Friday, July 1, 2011

Sekitar Program Kepimpimpinan SMK Sri Muda

Pada 25 Jun 2011 yang lalu, UNGGAS telah dijemput untuk mengadakan satu bengkel berkenaan kepimpinan di SMK Sri Muda Penaga, Seberang Prai Utara Pulau Pinang. UNGGAS telah bekerjasama dengan pihak Smart Infinity untuk bengkel kali ini. Peserta-peserta yang hadir ke benkel pada kali ini terdiri daripada pelajar dari tingkatan tiga sehingga pelajar tingkatan lima. Peserta-peserta tersebut yang keseluruhannya berjumlah 86 orang adalah pimpinan kelab dan persatuan serta pengawas sekolah. Pihak UNGGAS amat berterima kasih di atas kerjasama yang diberikan oleh pihak sekolah,SMART INFINITY dan para peserta. Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih diucapkan pada semua atas kerjasama tersebut. Berikut adalah gambar-gambar yang sempat diambil sekitar program berlangsung:


Lagi gambar-gambar menarik :

Monday, June 27, 2011

Kenyataan Akhbar Bantahan Mengadakan Peragaan Baju Renang (Swimming Suit Show)

Kami kumpulan wanita dari Angkatan Pemuda Pemudi Islam (API), Pertubuhan Menangani Gejala Sosial Malaysia (UNGGAS) dan Persatuan Persaudaraan Muslimah Malaysia cawangan Pulau Pinang (SALIMAH) ingin menarik perhatian semua pihak khususnya pihak berkuasa negeri Pulau Pinang dan media berkenaan Penganjuran Peragaan Baju Renang yang dijangka berlangsung 2 Julai 2011.
Pada 1 hingga 3 Julai 2011, satu pameran IT akan berlangsung di D’PlAZZA Mall (bersebelahan dengan PISA). Pameran ini dikelolakan oleh dua badan utama iaitu Karpersky dan Persatuan ICT Pulau Pinang (PICTA). Semasa pameran ini berlangsung, diselitkan beberapa aktiviti untuk menarik kehadiran lebih ramai pengunjung khususnya masyarakat Pulau Pinang. Salah satu acara tersebut adalah Peragaan Baju Renang yang turut diadakan di tempat yang sama. Oleh itu wujud persoalan tentang rasional menganjurkan pertunjukan baju renang semasa pameran ICT. Kebimbangan kami yang paling utama adalah kesan tidak langsung penganjuran acara seperti ini.
Selain itu, iklan tentang peragaan baju renang ini juga banyak disebar di kawasan kampung-kampung yang majoriti penduduknya melayu. Hal ini menampakkan penyebaran budaya yang bercanggah dengan nilai-nilai yang ada dalam agama Islam iaitu agama orang-orang melayu.

Wednesday, June 22, 2011

NGO Pulau Pinang & ‘Miss ICT’

Oleh : Asti Toba

Pelbagai perkembangan dinamis sedang melanda negara. Pada bulan Julai akan datang ini banyak Badan Bukan Kerajaan (NGO) terlibat dalam satu isu sosial-politik negara yang menyentuh akan tanggungjawab profesional Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Isu-isu yang diperjuangkan oleh NGO adalah penting bagi kebaikan negara selain daripada menghidupkan gerakan demokrasi. Namun NGO harus juga memberi perhatian kepada isu sosial dan moral yang berkaitan dengan wanita. Misalnya Pulau Pinang bakal menjadi tuan rumah penganjuran satu pertandingan bergelar "Miss ICT".



Pertandingan ini akan memperagakan peserta wanitanya berpakaian mandi di hadapan khalayak awam. Ini sinonim dengan satu bentuk aktiviti pendedahan sebahagian besar tubuh wanita yang akan diadili oleh golongan lelaki dan wanita. Aktiviti sebegini adalah sama seperti satu pengeksploitasian terhadap tubuh wanita dan ianya tiada hubungan langsung dengan usaha mahu mempromosikan produk terbaharu ICT.

