Showing posts with label gejala sosial. Show all posts
Showing posts with label gejala sosial. Show all posts

Monday, October 6, 2014

Pesta Arak Terbesar Di Dunia ? UNGGAS Malaysia Gesa Masyarakat Zahirkan Bantahan Dengan Jelas

KENYATAAN BERTINDAK.
Pesta Arak Terbesar Di Dunia ? UNGGAS Malaysia Bantah dan Gesa Seluruh Masyarakat Yang Prihatin Untuk Menzahirkan Bantahan Dengan Jelas.

Kami merujuk kepada acara Oktoberfest yang telah mula dilaksanakan secara kecil-kecilan bermula 24 Sept dan acara kemuncak 'outdoor'nya pada 10-12 Oktober di Pasaraya 1 Utama, Petaling Jaya. Penaja utama acara ini menurut laporan media adalah Carlsberg Malaysia.

Sejak dahulu lagi kami membantah keras sebarang acara yang mempromosikan amalan memunim arak atas dasar yang jelas bahawa ia bukan sahaja salah dari segi syarak bagi umat Islam dan juga agama-agama lain yang tidak suka umatya mabuk. Bahkan sangat terang lagi bersuluh ia membawa banyak implikasi sosial dan kesihatan yang buruk yang tidak perlu dijelaskan lagi disini. Terdapat beribu-ribu kajian yang telah dijalankan menunjukkan akibat buruk daripada amalan meminum arak.

Dengan cuma beberapa hari sahaja lagi acara besar-besaran Oktoberfest akan berlangsung. Kami menyeru agar semua warga Malaysia yang prihatin agar dengan tegas bertindak menyatakan bantahan secara individu atau berkumpulan.

Kami menyeru masyarakat yang prihatin agar membajiri media sosial dengan kempen anti pesta arak. Kami menyeru masjid-masjid, rumah-rumah ibadat, sekolah-sekolah, serta premis-premis utama mempamerkan kain-kain rentang membantah acara ini dan pertubuhan-pertubuhan awam agar memulakan kempen bahaya arak secara tegas. Kumpulkan aktivis-aktivis sosial, kesihatan dan moral dan turunlah ke lapangan ke pasar-pasar raya dan tempat-tempat awam seluruh Malaysia untuk memberi penerangan dan berkempen tentang bahaya arak dan kenapa pesta arak di tempat tumpuan awam perlu dibantah.

Walaupun akhirnya nanti jika pesta kemuncak Oktoberfest ini tetap dilaksanakan, kita telah menunjukkan kepada masyarakat dunia bahawa kita, rakyat Malaysia yang prihatin, tidak redho dengan pesta maksiat ini.

Semoga usaha kecil ini membawa manfaat yang besar kepada generasi kita dimasa hadapan.

Fitri Amir
UNGGAS Malaysia

6 Oktober 2014

https://www.facebook.com/pages/Urusetia-Menangani-Gejala-Sosial-UNGGAS

Wednesday, September 24, 2014

Sebulan Lagi SPM. Calon Sekolah Juvana Hadapi Titik Penting Dalam Hidup Untuk Perubahan

Program kelas Akademik untuk remaja juvana di Sekolah Tunas Bakti, Butterworth masih berjalan. Hanya tinggal lebih kurang sebulan 10 hari sahaja lagi menjelang SPM pada november ini. Moga-moga semua pelajar SPM yang disabitkan kesalahan juvana ini beroleh kejayaan dalam SPM sekaligus dalam hidup.

Setinggi-tinggi penghargaan kepada semua guru sukarela yang komited dan berdedikasi. Mereka tidak mahu dikenali, jadi kami gunakan kod nama untuk mereka.
1) Pn N
2) Pn S
3) En R
4) En Z
5) En I
6) Cik A

Pendidikan merupakan senjata paling ampuh untuk perubahan masyarakat. Mudah-mudahan usaha yang kecil ini memberikan manfaat yang besar kepada mereka dan keluarga mereka yang terlibat. Bagi mereka yang masih ingin menjadi guru sukarela bersama UNGGAS Malaysia. Projek BuFFER (Book And Food For Better Future ) masih memerlukan guru yang berdedikasi. 

