikaikan oleh setengah kaum wanita yang melihat sumbangan wanita kepada sejarah diabaikan.

Pascamoden menolak kedua tanggapan sejarah ini yang membentuk apa yang dinamakan sebagai universal history, atau sejarah yang sejagat. Bagi pascamoden, universal history tidak wujud kerana sejarah adalah pengkisahan semata dan pengkisahan tidak semestinya mencerminkan sebab-musabab yang sebenarnya kenapa sesuatu peristiwa berlaku. Malah, menurut pascamoden, sejarah cumalah kecenderungan memihak suatu golongan manusia ke atas golongan manusia yang lain untuk tujuan penindasan dan manipulasi. Kerana itu, pascamoden cukup sensitif dengan kaedah pensejarahan (historiografi). Malah, pascamoden menganggap bahawa pensejarahan yang ada mengenai peristiwa yang lampau yang dianggap sahih perlu direkah semula (dekonstruk). Ini bererti sebab-musabab yang membentuk sejarah sesuatu peristiwa harus digali dan dinilai semula kesahihannya.

Ini menimbulkan perspektif baru tentang teknik pensejarahan atau historiografi yang disebutkan tadi. Historiografi kini bertukar ke arkeologi maklumat. Diri, dalam perspektif pascamoden, bukanlah suatu entiti peribadi yang berdiri dengan diri sendiri. Sebaliknya, diri adalah suatu matriks di mana identitinya dibentuk oleh unsur-unsur yang datang dari luar diri itu. Dalam hubungan ini, yang datang dari luar adalah sejarah. Sejarah menyalurkan unit-unit maklumat kepada diri yang kemudiannya menyusun struktur unit-unit ini dalam satu bentuk yang rapi untuk menjanakan suatu imej hologram kepada diri itu.

Diri menganggap bahawa imej hologram yang dijanakan dalam dirinya adalah identitinya tetapi ini adalah tidak benar kerana identiti ini hanyalah sebuah janaan semata. Dengan ini, diri ini boleh berubah identitinya mengikut perubahan sejarah yang berlaku ke atas dirinya. Oleh kerana tidak semestinya terdapat satu sejarah pada satu masa yang sama tetapi sebaliknya berbagai sejarah, maka imej diri yang dihasilkan adalah imej kitaran yang boleh dicipta, dibuang, dan digunakan semula.

Era pascamoden dikatakan tidak mempunyai paksi yang mengikat ketetapan wajahnya. Malah, dalam era ini, zaman bertembung zaman sehingga dalam satu waktu tertentu, tiga atau empat zaman bertembung.

Maka yang dikatakan kini bukan hanya zaman sekarang, tetapi juga zaman silam, zaman pertengahan, dan juga zaman akan datang. Begitu juga dengan ruang. Kemunculan ruang siber membolehkan pertembungan di antara manusia merentas ruang fizikal.

Maka dengan itu, segala aspek kehidupan menjadi rekahan (fragmentasi) yang tidak mempunyai identiti, nilai, dan hala tuju yang tertentu. Segalanya adalah mungkin. Di dalam pascamoden, yang ada cuma ufuk-ufuk yang terbuka, bukan dunia yang tertutup.

Segala konsep yang menjadi pegangan kini terdedah kepada persoalan. Realiti menjadi simulakra, kebenaran hanya tinggal perspektif, ilmu cuma sekadar naratif, sejarah bertukar kepada arkeologi maklumat, dan diri dianggap sebagai matriks.Tentunya pascamoden membawa cabaran baru kepada kita untuk memikir semula segala pandangan wujud dan pandangan hidup yang sedia ada.

