Urusetia Menangani Gejala Sosial (UNGGAS)
Serambi Dakwah, Lorong Bagan Lalang 22, Taman Bagan Lalang,
Bagan Lalang, 13400 Butterworth, Pulau Pinang
www.sinarloronggelap.blogspot.com myunggas@gmail.com
MEMORANDUM UNTUK YAB PERDANA MENTERI MALAYSIA
MEMBANTAH PELAN PERLAKSANAAN MALAYSIA SEBAGAI HUB HIBURAN MALAM DALAM PLAN TRANSFORMASI EKONOMI NEGARA.
Dengan ini kami menggesa Kerajaan Malaysia pimpinan Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak untuk membatalkan pelan untuk menjadikan Malaysia sebagai negara Hub Hiburan Malam, seperti yang beliau bentangkan dalam bajet 2011, dan menjadi antara 12 langkah permulaan dalam rangka transformasi ekonomi negara .
1) Pembatalan pelan ini adalah mustahak bagi menjaga kepentingan dan kestabilan institusi sosial tidak mengira latar belakang agama, budaya dan etnik.
2) Ini kerana seperti yang sedia maklum, hiburan sangat sinonim dengan aktiviti-aktiviti tidak bermoral seperti pelacuran, pergaulan bebas, pergaduhan, seks bebas, parti liar, homoseksual, penyalahgunaan dadah, dan arak. Semua aktiviti ini adalah melanggar etika ketimuran yang dianuti oleh majoriti masyarakat di Malaysia. Yang mana, berdasarkan prinsip demokrasi, suara majoriti ini mesti didengar.
3) Di sini kami juga ingin menyatakan bahawa pelan perlaksanaan Malaysia sebagai Hub Hiburan Malam untuk merangsang kedatangan pelancong ke dalam negara adalah sangat tidak relevan dengan Malaysia. Dunia telah maklum bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang menjadikan Islam sebagai agama rasmi dengan majoriti penduduk Muslim. Islam mengharamkan hiburan yang berlebihan.
4) Malaysia juga telah pun dikenali sebagai pusat pelancongan rekreasi semulajadi, dan bukannya hiburan. Sepatutnya kerajaan Malaysia di bawah Kementerian Perlancongan memberi tumpuan sepenuhnya kepada pembangunan industri pelancongan berasaskan alam semulajadi.
5) Peningkatan kedatangan pelancong ke tanah air banyak dipengaruhi oleh keindahan ekosistem hutan dan laut yang dimiliki Malaysia. Sebagai contoh statistik yang dikeluarkan oleh Majlis Perbandaran Manjung Perak berkaitan kedatangan pelancong asing dan tempatan ke Pulau Pangkor dan Lumut meningkat dari tahun ke tahun. Buktinya pada Januari hingga September 2009, Pulau Pangkor menerima pelancong tempatan sebanyak 253,567 orang manakala pelancong asing sebanyak 158,677. Umum tahu tarikan pelancong untuk melancong ke dua buah destinasi ini bukan disebabkan pusat hiburan melainkan ekosistem yang menarik.
6) Pengiktirafan Malaysia sebagai Hub Halal peringkat dunia juga, boleh dikembangkan lagi kerana statistik menunjukkan sepanjang Januari hingga Oktober 2010 kemasukan pelancong asing ke Malaysia semakin meningkat berbanding tahun 2008 iaitu sebanyak 19.15 juta orang terutamanya pelancong Timur Tengah.
7) Ingin dimaklumkan juga, pada waktu ini tanpa Program Transformasi Ekonomi untuk Hub Hiburan, Malaysia telah pun mengalami pertumbuhan pusat hiburan yang pesat. Sebagai contoh, di Selangor dan Kuala Lumpur Pusat hiburan sudah mencecah 4000 buah, Pulau Pinang 522 buah, belum termasuk yang beroperasi secara haram. Jumlah ini pun gagal untuk dipantau secara baik oleh pihak berkuasa tempatan dan kerajaan, bagaimana mungkin untuk menggagaskan satu pelan yang menyebabkan pusat hiburan akan semakin berkembang, namun pantauan awal-awal lagi sudah gagal dilaksanakan.
8) Aktiviti hiburan cenderung didokongi oleh sindiket-sindiket kongsi gelap. Tindakan kerajaan untuk menggalakkan aktiviti hiburan dengan kemampuan kawalan yang lemah akan menyebabkan lebih banyak kumpulan-kumpulan seperti ini wujud dan seterusnya merancakkan aktiviti pelacuran, perjudian dan jenayah terancang.
9) Las Vegas merupakan Pusat Hub Hiburan utama di dunia. Namun masyarakat Las Vegas sangat terdedah kepada jenayah. Setiap seorang daripada 49 orang penduduk Las Vegas menjadi mangsa rogol, pembunuhan, rompakan dan serangan secara rambang
10) Malaysia juga walaupun belum memperkenalkan Hub Hiburan, sudah tidak mampu mengawal impak negatif hiburan yang ada. Buktinya wujud kawasan-kawasan jenayah yang berkaitan dengan hiburan seperti pelacuran, pemerdagangan menusia, pengedaran dadah dan gejala sosial yang merosakkan seperti Jalan Bukit Bintang, Jalan P.Ramlee dan Jalan Tanjung Bungah.
Dengan ini, kami menegaskan sekali lagi bahawa rancangan untuk menjadikan Malaysia Hub Hiburan Malam adalah tidak relevan dan mesti dibatalkan. Satu rancangan baru yang lebih menumpukan penjagaan alam sekitar dan pembangunan kebudayaan setempat mesti dirancang sebagai usaha untuk menarik kedatangan pelancong ke negara ini.
Urusetia Menangani Gejala Sosial (UNGGAS) 3 November 2010
Perhubungan: Nurfitri Amir B. Muhammad
Koordinator UNGGAS
0137069509