Pihak berkuasa yang akan menganjurkan pertandingan ini mungkin alpa yang jika berbuat demikian ia sebenarnya mendukung aktiviti yang tidak bermoral ini. Dengan itu apakah pihak NGO khasnya yang berpusat di Pulau Pinang harus berdiam diri atau membuat desakan agar pertandingan Ratu ICT itu dibatalkan sama sekali dan digantikan dengan yang lebih sesuai dengan norma bangsa dan agama rasmi Islam dan juga perasaan wanita amnya. Tubuh wanita tidak harus diperagakan. Tubuh badan wanita bukan barang dagangan untuk ‘melariskan’ jualan.

Wednesday, June 15, 2011

Jamil Khir: Permohonan murtad 135 orang diluluskan

Mahkamah Syariah menerima 863 kes permohonan untuk menukar status agama Islam dari tahun 2000 hingga 2010, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.



Beliau menjawap soalan lisan daripada Er Teck Hwa (DAP-Bakri) yang meminta perdana menteri menyatakan jumlah permohonan murtad bagi penganut Islam dan berapakah jumlah yang diluluskan mengikut negeri sepanjang sedekad yang lalu.

Er juga memohon penjelasan kerajaan mengenai cara-cara yang diambil bagi menangani kes-kes gejala murtad itu.

Jamil dalam jawapannya berkata mengikut perangkaan yang dibekalkan kepada kementeriannya menunjukkan sejumlah 168 orang yang memohon untuk meninggalkan agama Islam diluluskan.

Bagaimanapun perangkaan yang dibekalkan kepada Dewan Rakyat itu tidak selaras dengan jumlah yang dikira.

Mengikut kiraan Malaysiakini, jumlah permohonan untuk murtad adalah 686 manakala permohonan yang diluluskan pula adalah 135 orang.

Mengikut data yang dibekalkan, jumlah tertinggi yang diluluskan adalah dari Sabah iaitu seramai 67 orang dan diikuti dari Negeri Sembilan dengan 33 orang.



Jumlah permohonan untuk meninggalkan Islam yang terbesar adalah di Sabah - 238, Negeri Sembilan - 172, Selangor - 99 dan Perak - 47.

Tiada permohonan murtad dicatatkan di Kelantan.

"Dalam menangani gejala murtad, Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) sentiasa melasanakan program dan aktiviti bagi mengelakkan berlakunya gejala ini terutamnya di kalangan saudara-saudara baru.

"Antara program dan aktiviti yang dilaksanakan adalah seperti khidmat nasihat; ziarah dan lawatan ke rumah; aktivitiaktiviti pengukuhan agama; kelas pengajian agam; dan sokongan Baitulmal,"

Dipetik :Malaysiakini.com

Friday, May 20, 2011

Permainan komputer yang ganas perlu dikawal

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan supaya sentiasa berjaga-jaga dalam usahanya untuk mengawal ancaman permainan komputer dan telefon bimbit yang ganas ke atas masyarakat.

Banyak kajian sedia ada yang mengaitkan permainan online ganas dengan sikap keagresifan dalam kalangan kanak-kanak. Terdapat juga kajian, tetapi amat sedikit yang mendakwa sebaliknya.

Bagaimanapun penyelidik yang berkelayakan dan mereka yang membiayai kajian seharusnya memberitahu kita yang boleh diyakini.

Adalah sesuatu yang logik dan munasabah iaitu siapa sahaja terutama sekali kanak-kanak pada usia yang mudah terpengaruh dengan melihat atau melakukannya atau apa sahaja perkara yang negatif yang memenuhi masa mereka mempunyai kesan yang akan memberikan kesan merosakkan ke atas jiwa mereka.

Kita telah melihat banyak jenayah remaja di negara barat yang dicetuskan oleh permainan komputer dan video ganas. Menafikan hakikat ini sepertilah menyembunyikan perkara sebenar dan tidak mempedulikan bahaya sebenar.

Dalam masyarakat hari ini, termasuk Malaysia, kita mempunyai terlalu banyak “tindak balas” keganasan malah kepada insiden kecil seperti dalam kes pembuli jalan raya.

