Monday, July 4, 2016

Outreach Lashkar Cinta: SATU KISAH, SERIBU CERITA

Outreach Lashkar Cinta @ Ramadhan
SATU KISAH, SERIBU CERITA
".. Selonggok manusia terkapar,
Siapa mengaku bertanggungjawab,
Jika kita pihak yang menghindar,
Bersediakah kita untuk berjawab .."









Pada jam 6.30pm, skuad Lashkar Cinta sudahpun mula bertegur sapa dengan gelandangan di sekitar Masjid Kapitan Keling. Seperti biasa, kehadiran kami tidak menjadi pelik bagi mereka. Saban tahun, UNGGAS Malaysia akan berikan Sampul Raya ataupun lain-lain bantuan dalam bentuk barangan kepada mereka dan kedatangan kami sebenarnya sudah diagak.
Petang itu, Skuad hanya ingin membuat pemerhatian terlebih dahulu. Selepas solat Terawih, barulah Sampul Raya akan diagih-agihkan. Keadaan sebelah petang seperti biasa, mereka yang berkeluarga akan duduk setempat sambil bersembang dengan rakan gelandangan lain. Kelihatan anak-anak gelandangan yang berusia sekitar 4 tahun hingga 14 tahun bermain-main di pinggiran jalan bersama rakan-rakan yang sama senasib. Bagi mereka, itu taman permainan. Main ‘police & thieves’ di koridor kaki lima, tidak kurang juga kanak-kanak perempuan yang bermain ‘masak-masak’. Jelas kegembiraan mereka berkongsi mainan yang dibawa dari rumah.
Sambil kami bersila menyertai lingkungan sebuah keluarga gelandangan, sambil kami mengorek beberapa perkara. Makanan mereka berbuka dan bersahur sudah tidak menjadi masalah bagi mereka. Ada sahaja hamba Allah yang akan memberi makan. Murtabak, Nasi Ayam, Nasi Kandar, itu antara menu mereka. Sekiranya tiada yang memberi, Masjid Kapitan Keling akan menjadi tempat mereka berbuka. Duit Raya? Sudah semestinya ada yang memberi. Hari Khamis itu sahaja, ada tiga pihak yang memberi mereka Sampul Raya termasuklah petang itu mereka didatangi sekumpulan pelajar dari Kolej Cosmopoint. Menurut seorang mak cik gelandangan, ada suatu hari mereka mendapat sampul raya RM50.
“Depa punya kalut, sampai ada duit RM50 terkoyak tiga. Biaq pi kat depa, nak berebut sangat, ambik soqang sikit”, cerita beliau dalam loghat utara sambil ketawa.
Menurutnya, ramai juga yang bagi duit raya. Dengan jumlah mereka yang tidak terlalu ramai, hampir semua gelandangan di situ menerima bahagian mereka. Ramadhan tahun ini nampaknya tidak terlalu ramai seperti tahun sebelumnya, hal ini diakui sendiri gelandangan tetap di situ. Hanya sekitar 100 orang termasuk yang tua, muda dan kanak-kanak. Mungkin malam ini atau malam esok, jumlah mereka akan bertambah.
Pada jam 10.30 malam pula, kami berlima memulakan strategi untuk memberi Sampul Raya kepada mereka yang memerlukan. Perlu ada strategi, jika tidak, kita hanya perlukan satu minit sahaja untuk menghabiskan 90 Sampul Duit Raya. Sebenarnya, Sampul Raya sekadar token untuk bersembang dengan mereka. Tujuan utama ialah mengorek kisah yang membawa mereka hidup bergelandangan pada bulan Ramadhan, dan ada juga yang sememangnya gelandangan tetap di situ. Ya. Bersembang, berhemoi dan mendengar cerita memberikan kita satu gambaran mengenai kehidupan mereka.
Berat mereka untuk bercerita. Namun, setelah kami membina hubungan yang mesra, sedikit demi sedikit mereka mahu bercerita. Bermacam-macam kisah di sebalik satu jalan. Makanan yang dimakan sama, tidur beralaskan kotak yang sama, bunyi deruan motorsikal dan kereta yang sama, berbumbungkan langit yang sama, namun cerita kisah hidup mereka yang berbeza.
Ada pak cik yang kudratnya sudah hilang untuk bekerja, ada remaja yang berhijrah ingin mencari kerja, ada mak cik yang sememangnya suka bergelandangan biarpun ada rumah, ada isteri yang ingin membantu suaminya dengan bergelandangan menunggu bantuan wang tunai atau barangan, ada kanak-kanak yang tidak mengikut ibu bapa bergelandangan dan lain-lain lagi kisah tersembunyi.
Setelah jam menunjukkan 11.30pm, kami mengeluarkan sampul dan agihkan pula kepada kanak-kanak di situ. Tidak sampai beberapa saat, kami dikerumuni kanak-kanak dan tak kurangnya yang remaja dan golongan tua. Kami asingkan khas untuk kanak-kanak. Jadi, kami umumkan yang mendapat sampul raya hanya kanak-kanak. Ramai. Mencecah 20 kanak-kanak di sekitar situ. Terserlah kegembiraan mereka mendapat sampul raya. Sambil memberi, sambil kami ingatkan untuk manfaatkan sebaiknya duit yang diperolehi.
Setelah selesai Sampul Raya diagihkan, kami tidak terhenti sekadar itu. Kami mula bersembang dengan kanak-kanak dan remaja di situ. Ada yang bersekolah dan ada juga yang sekadar bersekolah hingga darjah 5. Tidak mampu katanya. Sambil kami bersembang santai, sambil kami menyelitkan sedikit kata-kata motivasi untuk mereka. Masing-masing mendengar dengan teliti. Ya. Kalam itu yang mereka ingin dengar. Kalam yang mengingatkan mereka tentang kejayaan hidup.