* DR. YAMIN CHENG ialah Penolong Profesor Jabatan Pengajian Usuludin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

Wednesday, May 19, 2010

Antara Pengkid, Lesbian dan Tomboy

FATWA MENGENAI PENGHARAMAN PENGKID OLEH MAJLIS FATWA KEBANGSAAN

2008. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan yang berlangsung di Kota Bharu Kelantan pada 23 Oktober 2008 telah memutuskan perlakuan “ pengkid “ atau wanita yang menampilkan tingkah laku seperti seorang lelaki yang berlawanan dengan fitrah semulajadi wanita, sama ada dari segi pergaulan, tingkah laku atau berpakaian, haram dan dilarang sama sekali.

Pengerusinya, Prof Datuk Dr Abdul Shukor Husin, berkata pengharaman itu dibuat berdasarkan perkembangan terkini di kalangan remaja perempuan yang cenderung mengamalkan cara hidup lelaki.

Beliau berkata, fenomena pengkid kini menjadi isu serius di kalangan anak gadis di negara ini dan ia perlu ditangani segera supaya tidak berkembang hingga sukar diatasi pada masa depan.

"Majlis Fatwa mendapati isu pengkid kini semakin ketara. Remaja perempuan kini lebih gemar dengan cara hidup lelaki dari segi pergaulan, perbuatan dan berpakaian, yang bukan saja bertentangan dengan fitrah asal manusia, tetapi cuba menafikan hak kewanitaan.
Isu pengkid perlu ditangani dengan segera oleh semua pihak agar masalah sosial ini tidak menjadi lebih parah ibarat luka yang bernanah dan bercambah sehingga sukar untuk dibendung

1) PENGERTIAN PENGKID

Istilah pengkid mengikut perspektif bahasa melayu adalah perlakuan seks homoseksualiti dalam kalangan remaja wanita, juga lebih dikenali sebagai Lesbian.

Merungkai pengertian pengkid mengikut persperktif masyarakat melayu membawa maksud golongan perempuan yang menjiwai watak dan perlakuan lelaki dengan menyembunyikann sifat kewanitaan. Dan mereka juga mengalami kecelaruan seksualiti.

Disamping itu juga, pengkid lebih merujuk kepada perilaku seorang wanita yang menyerupai tingkah laku seorang lelaki yang normal. Golongan ini seakan-akan mempunyai bentuk tubuh badan seperti lelaki sehingga sukar untuk kita mempercayai bahawa mereka sebenarnya seorang wanita.

Kesukaran untuk membezakan antara golongan pengkid dan lelaki disebabkan beberapa faktor diantaranya ialah:

a) berpenampilan 100% maskulin.
b) membalut dada mereka dengan bengkung bagi memastikan mereka kelihatan seperti seorang lelaki.

2). CIRI-CIRI PENGKID DIMALAYSIA

a) suka dikelilingi wanita-wanita yang normal.
b) mempunyai teman wanita dan kebiasaannya akan tinggal serumah
c) suka berkumpul sesama mereka di tempat-tempat yang khusus (namun perkara itu sudah semakin berubah appabila golongan ini berani menampilkan diri dan tingkah laku mereka di kawasan awam).
d) golongan ini juga akan melakukan apa yang lelaki lakukan. ini sebagai cara mereka menunjukkan 'kejantanan' depan rakan-rakan dan 'teman wanitanya' sehinggan sanggup bergaduh.
e) PENGKID ini juga akan memilih kerja-kerja yang berat seperti mekanik. hal ini kerana pasaran kerja bahagian profesional sukar untuk menawarkan kerja kepada golongan ini kerana penampilan yang kurang sesuai sebagai seorang wanita.

pada waktu ini, sering kita terbaca didada-dada akhbar berkaitan dengan hubungan luar tabi'i antara Pengkid dan wanita yang berstatus isteri orang. sehingga sanggup lari meninggalkan anak dan suami demi cinta terlarang.

3). PERBEZAAN ANTARA PENGKID,TOMBOI DAN LESBIAN

Golongan pengkid,tomboy dan lesbian cukup sinonim dinegara kita.Sekilas pandang mereka mudah untuk kita kenali dan jejaki tetapi wujud perbezaan yang ketara diantara ketiga-tiga golongan ini.