Di Thailand, beberapa tahun yang lalu, seorang penjenayah telah meniru permainan komputer menyebabkan pengedar tunggal yang sah permainan itu telah menghentikan penjualan permainan itu dan memutuskan untuk tidak mengimport versi yang seterusnya, yang keempat daripada siri itu.

Kini masyarakat sedang memasuki satu lagi dimensi dengan bidang baru berupa permainan melalui telefon bimbit.

Di Korea, peratusan besar lebih daripada 700,000 kanak-kanak dengan telefon pintar menggunakannya untuk bermain permainan online, oleh itu telah membawa kepada kira-kira 50 persatuan ibu bapa di sana menggesa supaya larangan bermain permainan komputer online pada waktu malam bagi mereka yang berusia di bawah 16 tahun dikenakan juga kepada telefon bimbit.

Tindakan proaktif untuk melindungi masyarakat Malaysia juga perlu jalan yang pintar, sebagai ganti melaksanakan sikap “tunggu dan lihat” untuk melihat jika jenayah seperti itu berlaku atau menuntut kaitannya sebelum mengambil langkah.

“Sampah masuk, sampah keluar” jelas menunjukkan kesan permainan ganas yang kini dengan mudah boleh diperolehi daripada komputer riba, i-Phones dan telefon pintar lain.

CAP menggesa pihak Kementerian mengambil langkah segera untuk menghapuskan permainan yang sama dan memberi amaran kepada pengguna terutama sekali ibu bapa akan pengaruh negatif terhadap anak-anak mereka.



Penulis adalah presiden, Persatuan Pengguna Pulau Pinang
Beliau boleh dihubungi pada talian tel: 04-8299511 Faks:04-8298109 emel: idris_md@streamyx.com
sumber:- http://www.malaysiakini.com/letters/162581

Lindungi pelajar daripada alkohol di sekolah

Kanak-kanak dan golongan muda terdedah kepada iklan alkohol memandangkan syarikat minuman alkohol berjaya menutup atau menyembunyikan mesej ini sebagai promosi pendidikan atau pembangunan sukan.

Fakta sebenar yang menyedihkan ialah syarikat alkohol diberikan laluan utama dalam mempengaruhi sikap kanak-kanak sekolah terhadap tabiat meminum minuman keras.

Dengan mewujudkan keadaan yang biasa melalui keadaan yang dilihat dan didengar, pihak syarikat akan mempengaruhi kanak-kanak dan remaja untuk menerima nama jenama secara positif, dan dengan itu melanjutkan lagi pengambilan produk mereka.

Contoh bagaimana syarikat alkohol diterima tanpa dikawal dengan kelulusan tanpa bertulis daripada pihak berkuasa untuk mengganggu ke sekolah dan menjejaskan minda anak-anak kita adalah bukti jelas dalam strategi yang digunakan oleh pihak Carlsberg Malaysia dan Guinness Anchor Bhd (GAB).

Melayari laman sesawang Carlsberg Malaysia mendedahkan gambar kanak-kanak yang tersenyum memegang beg hijau Carlsberg berisi barangan dengan nama jenama yang terpampang, sewaktu kegiatan luar bagi pelajar sekolah yang ditaja oleh syarikat itu pada Disember lalu.

Mesej pengambilan minuman keras sebagai diterima ditanam ke dalam pemikiran anak-anak muda dengan promosi sebegini.

Carlsberg Malaysia juga menyerbu masuk ke dalam pendidikan melalui cara mengatur kerjasama dengan media berbahasa Inggeris arus perdana.

Dinyatakan bahawa Carlsberg Malaysia “menaja akhbar harian tempatan untuk 40 sekolah rendah Tamil di wilayah utara” untuk memperbaiki mutu bahasa Inggeris di sekolah ini.

Dakwaan oleh syarikat alkohol bahawa mereka membantu untuk meningkatkan mutu kehidupan masyarakat India boleh dipersoalkan apabila realitinya mereka memusnahkan keluarga mereka dengan memupuk peminum alkohol di masa depan.

