Friday, April 18, 2014

Projek Flat 100 Ampang Jajar. Demi Kesejahteraan Masyarakat ! Kalau Bukan Anda Siapa Lagi ?

Flat100 Ampang Jajar, Kariah Sembilang.
Setelah pemetaan komuniti dilaksanakan, kami telah bermesyuarat bersama Pengerusi dan Setiausaha kariah berkenaan iaitu Masjid Sembilang tentang hasil tinjauan kami, berikut merupakan isu yg dipersetujui dan rancangan yg bakal dilaksanakan:

Isu / masalah:
1. Masalah anak-anak kecil terabai dan berkeliaran di sekeliling flat, dijaga kakak atau abang yang masih kecil boleh mengundang musibah. Ini berlaku kerana tekanan hidup untuk mencari rezeki lebih berat untuk ibubapa tanggung sehingga hal-hal kebersihan, kesihatan dan keselamatan anak jatuh ke tempat kedua. Berikutan tekanan hidup juga, ramai yang terlibat dalam konflik keluarga. Jumlah ibu tunggal atau ibu tinggal (suami jarang pulang ke rumah) juga ramai. Ini turut menyumbang kepada anak-anak kecil terbiar dan ada yang didapati menahan lapar, tidak makan tengah hari sementara menunggu kepulangan ibu.

2. Jumlah remaja yang keciciran pelajaran seawal sekolah rendah yang ramai. Ini disebabkan kebanyakan mereka tidak lagi berminat untuk belajar dan terlibat dalam aktiviti luar. Namun ada juga yang terpaksa berhenti sekolah untuk mula bekerja bagi menampung kos hidup keluarga.

3. Kawasan sekitar flat dan juga taman rekreasi yang berhadapan dengan flat sering menjadi tempat maksiat oleh muda mudi selain masalah hidu gam dan gejala dadah

4. Masalah perpaduan antara kaum dimana jarang berlaku interaksi kerana kurang aktiviti kemasyarakatan secara bersama.

Potensi:
1. Flat ini telah dimasukkan ke dalam kawasan kariah Masjid Sembilang bermula akhir tahun lepas. Masjid ini merupakan masjid yang aktif dalam hal-hal kemasyarakatan. Satu program kerjasama untuk mengenal pasti keluarga yang memerlukam bantuan kewangan telah dibuat secara bersama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Pusat Urus Zakat (PUZ) dimana jawatankuasa masjid telah memastikan semua dokumen dan bukti-bukti dikumpulkan untuk memudahkan JKM dan PUZ meluluskan bantuan bagi mereka yang terlibat. Hasilnya 120 keluarga telah dikenal pasti dan mendapat bantuan tahunan atau bulanan. Pihak kariah juga komited untuk membantu sebarang bentuk program komuniti.
Isu : mengapa masih ada kanak-kanak terbiar dan konflik keluarga jika sebelum ini dikatakan kewangan adalah puncanya. Ini memberi gambaran, bantuan kewangan semata-mata bukan penyelesaiannya.  Motivasi untuk berubah dan kemahiran mengurus kewangan mungkin diperlukan.

2. MPSP telah memberikan kebenaran untuk penghuni flat menggunakan tanah lapang bersebelahan flat untuk dijadikan tapak pertanian sementara untuk pendapatan sampingan.
Isu: keadaan kering dan tanaman kurang hasil. Masing-masing menaman jenis tanaman berlainan, jadi potensi pasaran kurang.

3. Terdapat surau dan dewan dibawah flat yang boleh digunakan untuk aktiviti.

4. Sebahagian penduduk flat mempunyai semangat untuk melakukan perubahan dalam komuniti mereka.

Perancangan:
1. Pendidikan merupakan senjata paling ampuh untuk perubahan masyarakat. Kita telah lihat bantuan kewangan (walaupun mungkin tidak seberapa) disalurkan namun kejadian anak terbiar, keciciran sekolah dan konflik keluarga masih berlaku. Maka aspek kesedaran atau motovasi perlu dilihat. Kami merancang untuk mengadakan kelas pendidikan sekaligus motivasi kepada anak-anak (juga ibubapa secara berkala) disini. Kelas tidak perlu mengikut silibus sekolah tetapi lebih terbuka seperti Komunikasi Bahasa Inggeris dan Matematik Asas. Ini bertujuan untuk tidak meminggirkan mereka yang telah berhenti sekolah utk hadir.

2. Tanah lapang yang telah dijadikan tanah pertanian boleh dibangunkan dengan lebih baik melalui bantuan 'efficient microbial' (EM) atau mikroorganisna berkesan. Dengan cara ini tanah dapat disuburkan, baja racun perosak dan penggalak boleh dihasilkan sendiri melalui sisa dapur. Kos EM juga tidak mahal. Tanaman yang ditanam juga perlu diselaraskan supaya hasilnya banyak dan boleh dijual secara pukal kepada pemborong seperti pasar raya. Diharapkan, aktiviti ini dapat menambah kewangan keluarga yg terbabit dan menjadi platform utk memupuk perpaduan.

3. Turun Lapangan berkala untuk bertemu dengan belia salah laku gejala sosial dengan kata-kata nasihat dan doa yang baik-baik.

Banyak lagi yang perlu dilakukan untuk memastikan kerja buat ini berhasil. Kerja-kerja komuniti seperti ini tidak menjanjikan apa2 kecuali kepuasan dapat membantu apa sahaja dan lebih penting lagi mengharapkan ia diterima oleh Allah sebagai satu ibadah.

Kami memerlukan sukarelawan yang berminat dan komited untuk memfokuskan projek komuniti flat 100 ampang jajar ini. Kalau bukan anda siapa lagi ? Jadilah seperti benih yang baik yang bila dicampak ke laut menjadi pulau.

Hubungi Afifaliza 0194223850 atau Amir 0137069509 melalui sms / whatsapp untuk sertai kami.

Kebanyakan pokok yang ditanam ialah pisang dan kekabu
 

1 comment:

  1. rakan-rakan, moga terus thabat dan kuat dalam membantu masyarakat. amin

    ReplyDelete