Pengkid,tomboy dan lesbian atau yang sama erti dengannya membawa makna berbeza kepada masyarakat walaupun hakikatnya mereka cenderung kepada gejala sama, homoseksual malah kelompok ini adalah jantina ketiga yang cuba menonjolkan identiti gender berlawanan daripada norma biologi, moral dan sosial kehidupan wanita.

Tomboy adalah bererti wanita berperwatakan lelaki tetapi bukan pengkid atau lesbian. tomboy ini hanya mempunyai sifat-sifat maskulin. contohnya kasar, agresif dan lasak. yang mana sifat-sifat ini sering kita lihat ada pada seorang lelaki. namun hanya sifat sahaja. Tomboy ini memiliki keinginan seks yang normal dan fizikalnya juga sama seperti wanita normal yang lain.

manakala pengkid pula sedaya-upaya mahu kelihatan seperti lelaki. Contohnya berbengkung di dada (dia benci bahagian badan yang berkaitan wanita), memakai pakaian longgar dan berambut pendek. Pengkid tertarik untuk berhubungan seksual dengan wanita lain. menurut Prof Madya Makhzan Musa dalam bukunya Psikologi Sosial, golongan Pengkid ini dikategorikan golongan yang mengalami kecelaruan tingkah laku seks.

ada 2 perkara yang mendorong kepada kecelaruan tingkah laku seks:
a) kecelaruan identiti gender di mana individu tidak selesa dengan alat kelaminnya dan tingkah dikaitkan dengan jantina lain.
b) parafilian- melibatkan kebangkitan seks melalui ransangan yang ganjil atau aneh.

konflik yang berlaku antara organ jantina dengan identiti jantina. individu begini mengatakan dirinya patut menjadi lelaki. itulah yang dialami oleh Pengkid.

Lesbian pula tidak semestinya kelihatan seperti lelaki malah ramai feminin dan nafsu terhadap wanita lain tidak diketahui sesiapa pun. Mereka menerima diri sebagai wanita (tidak seperti pengkid), malah menyukai bentuk tubuh wanita. Dalam hubungan seksual lesbian, salah seorang pasangan memainkan peranan dominan manakala seorang lagi bersifat lebih pasif. lesbian juga sering mengamalkan orientasi seks yang dikenali sebagai biseksual (prof makzan musa). mempunyai keinginan dengan wanita dalam masa yang sama juga terhadap lelaki. perkara ini antara penyumbang kepada penularan virus HIV, Sifilis dan virus kelamin lain.

4) DALIL MENGENAI LARANGAN KEPADA WANITA MENYERUPAI GOLONGAN LELAKI DAN SEBALIKNYA

Islam menyuruh umatnya mematuhi hukum dan perintah Allah SWT dan Rasul serta menjauhi perkara dilarang. Allah SWT telah menetapkan yang mana halal dan haram. Ini termasuk mengenai cara hidup seseorang. Keputusan Muzakarah Fatwa merujuk kepada larangan (pengharaman) asal Nabi Muhammad SAW terhadap lelaki yang menyerupai wanita dan wanita menyerupai lelaki dalam hadis yang bermaksud:

"Rasulullah SAW melaknat lelaki yang menyerupai wanita, dan wanita yang menyerupai lelaki."
(Hadis riwayat al-Bukhari, Abu Daud, al-tirmizi, Ibn Majah, & Ahmad)

daripada Abu Hurairah, bermaksud: ((Rasulullah saw melaknat lelaki yg memakai pakaian perempuan, dan perempuan yg memakai pakaian lelaki)). (hadis sahih, riwayat Ahmad, Abu Daud)

Rasulullah saw bersabda bermaksud: ((Tiga golongan yg tidak akan masuk syurga….(antaranya): perempuan yang meniru dan berkelakuan seperti lelaki)) (Riwayat Ahmad).