Hubungi kami melalui email unggasmail@gmail.com atau fb page Urusetia Menangani Gejala Sosial Malaysia (UNGGAS MALAYSIA).

n.fitri amir


Monday, September 22, 2014

Rumah Perlindungan Gelandangan Tak Sempat Siap

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Taib, berkata pihaknya kesuntukan masa menyiapkan rumah itu walaupun Datuk Seri Najib Razak mengatakan ia akan siap sebelum akhir tahun ini.

Katanya, DBKL masih belum menyelesaikan proses membeli bangunan untuk dijadikan rumah perlindungan gelandangan.

"Kalau ikut apa yang perdana menteri minta, beliau mahukan rumah perlindungan siap sebelum akhir tahun 2014, maksudnya kita sudah tidak cukup masa.
"Apabila kita dapat sahaja beli bangunan tersebut, maka kita akan segerakan kerja-kerja menyiapkan rumah itu," katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis pelancaran Garis Panduan Reka Bentuk Bandar Pusat Kuala Lumpur.

6 Julai lalu, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata DBKL merancang membeli rumah kedai bagi dijadikan rumah perlindungan untuk gelandangan di ibu negara, sebagai tambahan kepada Anjung Singgah yang disediakan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

"Kita akan beli empat rumah kedai empat tingkat di Lorong Haji Taib untuk diubah suai (menjadi rumah perlindungan)," katanya, dan menambah rumah perlindungan yang selesa itu dijangka siap menjelang hujung tahun ini.

Ia ekoran kenyataan kontroversinya mengharamkan dapur jalanan daripada menyediakan bantuan makanan kepada gelandangan di pusat bandaraya.

Beberapa hari kemudian, Najib, ketika melakukan tinjauan aktiviti dapur jalanan di sekitar ibu kota, berkata tempat khas bagi menempatkan golongan gelandangan itu dijangka siap dalam masa enam bulan.

Najib berkata selain menyediakan tempat tidur pada waktu malam, ia juga akan dilengkapi kemudahan bilik mandi serta lokar menyimpan barangan golongan kurang bernasib baik itu.

"Itu yang dia perlu, bukan flat tapi tempat di mana dia boleh tidur supaya tidak tidur di tepi jalan," katanya.

Datuk Bandar itu berkata selain di kawasan Jalan Raja Laut, DBKL juga sudah mengenal pasti sebuah bangunan yang boleh dijadikan rumah perlindungan iaitu berdepan Jalan Chow Kit.

Katanya, bangunan itu adalah bekas hotel lama di mana pemiliknya sudah menyatakan kesediaan menjualkannya kepada kerajaan.

Bagi proses itu, beliau berkata DBKL kini sedang menantikan harga bangunan tersebut yang akan dinilai oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta

"Kita juga sudah memaklumkan kepada Kementerian Wilayah Persekutuan untuk meminta jabatan tersebut menyegerakan urusan itu," katanya.

Selain itu, Phesal berkata Malaysia Resources Corporation Bhd (MRCB) juga menyatakan minatnya untuk membangunkan rumah perlindungan gelandangan berdekatan hospital kerajaan.

"Kita sudah berbincang dengan kementerian juga, rumah perlindungan yang bakal dibina di hadapan hospital awam akan dibangunkan pihak MRCB.

"Dan kami juga sudah berbincang dengan MRCB untuk mereka kemukakan cadangan dan reka bentuk bangunan bagi DBKL pertimbangkan," katanya. – 22 September, 2014. The Malaysian Insider.

Tuesday, September 9, 2014

Pengalaman pertama bersama penghuni STBTAT

Alhamdulillah, segala puji hanya selayaknya diberikan kepada ALLAH.

Program khas untuk membantu 29 penghuni Sekolah Tunas Bakti, Teluk Air Tawar (STBTAT), Butterworth telah bermula pada 5 September, Jumaat yang lalu.

Setelah UNGGAS Malaysia menyebarkan poster pencarian guru sukarela, alhamdulillah ramai yang menghubungi kami untuk bertanya mengenai kekosongan guru sukarela.

