Sunday, September 1, 2013

Nurani Mereka Belum Cukup Disentuh



Bertempat di Camp D Tepus, Wang Tepus, Jitra, Kedah, bermulalah peristiwa perkenalan antara Aktivis Pertubuhan Urusetia Menangani Gejala Sosial (UNGGAS Malaysia) bersama 20 peserta remaja yang terpilih oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Kota Setar.  Program dua hari satu malam yang berlangsung pada 24 Ogos (Sabtu) dan 25 Ogos (Ahad) turut diserikan dengan kehadiran wakil ibu atau bapa peserta. Walaupun hari bekerja, namun pengorbanan mereka untuk hadir program ini amat dibanggakan. 

Peserta sedang mendengar taklimat daripada Ketua Fasilitator
                Program kali ini bertemakan “Retreat Keluarga: TSUNAMI Jiwa Menuju Ilahi” dan UNGGAS Malaysia amat terharu apabila diberi kepercayaan oleh JKM bagi mengendalikan program tersebut dari mula hinggalah akhir. Sebagai sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang bermatlamatkan pembangunan jiwa insan serta masyarakat, UNGGAS Malaysia berusaha sehabis baik untuk menunjukkan kepada peserta program bahawa masih ada lagi yang peduli dan sayangi mereka.
                Sungguhpun pengalaman UNGGAS sebelum ini pernah mengendalikan program bersifat motivasi, namun cabarannya sangat berbeza. Hal ini kerana, mana mungkin padang lain, belalang sama. Justeru, UNGGAS berusaha menghasilkan modul yang bertepatan dengan sasaran peserta. Jika modul yang digunakan tidak sesuai, sudah tentu program yang hanya memakan masa dua hari satu malam itu akan dilalui dengan payah oleh peserta. UNGGAS melakar modul yang berkonsepkan pemulihan spiritual berteraskan pemurnian akidah.
Kreatif... Saudara Amir (Presiden UNGGAS) menterjemahkan karya adik-adik
                Tempoh pengenalan yang singkat ini sangat mencabar bagi UNGGAS untuk merebut kepercayaan peserta terhadap enam barisan fasilitator. Hal ini bukan mudah bak mulut berbicara, namun praktikalnya sangat susah kerana adik-adik mempunyai persepsi negatif dalam benak mereka disebabkan terpaksa menghadiri program ini. Langkah yang diimplemen oleh fasilitator sepanjang program adalah mewujudkan kebersamaan dengan adik-adik. Sehingga mereka menganggap kami sebagai rakan walaupun berlainan usia. Biarpun mereka payah untuk dikendalikan, namun mereka tetap melakukan apa yang disusun. Segala keringat fasilitator ‘menempik’, ‘menjerit’ terasa berbaloi. 
Semangat... Pencarian klu untuk menang!!!!
                Slot yang sangat ceria adalah semasa Explorace iaitu aktiviti riadah pada waktu petang. ‘Keletah’ mereka amat membuatkan para ibu dan bapa, fasilitator serta staf JKM senyum kambing sepanjang petang tersebut. Semangat yang ditunjukkan amat luar biasa demi melihat kemenangan berpihak kepada kumpulan mereka. Kata salah seorang peserta: "Wooi! Rupanya donut hangit tu tayar la..."

Terharu mendengar kata-kata seorang bapa: 
"Pakcik terharu... tak pernah tengok anak pakcik berlari sambil senyum sejak beberapa tahun kebelakangan ni. pakcik harap sangat supaya tuan2/puan2 dapat beri layanan yang baik kepada mereka. pakcik tak mampu
Noted: Insya ALLAH Pak Cik. 
                Selain itu, cabaran yang dihadapi tentulah perlaksanaan sepanjang program kerana untuk program sebegini sangat memerlukan persediaan rapi dari sudut mental dan rohani. Tidak mungkin api mampu dipadamkan oleh api. Maka, barisan fasilitator berusaha menjadi rakan yang baik untuk mereka meluahkan rasa hati yang terpendam selama ini. Modul ‘Sungai Kehidupan’ yang menyentuh jiwa sedikit sebanyak memberi gambaran kepada fasilitator terlibat mengenai kisah silam mereka. Walapun pada mulanya, mereka agak kekok untuk bercerita, namun bahasa panggilan ‘adik’, ’abang’ dan ’kakak’ membuatkan mereka rasa dihargai dan diambil peduli.
    Manakala ibu dan bapa peserta turut melalui modul khas yang dihasilkan UNGGAS semata-mata memberi motivasi kepada mereka. Jauh dari sudut hati ibu dan bapa, mereka amat mengharapkan perubahan dalam diri anak-anak biarpun mulut yang berbicara kadang-kala menuturkan kata-kata yang dibenci anak-anak. Penceramah yang mengendalikan slot ‘Dari Hati ke Hati’ cuba mendalami perasaan dan nurani ibu dan bapa sekaligus memberi semangat agar mereka tidak jemu berusaha dan tidak mudah berputus asa untuk berdoa demi melihat anak-anak berjaya. Doa seorang ibu tiada hijab, terus kepada ALLAH S.W.T. Pihak UNGGAS pula tidak mengharapkan apa-apa daripada adik-adik, cukuplah mereka sedar masih ada pihak yang ingin melihat mereka berubah walapun bukan 100 peratus.
                UNGGAS berhasrat untuk membuat program susulan bersama 20 peserta tersebut. Modul yang akan digunakan juga adalah berbeza. Doa dan sokongan daripada pelbagai pihak sangatlah dihargai UNGGAS.
UNGGAS bersama Pegawai JKM

               

4 comments:

  1. UNGGAS Malaysia bakal menganjurkan lagi program khas untuk 20 orang peserta tersebut. Doa kalian juga amat diperlukan untuk kami meneruskan usaha ini.

    ReplyDelete
  2. satu perkongsian yang baik dan menarik

    ReplyDelete
    Replies
    1. Pengalaman yang cukup bermakna untuk UNGGAS mendepani adik-adik semua. Jauh dari sudut hati mereka, niat untuk berubah ada tetapi tidak cukup kuat menghadapi rakan-rakan sekeliling.

      Terima kasih sudi menjengah blog UNGGAS :)

      Delete