Bahaya penyerupaan itu jika dibiarkan tanpa peringatan dan tindakan akan menyumbang kepada kecelaruan identiti, kerosakan akhlak dan kewujudan cinta intra-seksual pada tempat yang salah.Maka jelaslah,bentuk penyerupaan lelaki yang diamalkan oleh sebahagian golongan pengkid adalah haram dan dilaknat oleh Allah dan RAsulullah s.a.w

Pandangan ulama mengenai gejala homoseksual (lesbian) dan hukumannya.
Imam Abu Hanifah (pengasas mazhab Hanafi) berpendapat : perlakuan yang berkaitan homoseksual tidak dikategorikan sebagai zina dengan alasan: Pertama: kerana tidak wujud unsur kesamaan antara seks lelaki dan perempuan dengan homoseksual yang tidak melibatkan unsur berkaitan dengan zuriat dan ketidakjelasan nasab (keturunan) tidak terdapat didalam perlakuan seks homoseksual. Kedua: perbezaan jenis hukuman yang melibatkan para . Berdasarkan kedua alasan ini, Abu Hanifah berpendapat bahwa hukuman terhadap pelaku homoseksual adalah membabitkan ta’zir (diserahkan kepada penguasa atau pemerintah).

Menurut Imam Malik,perlakuan seks homoseksual boleh dikategorikan zina dan hukuman yang dikenakanl keatas pelakunya adalah direjam, sama ada muhshan (sudah berkahwin) atau gair muhshan (belum berkahwin)

Menurut Imam Syafie, homoseksual tidak dikategorikan sebagai zina seperti hubungan kelamin diantara lelaki dan perempuan tanpa akad nikah yang sah, tetapi terdapat kesamaan diantara kedua-duanya iaitu keduanya merupakan hubungan seksual yang dilarang dalam Islam keatas pelakunya.Hukuman yang dikenakan sekiranya wujud perlakuan tersebut adalah:sekiranya muhshan (sudah berkahwin), maka dihukum rejam. Kalau gair muhshan (belum berkahwin), maka dihukum sebat 100 kali dan dibuang negeri selama satu tahun.

Sebuah hadis ada mengungkapkan bahawa orang yang melakukan perbuatan ini sebagai pelaku zina.

Daripada Abu Musa,Nabi bersabda “ Apabila seorang lelaki mendatangai seorang lelaki,maka mereka berdua adalah penzina”.
(diriwayatkan oleh Baihaqi)

Pendapat imam Syafie yang berkaitan dengan pelaku liwat dibunuh berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh para penulis sunan, daripada Ibnu Abbas r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda “Sesiapa yang kamu temui mengamalkan amalan kaum Nabi Luth a,s,hendaklah kamu bunuh pelaku dan yang diperlaku”. (Diriwayat oleh at-tirmizi,Abu daud dan Ibn majah)

Keterangan berkaitan dengan hubungan kait diantara peliwat atau homoseksual dengan gejala pengkid.Hujah ini dikaitkan kerana ada segelintir golongan pengkid yang mengamalkan kehidupan seks bebas yang boleh diertikan sebagai golongan homoseksual yang melibatkan antara wanita dengan wanita seperti zaman nabi Luth a.s

Ini adalah diantara kesepakatan ijma oleh ulama,maka sesungguhnya telah disepakati bahawa perlakuan homoseksual adalah sesuatu yang bertentangan dengan islam dan diluar fitrah kejadian manusia.Islam memandang serius dalam melibatkan masalah homoseksual dan lesbian sudah jelas mengharamkan perlakuan yang diluar tabi’dari norma-norma kehidupan manusia termasuk Ijma’ para ulama tak pernah berselisih. Bersumberkan kepada panduan Al-quran dan hadis cukup untuk mengatakan bahawa larangan Allah terhadap perlakuan yang menyerupai kaum nabi Luth a.s