Kenyataan mereka bahawa mereka “tidak menggalakkan pengambilan minuman alkohol oleh mereka yang di bawah umur” adalah tidak benar sama sekali.

Satu lagi syarikat alkohol utama, Guinness Anchor Berhad (GAB), terus tanpa halangan untuk bekerjasama dengan sekolah Tamil di Malaysia dengan alasan mempromosikan pembelajaran walaupun pada hakikat sebenarnya mempromosikan nama jenama kepada mereka yang di bawah umur.

Melalui Program GAB Foundation SMILES (Supporting Malaysian Indian Learning, Education and Sports), syarikat minuman keras itu 'menjual' jenama dengan menawarkan kelas pemulihan bahasa Inggeris secara percuma dan mewujudkan sudut membaca di sekolah Tamil.

Program Pengayaan Bahasa Inggeris ini mensasarkan beratus kanak-kanak sekolah setiap tahun, dengan rancangan untuk meliputi semua kumpulan usia yang berbeza di sekolah rendah dalam fasa masa depan.

Anak-anak muda terutama sekali daripada awal hingga lewat remaja adalah sasaran yang sesuai memandangkan mereka merupakan pasaran masa depan untuk peminum alkohol.

Tidak kira bagaimana mendesaknya syarikat itu untuk menafikan hubungan antara pengiklanan dan pengambilan alkohol yang tinggi, pengiklanan mereka memang menggalakkan pengambilan alkohol.

Kita perlu menghentikan mitos yang disebarkan oleh syarikat itu bahawa iklan hanya menyebabkan orang ramai bertukar jenama.

Tambahan pula pengiklanan jenama tertentu oleh pengeluar alkohol adalah khusus disasarkan kepada golongan muda daripada etnik tertentu. Pergantungan alkohol berkembang dalam kalangan orang ramai apabila mereka memasuki usia 20-an.

Sehubungan itu, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Pelajaran bertindak sebagai penjaga yang bertanggungjawab terhadap pelajar sekolah, dan menjauhkan mereka daripada pengaruh syarikat alkohol di sekolah.

Apabila kanak-kanak melihat syarikat alkohol diiktiraf, dipuji dan diterima dari segi sosial dalam kalangan pendidik dan kerajaan, mereka akan memikirkan bahawa alkohol tidaklah buruk sepenuhnya.

Ini membolehkan syarikat alkohol mempengaruhi dan meningkatkan pengambilan dan penjualan minuman alkohol dengan mengambil peminum baru.

CAP juga menggesa kerajaan dan badan sukan di negara ini menilai sama ada kecenderungan semasa penajaan sukan oleh syarikat alkohol mencabuli Piagam Alkohol WHO yang menyatakan bahawa “semua kanak-kanak dan remaja mempunyai hak untuk membesar dalam persekitaran yang dilindungi daripada kesan negatif pengambilan alkohol dan daripada promosi minuman alkohol”.

Kini sudah pun terdapat kebimbangan di seluruh dunia terhadap bahaya yang disebabkan oleh alkohol. Lebih daripada dua juta orang di seluruh dunia mati setiap tahun akibat yang berkaitan dengan alkohol.

Bahaya penggunaan alkohol merupakan faktor risiko utama bagi kematian pramatang dan kecacatan di seluruh dunia.

Majlis Keselamatan Jalan Raya menganggarkan bahawa 30 peratus kemalangan jalan raya di seluruh negara disebabkan oleh memandu dalam pengaruh alkohol.

Pengambilan alkohol menjejaskan penilaian dan mencetuskan tingkah laku agresif dan ganas, membawa kepada keganasan rumahtangga, penderaan kanak-kanak, pergaduhan dan jenayah lain.

Penyelidikan saintifik dan agensi kesihatan boleh menunjukkan pengiklanan alkohol boleh meningkatkan pengambilan alkohol.