Guru sukarela yang dicari adalah khas untuk mengajar 29 penghuni STBTAT yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) November nanti.

Subjek yang memerlukan guru sukarela segera adalah Sains, Matematik, Bahasa Inggeris dan Pendidikan Islam. Alhamdulillah dalam masa sehari sahaja, ada yang sudi mengajar subjek ini secara sukarela.

Setakat ini, lima guru sukarela yang akan mengajar mereka sehingga SPM tiba.

Kelas Pertama.. Aktif bukan Pasif...



Respon dari kedua pihak amat positif, samada pihak guru sukarela atau penghuni STBTAT. Masa berlalu terasa amat pantas oleh mereka. Sedar tidak sedar, masa mengajar dan belajar telahpun tamat. 

Antara komen guru sukarela:-

Sains: "Sangat bersemangat nak belajar. Tanya ja memanjang. Tapi kena kawal, takut meleret"

Matematik: "Kebanyakannya berjaya menyelesaikan soalan linear equation. Tambahan pula, mereka sangat excited nak belajar. Jelas kelihatan mereka juga sangat menghargai guru. Malah, terserlah mereka sangat dahagakan ilmu."

Bahasa Inggeris: "Mereka sangat mudah untuk menerima arahan dan kerjasama yang baiki diberikan. Boleh dikatakan mereka berdisiplin dalam kelas. Namun agak susah kerana apabila diberikan tugasan untuk menyenaraikan kebaikan mereka, mereka sangat payah untuk tuliskan. Sedangkan sebenarnya, ada kebaikan yang mereka lakukan tanpa mereka sedari tetapi mereka masih gelar diri mereka jahat."

Sekian laporan untuk kelas pertama bersama adik-adik penghuni STBTAT yang ceria dan spontan. Nantikan cerita menarik untuk kelas minggu hadapan.


"Jika anak Adam meninggal dunia, maka amalnya putus kecuali tiga perkara; shadaqah jariyah, ilmu yang bermanfaat, dan anak soleh yang mendoakannya." Hadis Riwayat Muslim.

Wednesday, September 3, 2014

GURU SUKARELA UNTUK PENGHUNI SEKOLAH TUNAS BAKTI DIPERLUKAN!

Pernahkah anda membayangkan atau merasai sendiri pengalaman masuk ke dewan peperiksaan tanpa sebarang persiapan atau persiapan yang ala kadar? 

Tambahan lagi, peperiksaan yang bakal diduduki adalah peperiksaan Sijil pelajaran Malaysia (SPM).

Hal ini bakal berlaku kepada 29 penghuni Sekolah Tunas Bakti (STB) Teluk Air Tawar, Butterworth, Pulau Pinang yang akan menduduki peperiksaan SPM Oktober nanti sekiranya kita tidak berbuat sesuatu.

Oleh itu, UNGGAS MALAYSIA (Like Page) sangat mengalu-alukan sesiapa sahaja (tidak tertakluk kepada guru sahaja) untuk mengajar mereka di STB bermula bulan ini. Mohon sebarkan juga kepada rakan dan kenalan anda.

Hubungi/sms: 0174133858 untuk maklumat lanjut.

‘Jika anak Adam meninggal dunia, maka amalnya putus kecuali tiga perkara; shadaqah jariyah, ilmu yang bermanfaat, dan anak soleh yang mendoakannya.’ Hadis Riwayat Muslim.



Sunday, August 24, 2014

Malam Ambang Merdeka 2014: Turun lapangan di kawasan anda!



Pengenalan

Remaja merupakan satu kelompok masyarakat yang paling penting dalam sesebuah negara, jika remaja yang ada pada hari ini cemerlang, maka aman dan makmurlah negara kita dimasa hadapan. Namun, berikutan pelbagai kes yang melibatkan remaja hari ini, segelintir mereka dilihat seolah-olah sebagai beban kepada masyarakat. 

Segala bentuk kebejatan sosial yang berlaku pada hari ini disepuh kepada imej mereka. Sehingga akhirnya, kelompok remaja yang telah tersasar ini merasakan diri mereka tidak berharga dan terus bergelumang dalam kancah kemaksiatan kerana tiada  motivasi diri untuk berubah. 