“.. Dalam hidup kita apa yang penting ILMU. Kejarlah ILMU. Hanya ilmu yang boleh mengubah nasib hampa semua. Ya. Hampa sekarang memang kuat. Kudrat ada. Boleh kerja apa pun. Sapu sampah, basuh pinggan di kedai makan, buruh binaan. Tapi bila hampa tua nanti, kudrat semua dah hilang, masa tu hampa nak kerja apa?”, pesan salah seorang dari kami.
Tunduk mereka. Mungkin mengenangkan nasib diri sendiri, atau sedang mengimbas kembali sikap mereka terhadap ilmu. Banyak kisah yang kami kongsikan kepada mereka. Kisah-kisah kejayaan dan kegagalan. Semua itu sebagai panduan hidup mereka. Lama juga berceloteh bersama mereka. Sehingga jam menunjukkan 1.00 am, kami meminta untuk mengundur diri. Mereka seperti tidak ingin melepaskan kami. Mereka membuntuti kami hingga ke kenderaan kami. Mungkin tidak puas meluahkan rasa. Ketawa mereka kedengaran puas apabila sekali sekala kami bergurau.
Setelah bersalaman. Kami berpisah. Tangan mereka kelihatan melambai-lambai kami sehingga kami hilang di pandangan mereka. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikulnya. Berada dalam hiruk pikuk bandar, bukannya suatu tempat yang kondusif untuk mereka mengenal hidup.
Kisah mereka kelihatan sama, tetapi cerita di sebaliknya yang membezakan.
Semoga dengan kehadiran kita dan kepedulian kita, mereka akan bermotivasi untuk mengubah hidup dan nasib diri sendiri. Kita hanya mampu membantu sekadarnya, selebihnya mereka yang harus bertindak. Namun, usaha kita perlu diteruskan dan tidak mengenal putus asa. Sambil berkongsi rezeki, sambil memberi motivasi. Duti atau barang akan habis, namun kata-kata motivasi dari kita akan melekat sepanjang hidup mereka. Mudah-mudahan.
-------------------------------------------------
Tidak lupa juga kepada yang menyumbang duit raya kepada mereka. Alhamdulillah, kutipan kita sebanyak RM300 selama dua hari. Semoga rezeki kalian diberkati ALLAH. Insha ALLAH.

Wednesday, June 29, 2016

USRAH - Usrah Ramadhan oleh Penasihat UNGGAS Malaysia

"..Istiqamah Biarpun Lelah.."





