Pembunuhan kejam itu berlaku di sebuah kilang memproses ayam di Batu Maung di sini kira-kira pukul 2.55 pagi ini.
Mangsa yang maut ialah ibu suspek, Tan Saw Sim, 55; bapa tiri, Tan Hock Choon, 50; adik lelaki, Chung Wah Tong, 27, serta anak saudaranya yang dikenali sebagai Ah Bee.

Difahamkan, suspek melepaskan 11 das tembakan yang menyebabkan keempat-empat mang­sa terbunuh.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Razaruddin Husain @ Abdul Rasid berkata, sebelum kejadian kesemua mangsa sedang tidur di ruang yang dijadikan bilik-bilik kecil di bahagian atas pejabat kilang memproses ayam terbabit.
Menurutnya, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan suspek sebelum itu juga bertindak menggeledah bahagian atas kilang tersebut dipercayai bagi mencari wang tunai dan barangan berharga.





Bagaimanapun tambahnya, berang kerana gagal menemukan wang dan barang berharga itu, suspek bertindak mengejutkan ibu dan bapa tirinya sehingga tercetus pergaduhan antara mereka.

Ekoran pergaduhan itu, jelas beliau, suspek bertindak menembak ibu dan bapa tirinya serta adik lelakinya menggunakan pistol semi automatik dari jarak dekat dan mayat mereka ditemukan berlumuran darah di bahagian bawah premis pejabat terbabit.

“Ketika kejadian juga anak buah mangsa yang sedang tidur dipercayai terjaga apabila mendengar bunyi tembakan dan bertindak turun dari bahagian atas. Kita percaya kanak-kanak ini kemudiannya ditembak suspek ketika berada di bahagian tangga.

“Motif kejadian dipercayai berpunca daripada wang diminta suspek tidak diberi oleh ahli keluarganya,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian di kilang terbabit di Jalan Batu Maung, di sini hari ini.
Menurut Razaruddin, mayat kesemua mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Tambah beliau, rekod pihak­nya mendapati suspek sebelum ini terlibat dengan masalah penya­lahgunaan dadah dan pistol yang digunakan suspek dipercayai dimiliki secara haram.

“Kita menemukan sebanyak 11 kelongsong peluru di lokasi kejadian dan percaya senjata api yang digunakan dalam kejadian ini masih berada dalam simpanan suspek,” katanya.


Dalam pada itu, beliau menambah, polis berjaya mengesan ken­deraan jenis Toyota Hilux yang dinaiki suspek ketika melarikan diri yang ditinggalkan di Bukit Mertajam di sini kira-kira pukul 11.45 pagi ini.

Sehubungan itu kata beliau, polis kini giat memburu mangsa termasuk meningkatkan kawalan di pintu-pintu sempadan negara.