Golongan-golongan pendakwah jarang sekali mendekati golongan ini dan berdakwah secara terus kepada mereka. Mereka sebenarnya sangat memerlukan kaunseling keagamaan dan kasih sayang masyarakat. Setiap pendakwah mesti berusaha lebih keras lagi untuk memperbaiki keadaan masyarakat dengan melaksanakan satu proses yang tersusun secara berperingkat di medan lapangan dakwah mereka.

Bagi tujuan itu, UNGGAS Malaysia telah mengenalpasti hari-hari perayaan tertentu yang menjadi hari ‘merdeka’ bagi para remaja. Pada hari tersebut, mereka akan berhias mengikut trend masing-masing dan berhimpun ditempat-tempat tertentu. Aktiviti lepak biasanya akan ditambah dengan kegiatan-kegiatan tidak bermoral seperti hidu gam, arak, dan zina. Maka satu program yang dinamakan Operasi Sayangi Remaja sejak 2007 dilaksanakan sebagai aktiviti dakwah atau kaunseling lapangan dan bukannya untuk tujuan penguatkuasaan atau penangkapan. 

 Dekati bukan Marahi

Seperti tahun-tahun sebelum ini, UNGGAS Malaysia bersama rakan NGO yang lain akan turun ke lapangan yang menjadi tempat berkumpul remaja bagi menyambut merdeka.

Tahun ini, UNGGAS Malaysia dan rakan NGO lain iaitu ABIM, MAPIM, IKRAM, PAFI, Zonkita.org, dan MIM Broters sasarkan tiga tempat iaitu Sungai Petani, Kedah, Butterworth, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.

 


 Kepada sesiapa yang berminat untuk menyertai misi turun lapangan, bolehlah rujuk contact person di tempat anda.


Friday, August 22, 2014

ROKOK dan PORNO

Rokok dan video lucah adalah antara bahan larangan paling popular dikongsikan oleh remaja-remaja yang mula terlibat aktiviti liar di sekolah. Kepada ibubapa rajin-rajinlah memantau anak-anak anda. Berikut merupakan statistik merisaukan berkenaan ROKOK dan VIDEO PORNO diseluruh dunia:

PORNOGRAFI:
$ 3,075.64 dolar wang dihabiskan untuk pornografi setiap SAAT.

28,258 orang sedang menonton video porno setiap SAAT.

372 orang sedang menaip 'search term' porno di internet setiap SAAT.

Setiap 39 minit, sebuah video porno baru akan dihasilkan.

ROKOK:
Syarikat rokok memperolehi $ 664 billion setahun hasil jualan rokok. Cukup untuk usaha membasmi kemiskinan di seluruh dunia.

Seorang perokok mati setiap 6 SAAT atau 10 orang setiap minit akibat penyakit berkaitan rokok.

Lebih 600 000 orang bukan perokok (ahli keluarga perokok) mati setiap tahun kerana menghidu asap rokok. 1/3 daripadanya adalah kanak-kanak.

Terdapat anggaran 1.1 billion perokok diseluruh dunia pada tahun 2014.

Di negara-negara membangun dan miskin, didapati 30% pendapatan keluarga akan dihabiskan untuk rokok seterusnya mengetepikan keperluan untuk pendidikan, nutrisi, dan penjagaan kesihatan.

Tuesday, August 12, 2014

Nasib bangsa malam merdeka ! OSR Merdeka 2014.

Nasib bangsa pada masa hadapan, bergantung kepada sikap pemuda pada hari ini. Pergaulan bebas, Rokok, Gam, Arak, Jenayah, Subculture, Hedonisma...dan apa lagi ??
Jangan biarkan mereka terus hanyut.. Kalau bukan kita, siapa lagi. Kalau bukan sekarang, bila lagi.
Jom sertai. Turun Lapangan, nasihat-menasihati, kasih-mangasihi.
📌
Ops Sayangi Remaja Malam Merdeka.
30 Ogos 2014.
8 mlm - 3 pg.
Berhimpun di Surau Taman Tun Dr Awang, Pantai Bersih, Butterworth.
Datang dgn niat dakwah, hidayah milik Allah, kita berusaha, moga-moga berjaya. Mohon disebarkan.
Info:
Hubungi Afifaliza 0194223850
@ layari
www.sinarloronggelap.blogspot.com
fb page: Urusetia Menangani Gejala Sosial

Monday, August 11, 2014

Erti Kemerdekaan 2014 !