Dalam kita melakukan kerja-kerja dakwah, mustahil perasaan penat, putus asa itu tiada. Kadang-kala ianya menghinggap di dalam hati setiap dai'. Justeru, kita perlu selalu diperingatkan dan memperingatkan diri sendiri,

Sedikit perkongsian dari Ustaz Kamaruddin Kassim, Penasihat merangkap Ketua Jurulatih UNGGAS Malaysia.

PENGERTIAN ISTIQOMAH Keutamaan Orang yang Terus Istiqomah Biarpun Lelah Di antara ayat yang menyebutkan keutamaan istiqomah adalah firman Allah Ta'ala; إِنَّ الَّذِينَ قَالُوا رَبُّنَا اللَّهُ ثُمَّ اسْتَقَامُوا تَتَنَزَّلُ عَلَيْهِمُ الْمَلائِكَةُ أَلَّا تَخَافُوا وَلا تَحْزَنُوا وَأَبْشِرُوا بِالْجَنَّةِ الَّتِي كُنْتُمْ تُوعَدُونَ "Sesungguhnya orang-orang yang mengatakan: "Rabb kami ialah Allah" kemudian mereka istiqomah pada pendirian mereka, maka m alaikat akan turun kepada mereka (dengan mengatakan): "Janganlah kamu merasa takut dan janganlah kamu merasa sedih; dan bergembiralah kamu dengan (memperolehi) surga yang telah dijanjikan Allah kepadamu". (QS. Fushilat: 30) Yang dimaksud istiqomah adalah menempuh jalan (agama) yang lurus (benar) dengan tidak berpaling ke kiri maupun ke kanan. Istiqomah ini mencakup pelaksanaan semua bentuk ketaatan (kepada Allah) lahir dan batin, dan meninggalkan semua bentuk larangan-Nya. Inilah pengertian istiqomah yang disebutkan oleh Ibnu Rajab Al Hambali. Menurut Tafsir Aisar, yang dimaksud istiqomah ialah mereka yang betul-betul yakin dengan kebenaran Islam, tidak akan menukarnya dengan kepercayaan lain, serta tetap konsisten menjalankan ibadah dan menjauhi kemungkaran, maka malaikat akan turun kepadanya dua kali. Pertama, ketika hendak menghembuskan nafas terakhir. Kedua, ketika bangkit dari kubur menuju akhirat. Malaikat itu berkata, kami akan temani kamu, hingga berakhir ke surga, seperti yang telah dijanjikan Allah. Diperkuat oleh Hadis, seorang sahabat bertanya: Ya Rasulullah tolong ajarkan sesuatu kepadaku yang paling penting dalam Islam, dan saya tidak akan bertanya lagi, kepada siapapun. Nabi menjawab, Katakanlah aku telah beriman kepada Allah, kemudian istiqomah (Konsisten menjalankan perintah,dan menjauhi larangan.).(HR.Tirmidzi). Yang dimaksud dengan istiqomah di sini terdapat tiga pendapat di kalangan ahli tafsir: [1] Istiqomah di atas tauhid, sebagaimana yang dikatakan oleh Abu Bakr Ash Shidiq dan Mujahid, [2] Istiqomah dalam ketaatan dan menunaikan kewajiban Allah, sebagaimana dikatakan oleh Ibnu 'Abbas, Al Hasan dan Qotadah, [3] Istiqomah di atas ikhlas dan dalam beramal hingga maut menjemput, sebagaimana dikatakan oleh Abul 'Aliyah dan As Sudi. Dan sebenarnya istiqomah mencakup tiga tafsiran ini karena semuanya tidak saling bertentangan. Ayat di atas menceritakan bahwa orang yang istiqomah dan teguh di atas tauhid dan ketaatan, maka Malaikat pun akan memberi kabar gembira padanya ketika maut menjemput. "Janganlah takut dan janganlah bersedih".

Outreach Ramadhan 2016 by Lashkar Cinta

Insha ALLAH, skuad Lashkar Cinta akan turun ke lapangan untuk menyerahkan Sampul Duit Raya serta melihat suasana sekitar Masjid Kapitan Keling dan Lebuh Acheh.
Kepada yang ingin sertai, bolehlah hubungi nombor yang tertera di poster.
~Sebarkan Cinta, Bukan Nafsu~



Sampul Raya untuk Gelandangan.

