Friday, January 28, 2011

Kempen “Kenali Kekasih, Kenali Rasulullah”



"Berikutan sambutan hari kekasih pada tahun ini (14 Feb) adalah sehari sebelum Sambutan Maulidurasul (15 Feb), Urusetia Menangani Gejala Sosial (UNGGAS) ingin mengajak masyarakat supaya bersama-sama ingat-mengingati dalam komuniti masing-masing supaya lebih mengenali Rasulullah daripada mengenali kekasih dalam cinta yang berlandaskan nafsu."



Dewasa ini kita menyaksikan ramai muda-mudi terjerumus ke dalam dunia yang melalaikan. Kecanggihan teknologi, aliran masuk budaya barat dan hiburan yang berlebihan telah mengubah corak kehidupan masyarakat. Saban tahun, budaya Melayu bagai dicarik dengan sambutan Hari Kekasih setiap 14 Febuari. Sesetengah masyarakat kita telah menerimanya sebagai rutin tahunan sehingga terlupa bahawa sambutan tersebut adalah melanggar keunggulan budaya dan keindahan agama.


Pada 2010, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) telah berjaya menahan seramai 74 orang penuntut IPT dan kolej yang terbabit dengan maksiat sempena sambutan Hari Kekasih. Mereka dicekup dalam satu operasi cegah maksiat di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan. Mengikut undang-undang, pesalah khalwat boleh disoalsiasat dan didakwa di bawah Seksyen 27 Akta Kesalahan Jenayah Syariah. Dari sudut agama pula, sambutan Hari Kekasih boleh dianggap melanggar kerukunan agama.
Hal ini jelas seperti yang diriwayatkan dalam sebuah hadith yang bermaksud:



“Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia termasuk dalam kaum tersebut”- Riwayat Abu Daud


Ramai di antara kita yang lebih gemar memilih cinta dunia yang belum pasti menjanjikan kebahagiaan. Ramai juga yang terleka sehingga mendahulukan cinta kekasih dan meminggirkan cinta terhadap Rasulullah. Hal ini perlu untuk diubati segera sebelum iman dilunturkan dengan budaya barat yang semakin ganas merasuk. Sewajarnya, umat Islam perlu mengenali Rasulullah, mencintai baginda lebih daripada manusia lain dan mengagumi kualiti akhlaknya.


“Belum beriman seseorang sehinggalah aku (Rasulullah S.A.W) lebih dicintainya daripada ayahnya, anaknya dan seluruh manusia”- Hadith Riwayat Bukhari


Menurut Anas r.a., Rasulullah sering keluar berdakwah bersama isteri ke luar daerah. Keindahan akhlak baginda amat terserlah apabila sentiasa memastikan keselesaan isterinya di tempat duduk di atas belakang unta. Bahkan baginda sanggup melutut bagi membolehkan isterinya berpijak di atas lutut baginda untuk naik ke atas unta.


Selain itu, baginda turut menjadi lambang seorang suami yang ringan tulang. Baginda sanggup menjahit baju yang terkoyak tanpa menyusahkan isterinya sendiri. Baginda juga tidak pernah culas untuk membuat kerja-kerja dapur termasuklah sanggup menyinsing lengan untuk menguli roti. Akhlak Rasulullah telah banyak kali dipuji oleh Allah S.W.T menerusi firmannya. Antaranya ialah:


“Demi sesungguhnya, adalah bagi diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa ingin mengharapkan keredhaan Allah dan balasan baik hari akhirat serta ia menyebut dan mengingati nama Allah banyak-banyak dalam masa susah dan senang.” Al-Ahzab:21


Persoalannya, berapa ramai di antara kita yang menjadikan Rasulullah sebagai ikutan dan model kekasih yang wajar dicontohi? Konklusinya, Rasulullah adalah contoh terbaik yang kita ada. Akhlak dan keperibadian unggul baginda harus mendapat tempat di hati semua.


Berikutan sambutan hari kekasih pada tahun ini (14 Feb) adalah sehari sebelum Sambutan Maulidurasul (15 Feb), Urusetia Menangani Gejala Sosial (UNGGAS) ingin mengajak masyarakat supaya bersama-sama ingat-mengingati dalam komuniti masing-masing supaya lebih mengenali Rasulullah daripada mengenali kekasih dalam cinta yang berlandaskan nafsu. Betapa ajaibnya, bila kita lebih mengenali seseorang manusia, lebih banyaklah kekurangan yang akan kita jumpa. Dengan cinta berlandas nafsu, sudah tentu lama-kelamaan sayang bertukar benci. Namun, bila kita lebih mengenali Rasulullah, semakin lama kita akan semakin kagum dengan sifat baginda. Rasa sayang pasti akan bertambah kepada rasa cinta yang berbeza, cinta yang suci yang kekal hingga ke syurga.


Mariani Ali Amran
Unit Media,
Kempen Kenali Kekasih, Kenali Rasulullah
UNGGAS