Menurut pendeta Za’aba, erti kemerdekaan ialah “berubah daripada kepercayaan bodoh yang melemahkan akal dan ikhtiar kepada kepercayaan yang cerdik yang membebaskan fikiran; daripada ajaran yang mematikan hati kepada ajaran yang menghidupkan dan menyuburkan dia; daripada i‘tiqad-i‘tiqad yang serong dan terpesong kepada i‘tiqad yang subur dan merdeka; daripada kezaliman pemerintahan berdasarkan hawa nafsu kepada kesalehan; dan daripada fikiran-fikiran yang menahankan dan menyekat kemajuan kepada fikiran yang membebaskan kemajuan dan menggalakkan kemaraan yang baik-baik dan mulia.”

Kempen Kariah Turun Lapangan. Remaja Nadi Anak Bangsa. OSR 31 Ogos 2014.

Turun jangan tak turun !
UNGGAS MALAYSIA

Thursday, August 7, 2014

Mesyuarat Awam Program Ops Sayangi Remaja Malam Merdeka 2014

Nasihat menasihatilah kamu dalam perkara kebaikan...

Mesyuarat awam berkaitan program turun lapangan menangani gejala sosial sempena malam tahun baru 2014 untuk Pulau Pinang akan diadakan pada malam ini dan Ahad ini di Kuala Lumpur.

Pulau Pinang.
Mesyuarat Awam Ops Sayangi Remaja.
7 Ogos 2014. 8 malam
Serambi Dakwah, Lorong Bagan Lalang 22, Taman Bagan Lalang, Butterworth.

Kuala Lumpur.
Mesyuarat Awam Ops Sayangi Remaja.
10 Ogos 2014. 8.30 pagi.
Perkarangan Masjid Jamek, Kuala Lumpur.
(bolehlah hadir awal seawal jam 5.30 pagi untuk aktiviti pengedaran makanan percuma kepada warga gelandangan pada hari tersebut)

Acara ini perlu sokongan ramai, jika tidak. Aktivis-aktivis dakwah kita akan tenggelam dalam ribuan manusia yang sedang lalai sehingga ada yang lupa batas-batas moral. Antara sasaran biasa dakwah kita adalah kanak-kanak yang berkeliaran malam, remaja-remaja lepak, pasangan yang berkelakuan tidak sopan di tempat awam, mat-mat motor dan kereta, dan pelbagai lagi ragam manusia apabila menyambut malam keraian.

Perlu diingat, program ini bukan acara tangkap-menangkap seperti selalu disalah ertikan oleh sesetengah pihak. Ini acara nasihat-menasihati dengan kasih sayang.

Datang dan berilah sokongan. Hubungi Afifaliza jika ada sebarang pertanyaan; 0194223850.

Silalah tekan butang 'share'. Mudah-mudahan anda juga menerima saham pahalanya...

Layari www.sinarloronggelap.blogspot.com atau fb Urusetia Menangani Gejala Sosial (UNGGAS MALAYSIA).

Wednesday, June 25, 2014

Gelandangan Ramadhan: Apa Yang Mereka Akan Belajar ? Cara-cara Mengemis Untuk Hidup ! Jangan Biarkan Ia Berlaku.