Kebiasaaanya, gelandangan yang berada di sekitar Masjid Kapitan Keling dan Lebuh Acheh adalah mereka yang tidak dapat bekerja pada bulan Ramadhan. Ada peniaga kecil-kecilan di tepi jalan (menjual makanan), dan juga ada buruh binaan yang sudah tua serta pelbagai lagi latar belakang mereka.

Insha ALLAH, Skuad Lashkar Cinta akan turun ke lapangan untuk tujuan menyelidiki keadaan di sana pada tahun ini sambil menggembirakan mereka dengan memberi Sampul Raya kepada mereka yang layak.

Sumbangan boleh disalurkan ke akaun bank CIMB (Pertubuhan Menangani Gejala Sosial Malaysia): 8600937558.

Untuk info lanjut: 0194223850 (Afifa)



Sunday, June 26, 2016

Hati Gembira, Sedih siapa tahu?

Catatan Outreach Lashkar Cinta.
9.6.2016



"Hati gembira@sedih siapa tahu"?
Bersama 20 pelajar. Bukan wakil mana² persatuan, atau memenuhi tugasan, tetapi hasil kesedaran mereka sendiri untuk menyantuni gelandangan/vagabond.
Jam 3.00 pagi, kami berkumpul di Armanian Park, Lebuh Acheh. (Dahulunya tapak rope walk). Setelah selesai taklimat, kami mula berjalan ke 'port' vagabond. Disebabkan tak ramai, kami bahagikan kepada 2 kumpulan sahaja. Sekitar Masjid Kapitan Keling dan Lebuh Chulia.

Jam 3.30 pagi, tentunya semua masih lena dibuai mimpi, sungguhpun suara² hon kereta, deruan moto kedengaran. Lena tetap lena. Tetapi, setibanya kami betul² di hadapan Masjid Kapitan Keling, terlihat sekumpulan makcik² sedang rancak bersembang.
Kami pun ambil keputusan sertai mereka. Duduk di atas lantai orang lalu lalang, dan kami buat bulatan besar. Ada 4 orang makcik semuanya. Telatah mereka mengukir senyuman di bibir kami, sekali sekala ketawa kami terkeluar. Terlalu banyak cerita. Bertanya tempat asal mereka, pekerjaan mereka, suami dan anak² serta macam² lagi.
Perbualan selama hampir 30minit, amat memberi suatu pengalaman baru, sudut pandang baru kepada sukarelawan yang bersama. Suka duka mereka, siapa yang tahu kan? Kalau bukan kita yang mendengarnya. Pengajaran buat kita.
----------
Sedikit gambaran suasana sekitar Georgetown pada Ramadhan ke-4. Masih lagi sunyi dengan vagabond².
Mengikut kebiasaannya pada bulan Ramadhan, apabila tiba di tengah² Ramadhan hinggalah hujung Ramadhan, bilangan mereka akan bertambah. Yang datang dari Baling, Perak, Kedah dan seumpamanya.

Ini Kisah 3 Hari Sebelum Ramadhan ! TAK PERLU BUKA MULUT.

Assalamualaikum.
Sahabat-sahabat sekalian... Peristiwa yang berlaku kepada seorang sukarelawan Lashkar Cinta tiga hari sebelum Ramadan yang lalu membuktikan bahawa kadang kala kita tak perlu buka mulut pun untuk berdakwah.
Hanya perlu senyum, tunjukkan niat yang ikhlas dan rasa prihatin. Mereka yang melakukan kesalahan sebenarnya sedar bahawa mereka perlu berubah.