Pengambilan alkohol juga turut menyumbangkan kos kepada negara dari segi ketidakhadiran ke tempat kerja, kehilangan kemahiran kerja, dan kehilangan produktiviti yang menjejaskan pekerja.

CAP menggesa kerajaan melarang dengan tegas syarikat alkohol daripada menaja sebarang projek atau program di sekolah atau terlibat di sekolah dalam sebarang cara.

Kerajaan juga perlu menaikkan cukai duti eksais produk alkohol dan memantau industri terhadap pencabulan undang-undang dan menggunakan cukai dan denda yang dikumpul daripada industri untuk membiayai pendidikan dan aktiviti berkaitan komuniti yang lain.


Penulis adalah presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)

http://www.malaysiakini.com/letters/164496

Wednesday, May 4, 2011

12,079 PENAGIH DIKESAN




Muar- seramai 12,079 orang termasuk 8,990 belia dikesan sebagai penagih dadah pada enam bulan pertama tahun lalu, kata Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Tan sri Lee Lam Thye.
Bilangan penagih dadah dikesan sepanjang tahun 2009 ialah 15,736 orang, dimana 12,281 adalah belia.
“Berdasarkan perangkaan itu dan jika diandaikan seorang penagih dikenal pasti, terdapat 3 atau 4 penagih belum dikenal pasti. Bilangan penagih sebenar di negara ini membimbangkan,” katanya.
Berucap pada majlis pelancaaran kempen anti dadah anjuran badan bukan kerajaan (NGO) daerah Muar di sini hari ini, Lee berkata, walaupun kerajaan membelanjakan beratus juta ringgit untuk mengatasi ancaman dadah, tetapi masalah berkenaan masih tiada penyelesaian.
Beliau berkata, usaha kerajaan tidak akan berjaya tanpa disertakai masyarakat, NGO dan ibu bapa.
Oleh yang demikian menurutnya, semua pihak perlu meningkatkan komitmen dan iltizam politik yang tinggi jika mereka mahu melihat matlamat Malaysia bebas daripada dadah menjelang 2015.
Kempen itu dilancarkan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim

* SUMBER:- Sinar harian- Isnin, 25 April 2011

Monday, April 18, 2011

Remaja Hidu Pen Marker Ganti Gam



Putrajaya- Tidak cukup menghidu gam dan minyak petrol, kini ada sebilangan remaja di negara ini melepaskan gian menghidu bahan alkohol dan bahan kimia yang terdapat di dalam dakwat pen penanda atau marker.

Teknik terbaharu itu didedahkan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) ekoran beberapa operasi pihaknya sejak kebelakangan ini.

Ketua Pengarah AADK, Datuk Zuraidah Mohamed berkata, harga pen berkenaan yang jauh lebih murah selain mudah diperoleh dipasaran juga dipercai menjadi punca ia pilihan utama remaja sebelum berjinak-jinak dengan dadah sebenar.

“Caranya, mereka menghidu kepala pen itu sekuat mungkin bagi mendapatkan kesan khayal yang maksimum dan tidak kisah jika hidung diwarnai dakwat sekalipun kerana yang penting mereka khayal,” ujarnya selepas Majlis Anugerah Cemerlang AADK 2010 yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop di sini semalam.

Sumber:- KOSMO- Jumaat, 15 April 2011

Wednesday, March 16, 2011

FROM BUD TO BLOSSOM (Progam Mahasiswa Turun Sekolah).



Sebuah Program Pergerakan Perkhidmatan Masyarakat Dengan Kerjasama Urusetia Menangani Gejala Sosial dan Angkatan Pemuda Pemudi Islam.


ANJURAN : Pergerakan Perkhidmatan Masyarakat USM
TEMPAT : Sekolah Menengah Permatang Pasir dan sekitar Penang.
TARIKH : 25 March sehingga 27 March 2011
HARI : Jumaat sehingga Ahad
TEMA : “ From Bud To Blossom “


Program MTS kali ini membawa sedikit perubahan dan pendekatan yang baru kepada pelajar-pelajar sekolah menengah ( remaja ) tentang realiti kehidupan masyarakat hari ini. Mereka akan di bawa melihat senario kehidupan hari ini untuk mereka jadikan pengajaran yang terbaik dalam hidup. Kenyataan seperti itu tidak dapat mereka perolehi di dalam bilik darjah. Oleh itu, program ini ingin mengajar mereka erti hidup dalam masyarakat agar mereka lebih sensitive dengan keadaan sekeliling mereka di samping menjana pemikiran bakal pemimpin yang berjiwa rakyat.

