Wednesday, March 21, 2012

PAMERAN STATIK SEMPENA KARNIVAL INDAH TAMAN AIR ITAM

Pada 18 Mac yang lalu, UNGGAS Malaysia telah dijemput oleh Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Kampung Melayu untuk mengadakan pameran statik bersempena dengan Karnival Indah Taman Air Itam.  Pelbagai program yang menarik telah diadakan sepanjang karnival berlangsung. Antara agensi yang turut sama dalam pameran tersebut ialah pihak Perpustakaan Awam Daerah Timur Laut,Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Alam Sekitar, Lembaga Tabung Haji, Klinik Kesihatan Daerah, Jabatan Bomba Dan Penyelamat, dan beberapa agensi lain lagi.

Gambar-Gambar Sekitar Program:


Tuesday, March 20, 2012

BENGKEL PEMBANGUNAN MANUAL ISLAM DAN MAK NYAH

Pada 13-15 Febuari 2012 yang lalu, Jabatan kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah menganjurkan satu bengkel yang dinamakan Bengkel Pemantapan Manual Muslim Dan Mak Nyah. Bengkel ini diadakan dengan tujuan untuk mewujudkan satu manual khas berlandaskan Islam untuk menangani isu Mak Nyah. Bengkel ini dihadiri oleh wakil-wakil daripada UNGGAS Malaysia, Majlis Agama Islam Selangor, Kementerian Kesihatan Malaysia Bahagian AIDS/STI, Kementerian Wanita, Keluarga Dan Masyarakat, Bekas Mak Nyah, Persatuan Ulamak Cawangan Wilayah Persekutuan, Majlis AIDS Negara dan beberapa organisasi lain.



Sepanjang tiga hari berada di sana, pelbagai input yang berharga telah diterima. Hari pertama kami berada di sana, kami didedahkan dengan pembentangan kertas kerja Oleh Dr. Zulkifli Bin Mohamad al-Bakri yang bertajuk “ Mak Nyah dari perspektif Islam”. Dalam pembentangan ini, beliau mengupas tentang definisi mak nyah, hukum berkenaan mak nyah serta cadangan untuk menyelesaikan masalah ini.

Friday, March 2, 2012

MEMBANTAH GERAKAN UNTUK MENERIMA DAN MENYEBARLUASKAN KANDUNGAN RESOLUSI 17 JUN 2011, PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU BERKENAAN ORIENTASI SEKSUAL & IDENTITI GENDER DAN HAK KEBEBASAN BERAGAMA


KENYATAAN AKHBAR PERTUBUHAN-PERTUBUHAN PEMBELA ISLAM (PEMBELA)

1 HARIBULAN MAC 2012 BERSAMAAN 8 RABIUL AKHIR 1433

MEMBANTAH GERAKAN UNTUK MENERIMA DAN MENYEBARLUASKAN KANDUNGAN RESOLUSI 17 JUN 2011, PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU BERKENAAN ORIENTASI SEKSUAL & IDENTITI GENDER DAN HAK KEBEBASAN BERAGAMA


Pada 17 Jun 2011, Majlis Hak Asasi Manusia (HAM) Pertubuhan bangsa-bangsa Bersatu telah meluluskan suatu resolusi berkenaan apa yang didakwa sebagai pencabulan hak asasi manusia berdasarkan orientasi seksual dan identiti gender. Walaupun mendapat sokongan yang kecil (hanya 23 negara yang menyokong), resolusi ini telah diluluskan dan bakal menzahirkan akibat yang sangat besar terhadap kelangsungan tamadun manusia dan kehidupan beragama. Resolusi ini terhasil dari tafsiran yang dangkal dan dimanipulasi mengenai fitrah seksual manusia, norma-norma kehidupan beradab serta menafikan peranan dan pengaruh agama di dalam kesejahteraan manusia. Resolusi tersebut meletakkan golongan LGBT di tempat yang salah, dengan memberikan pengiktirafan yang mengelirukan kepada mereka tanpa menyelesaikan permasalahan sebenar mengikut lunas agama dan nilai-nilai sebenar kemanusiaan.