BERIKUT ADALAH CATATAN SYAFIEQAL PADA 3 JUN LEPAS.
Assalamualaikum semua....
Pada malam ini, kami turun ke lapangan bersama-sama pelajar dari Kelab Kerja Sosial Universiti Malaysia Sabah (UMS). Malam ini seramai 20 orang pelajar telah dibahagikan kepada dua kumpulan, kumpulan pertama bergerak ke sekitar KOMTAR manakala kumpulan kedua bergerak ke sekitar Jalan Masjid Kapitan dan Lebuh Chulia.
Selama saya ikut program-program UNGGAS sejak 3 tahun lalu, saya tidak pernah rasa sedih dan terharu sampai mnitiskan air mata. Sewaktu kami berjalan menuju sebuah restoran nasi kandar, saya lihat ramai orang sedang beratur panjang ... tiba-tiba terlihat di hujung sudut berhampiran kedai itu, ada seorang makcik yg sedang mncari tempat untuk tidur.
Saya pun mendekatinya bersama seorang pelajar UMS. Saya ingat wajah makcik tersebut kerana pernah berjumpanya sebelum ini. Sebelum ini, saya jumpa makcik itu di 7e, sedang membeli arak. Saya pernah berbual dengannya sebelum ini. Saya memberi salam dan makcik itu terus berkata "yea cucu nenek datang , bawa makanan dekat nenek... terus dia berdoa kepada Allah...dan mengucapkan Alhamdulillah...
Selepas itu dia suruh saya duduk di sebelah dia dan dia terus memeluk saya dengan sangat erat seperti seorang ibu tua memeluk anaknya... Ketika itu, saya sudah bau arak. Saya hanya diam. Makcik berterima kasih ... Kemudian terus mencium dahi saya sebanyak tiga kali .... Makcik menitiskan air mata dan terus menerus memesan kepada saya dan rakan pelajar UMS supaya tidak lawan cakap mak ayah dan jangan dengar cakap orang yang kita tidak kenal ... Berkali-kali diucapnya. Macam ada satu mesej yang dia hendak beritahu atau ada satu beban penyesalan yang ingin diluahkan .... Selepas beberapa ketika, saya masih diam sehingga meminta izin untuk pergi ...
Mungkim masih ada perkara lagu yg boleh saya korek dari makcik tersebut. InsyaAllah, di masa yang seterusnya saya ingin bertemu dengan makcik ini lagi kerana memang ada sesuatu yg ingin diluahkan kepada saya yang bertaraf umur seperti anaknya.
Kita tidak tahu apa sebab dan punca. Tetapi dengan hanya ucapan salam dan senyuman, orang-orang yang kita jumpa dijalanan akan teringat kembali jika ada kesalahan yang mereka lakukan dan secara tak langsung insyaAllah kita telah jadi asbab untuk mereka berfikir untuk perlahan-lahan berubah.
Hidayah itu milik Allah, tidak ada sesiapa yang mampu memberikan hidayah selain Allah. Kita hanya lakukan apa yang mampu. Senyum dan tunjukkan kasih sayang ... Kalau tak reti sembang sekalipun, hanya senyum dan tanya khabar seadanya...
CATATAN LASHKAR CINTA.
3.6.2016

Aktivis UNGGAS Malaysia bersilatulrahim

Blessing Ramadhan 2016: Ifthar bersama Pekerja Asingi

Sekitar program 18 Jun yang lalu. Alhamdulillah, aktivis UNGGAS Malaysia sempat bersilatulrahim bersama pekerja asing dari beberapa buah negara iaitu, Indonesia, Bangladesh, Nepal dan Rohingya.

Program ini merupakan kerjasama dengan sahabat kita, iaitu Ikatan Pekerja Malaysia-Indonesia,


Gotong-royong memasak juada berbuka







'Tidak beriman seseorang daripada kamu sehinggalah ia mengasihi saudaranya seperti mana kita memcintai (menjaga) dirinya sendiri'
- hadis riwayat Al Bukhary

USRAH: "Istiqamah Biarpun Lelah"

Blessing Ramadhan 2016: 
Usrah Ramadhan (USRAH).

Alhamdulillah, sedikit perkongsian dari program 25 Jun lalu. Disampaikan oleh: Ustaz Kamaruddin Kassim.

Maksud Istiqomah:
Yang dimaksudkan istiqomah adalah menempuh jalan (agama) yang lurus (benar) dengan tidak berpaling ke kiri mahupun ke kanan. Istiqomah ini mencakup perlaksanaan semua bentuk ketaatan (kepada Allah) lahir dan batin, dan meninggalkan semua bentuk larangan-Nya.
Inilah pemgertian istiqomah yang disebutkan oleh Ibnu Rajab Al Hambali.