MTS kali ini akan bekerjasama dengan URUSETIA MENANGANI GEJALA SOSIAL PULAU PINANG ( UNGGAS )


PENGUMUMAN :

PENCARIAN FASILITATOR BAGI PROGRAM MTS....
15 FASILITATOR DI PERLUKAN UNTUK BERSAMA-SAMA MENJAYAKAN PROGRAM INI.
PEMBERIAN SIJIL DAN MYCSD AKAN DI BERIKAN

SILA HUBUNGI SAYA DI :

no tel : 012-5384981
email : nazurah.mohdnoh@gmail.com

YG BERMINAT SILA HANTAR KEPADA SAYA :

- NAMA
- NUM IC
- NUM TEL
- EMAIL

BEDAH BUKU PERDANA BERSAMA PENULIS HERRY NURDY : UNTUK HIDUP LEBIH BERKAH.

25 mac 2011, 9 mlm, dewan kuliah x, pusat pengajian farmasi, USM.

Kandungan buku:

1. Hijrah, langkah pertama peradaban mulia
2. Menjaga kesadaran jiwa
3.' The Alchemist of happiness'
4. Alam, manusia dan perintah Allah
5. Konsumerisma di sebalik bencana alam
6. 'cutdown consumption'
7. Ketika peradaban mulia itu runtuh
8. Ulama', tarbiyah dan kebangkitan Islam
9. Melahirkan, Bukan menunggu kebangkitan
10. 'Good Muslim, Bad Muslim'
11. Melahirkan muslim ideal
12. Ilmu adalah cahaya
13. Ilmu ulamak yang dijarah
14. Ilmu yang menyelamatkan
15. Waspadai Fanatisma dan lemahnya ilmu
16. Pelajaran akhir zaman
17. Mampukah kita bertahan?
18. Mancari dan berpihak kepada kebenaran
19. Bisikan syaitan kepada penguasa
20. Pemimpin yang menbawa azab
21. Umat yang menunggu azab
22. Pertengkaran akhbar
23. Kudengar Rasul memanggil
24. Bergerak melawan kezaliman
25. Berbuat dari sekarang!
26. Muslim bersatu tak bisa dikalahkan
27. Hancurnya peradaban tanpa iman
28. Allahumma Labbaik, Kami datang pada Mu
29. Haji yang merdeka
30. Bangun dan tidak tinggal diam
31. Sumber kekuatan kaum muslimin

Kesemua tajuk ini merangkumi pelbagai aspek kehidupan zaman ini dan membawa kita berfikir apa sebenarnya yang mesti kita lakukan untuk berjaya mengharungi akhir zaman ini demi hidup yang lebih berkah.


Friday, January 28, 2011

Kempen “Kenali Kekasih, Kenali Rasulullah”



"Berikutan sambutan hari kekasih pada tahun ini (14 Feb) adalah sehari sebelum Sambutan Maulidurasul (15 Feb), Urusetia Menangani Gejala Sosial (UNGGAS) ingin mengajak masyarakat supaya bersama-sama ingat-mengingati dalam komuniti masing-masing supaya lebih mengenali Rasulullah daripada mengenali kekasih dalam cinta yang berlandaskan nafsu."



Dewasa ini kita menyaksikan ramai muda-mudi terjerumus ke dalam dunia yang melalaikan. Kecanggihan teknologi, aliran masuk budaya barat dan hiburan yang berlebihan telah mengubah corak kehidupan masyarakat. Saban tahun, budaya Melayu bagai dicarik dengan sambutan Hari Kekasih setiap 14 Febuari. Sesetengah masyarakat kita telah menerimanya sebagai rutin tahunan sehingga terlupa bahawa sambutan tersebut adalah melanggar keunggulan budaya dan keindahan agama.


Pada 2010, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) telah berjaya menahan seramai 74 orang penuntut IPT dan kolej yang terbabit dengan maksiat sempena sambutan Hari Kekasih. Mereka dicekup dalam satu operasi cegah maksiat di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan. Mengikut undang-undang, pesalah khalwat boleh disoalsiasat dan didakwa di bawah Seksyen 27 Akta Kesalahan Jenayah Syariah. Dari sudut agama pula, sambutan Hari Kekasih boleh dianggap melanggar kerukunan agama.
Hal ini jelas seperti yang diriwayatkan dalam sebuah hadith yang bermaksud:



“Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia termasuk dalam kaum tersebut”- Riwayat Abu Daud


Ramai di antara kita yang lebih gemar memilih cinta dunia yang belum pasti menjanjikan kebahagiaan. Ramai juga yang terleka sehingga mendahulukan cinta kekasih dan meminggirkan cinta terhadap Rasulullah. Hal ini perlu untuk diubati segera sebelum iman dilunturkan dengan budaya barat yang semakin ganas merasuk. Sewajarnya, umat Islam perlu mengenali Rasulullah, mencintai baginda lebih daripada manusia lain dan mengagumi kualiti akhlaknya.


“Belum beriman seseorang sehinggalah aku (Rasulullah S.A.W) lebih dicintainya daripada ayahnya, anaknya dan seluruh manusia”- Hadith Riwayat Bukhari


Menurut Anas r.a., Rasulullah sering keluar berdakwah bersama isteri ke luar daerah. Keindahan akhlak baginda amat terserlah apabila sentiasa memastikan keselesaan isterinya di tempat duduk di atas belakang unta. Bahkan baginda sanggup melutut bagi membolehkan isterinya berpijak di atas lutut baginda untuk naik ke atas unta.


Selain itu, baginda turut menjadi lambang seorang suami yang ringan tulang. Baginda sanggup menjahit baju yang terkoyak tanpa menyusahkan isterinya sendiri. Baginda juga tidak pernah culas untuk membuat kerja-kerja dapur termasuklah sanggup menyinsing lengan untuk menguli roti. Akhlak Rasulullah telah banyak kali dipuji oleh Allah S.W.T menerusi firmannya. Antaranya ialah:


“Demi sesungguhnya, adalah bagi diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa ingin mengharapkan keredhaan Allah dan balasan baik hari akhirat serta ia menyebut dan mengingati nama Allah banyak-banyak dalam masa susah dan senang.” Al-Ahzab:21


Persoalannya, berapa ramai di antara kita yang menjadikan Rasulullah sebagai ikutan dan model kekasih yang wajar dicontohi? Konklusinya, Rasulullah adalah contoh terbaik yang kita ada. Akhlak dan keperibadian unggul baginda harus mendapat tempat di hati semua.


Berikutan sambutan hari kekasih pada tahun ini (14 Feb) adalah sehari sebelum Sambutan Maulidurasul (15 Feb), Urusetia Menangani Gejala Sosial (UNGGAS) ingin mengajak masyarakat supaya bersama-sama ingat-mengingati dalam komuniti masing-masing supaya lebih mengenali Rasulullah daripada mengenali kekasih dalam cinta yang berlandaskan nafsu. Betapa ajaibnya, bila kita lebih mengenali seseorang manusia, lebih banyaklah kekurangan yang akan kita jumpa. Dengan cinta berlandas nafsu, sudah tentu lama-kelamaan sayang bertukar benci. Namun, bila kita lebih mengenali Rasulullah, semakin lama kita akan semakin kagum dengan sifat baginda. Rasa sayang pasti akan bertambah kepada rasa cinta yang berbeza, cinta yang suci yang kekal hingga ke syurga.


Mariani Ali Amran
Unit Media,
Kempen Kenali Kekasih, Kenali Rasulullah
UNGGAS