Diperkuat oleh hadis, seorang sabahat bertanya: "Ya Rasul, tolong ajarkan sesuatu kepadaku yang paling penting dalam Islam, dan saya tidak akan bertanya lagi, kepada sesiapapun. Nabi menjawan " Katakanlah aku telah beriman kepada Allah, kemudian Istiqomah (konsisten menjalankan perintah dan menjauhi larangan) - HR Tirmizi
Moga kita terus bersemangat untuk memperbaiki ummah.
"... Demi Kesejahteraan Masyarakat ..."





Tuesday, May 3, 2016

Program Selamatkan Zuriat Kita 2016 @ Masjid Daerah Balik Pulau


Alhamdulillah, program semalam berjalan lancar.
Semoga pengisian yang diberikan bermanfaat kepada adik-adik semua.
Kita amat bimbang dengan keadaan sosial sekarang. Kes buang bayi, zina, pergaulan bebas semakin hari semakin bertambah.















Jadi, jati diri mereka perlu dikuatkan agar dapat mendepani situasi ini.
Insha Allah, program seterusnya adalah pada 7 Mei.

Misi 4: Outreach Lashkar Cinta @ Georgetown

Assalamualaikum.
Sekitar Outreach Lashkar Cinta bersama pelajar kelas kerja sosial UUM pada sabtu lepas, 29 April. Tahniah diucapkan kepada semua aktivis dan sukarelawan.



Perkongsian pengalaman salah seorang aktivis kita.
"..Kasih AYAH berpanjangan.."
Jam tepat 1.00am. Kaki sudah lenguh untuk mengatur langkah. Kami membuat keputusan untuk terus berkumpul di Masjid Lebuh Acheh sementara menunggu Kumpulan Lebuh Chulia dan KOMTAR pulang dari outreach.
Ketika itu, kami (Kumpulan Masjid Kapitan Keling) berada betul-betul di simpang empat di hadapan masjid Kapitan Keling. Di sudut kaki lima rumah kedai, kami ternampak dua orang PaK Cik gelandangan sedang bersembang rancak. Kami terus sertai mereka.
Kami berlima. Rancak kami berbual dengan dua orang pak cik itu. Seorang suka disapa Pak Cik Ri, seorang lagi Pak Cik India, Uncle Ramu. Pnerimaan mereka membuatkan suasana berasa selesa dan harmoni. Sekali sekala kami bertukar soalan untuk mengenali antara satu sama lain.
Sehinggalah soalan daripada salah seorang dari kami, bertanya pekerjaan Pak Cik Ri sebelum dia bergelandangan. Sudah 30 tahun. Bukan suatu masa yang singkat. Umurnya mencecah 60-an. Tiba-tiba Pak Cik Ri terasa sebak. Keadaan menjadi sayu buat seketika. Beliau dibuang kerja kerana menagih dadah.
Tanpa kami bertanya, Pak Cik yang ingin bercerita meluahkan perasaannya. Beliau tak sanggup pulang ke rumah kerana sekarang beliau berusaha untuk tidak mengambil dadah, Walaupun dua orang anaknya selalu ajak pulang ke rumah.
"Pak Cik tak mau depa nampak pak cik macam ni. Anak mana nak ayah yang macam ni." kata Pak Cik Ri. Nada beliau penuh kesal.
Pusat pemulihan bagaikan rumah kedua beliau. Tetapi itu dahulu. Sekarang, katanya, dia nak BERUBAH. Niat itu ada dalam hatinya.
".. Pak Cik ambil sebulan sekali sahaja sekarang. Pak Cik tak boleh nak tahan. Tapi, pak cik memang nak berhenti. Dulu pak cik hari-hari ambik .."
Mendengar luahan beliau, kami semua memberi semangat kepada beliau. Sehinggakan Pak Cik Ri berasa sebak. Setiap kali kami memberi kata-kata semangat beliau sambut dengan Terima Kasih Banyak sambil menahan sebak.
".. Pak Cik tak pernah dengar orang kata macam ni kat pak cik .. Betul. Ini kali pertama. Terima Kasih banyak.."
----------------------------------
Kebiasaannya, kita dengar gelandangan dibuang keluarga kerana menagih. Tetapi, Pak Cik Ri yang membuat keputusan untuk membuang diri sendiri kerana tidak mahu membebankan anak-anaknya.
Kami sangat berharap Pak Cik Ri akan pulang ke pangkuan anak-anaknya disebabkan persekitaran di sini tidak sesuai untuk beliau.