Perkembangan Kembara Ramadhan: Santuni Vagabond.
49 pelajar Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan Universiti Sains Malaysia akan bersama warga jalanan pada 5 Julai dan 6 Julai untuk memulakan kempen kesedaran pendidikan untuk anak2 jalanan.
Alhamdulillah, 30 set peralatan sekolah telah ditaja. Set peralatan sekolah tersebut akan diberikan kepada anak-anak gelandangan setelah sesi 'ice breaking' dan motivasi pendidikan kepada mereka."
Melalui pengalaman kami, menjelang ramadhan, jumlah gelandangan yang menjadi peminta sedekah akan bertambah. Apa yang menyedihkan, mereka turut membawa isteri dan anak-anak. Mereka datang dari jauh sejauh Baling dan Taiping.  Apa yang menyedihkan dan membimbangkan, anak2 ini sepatutnya bersekolah. Namun terpaksa mengikut ayah ibu yang menjadi gelandangan bermusim. Kami mahu menjalin persahabatan dgn ibubapa ini dan menasihati mereka bahawa perbuatan mereka ini salah dan kita mahu membuka minda anak2 ini bahawa dunia ini luas dan terbuka banyak peluang utk kita terokai. Belajarlah dan kejarlah bintang.
"Pengembaraan bakal bermula tidak lama lagi.."
Jika anda prihatin dgn isu ini, kami masih memerlukan sumbangan untuk membeli sedikit token (kuih raya) untuk ibu bapa dan alatan sekolah utk anak2. Token ini bukan utk menggalakan mereka, tetapi hanya dijadikan sebab utk mendekati mereka dgn kasih sayang.
Hubungi Afifaliza  0194223850 utk menyumbang. Sumbangan boleh dibuat ke akaun UNGGAS
8600937558.

Thursday, May 22, 2014

PMI USM bersama Gelandangan di Georgetown

Pada 10 Mei yang lalu, UNGGAS Malaysia bersama pelajar Persatuan Mahasiswa Islam, Universiti Sains Malaysia (PMI USM) dan Pergerakan Perkhidmatan Masyarakat (PPM USM) memberi makan kepada gelandangan. 

Ada yang gelandangan mempunyai rumah, keluarga, pekerjaan. Persoalannya, mengapa mereka bahagia bergelandangan? Peserta berpengalaman untuk berbual dengan gelandangan dan mencari jawapan kepada persoalan ini.









Satu tindakan akan mengubah persepsi. Yang penting, BERTINDAK!

Wednesday, May 21, 2014

Jangan Pesimis Tapi Jangan Pula Percaya Semuanya

Sebelum turun lapangan, kami galakkan para aktivis sekalian hadir sesi latihan LANDAS ( kami mengalu-alukan jemputan anda) untuk memahami kaedah atau skills turun lapangan yang sepatutnya. Dalam setiap perkara yang kita lakukan, ada do and don't.  Jika kita abaikan hal ini, maka kesilapan yang membawa musibah boleh berlaku. Ini contohnya:

Dimaklumkan bahawa berita Utusan dibawah ini kurang tepat kerana team UNGGAS pernah menangani kes keluarga ini. Ini adalah respon daripada UNGGAS KL yang melaksanakan kempen menyantuni gelandangan setiap Ahad:

" Kes dah lama. Bbrp bulan lepas.
Saya uruskan sampai dpt duit Baitulmal rm3ribu. Dpt rumah DBKL tapi taknak .
Lari masuk blk bwh jambatan.
Tipu itu suami...padahal abang kandung.
Saya diugut bunuh. Cari saya lps duit bantuan habis.
Skrg tipu media lain pulak.....
Allah...pls help ! " - vimmi yasmin razak

Jika anda tidak percaya, bolehlah merujuk akhbar harian metro beberapa bulan yang lepas berkenaan kes Gelandangan Di Bangkok Bank.

Kami bersimpati diatas penipuan keatas wartawan berkenaan. Semoga terus cekal dalam tugas.


UNGGAS Banteras Gejala Sosial - Sinar Harian

14 Mei 2014 : PERTUBUHAN Menangani Gejala Sosial Malaysia (Unggas) yang mula digerakkan pada 2008 bertekad untuk membantu golongan yang terjebak dalam kancah penyakit sosial dan membantu mereka keluar dari ruang tersebut melalui pencegahan dan pemulihan.

Pada masa sama, Unggas berusaha memahami permasalahan sosial dalam aspek makro dan mikro.

Yang Dipertua, Nurfitri Amir Muhammad berkata, Unggas ada misi tersendiri sepanjang penubuhannya sebagai badan bukan kerajaan (NGO).

Misi Unggas adalah mewujudkan komuniti setempat yang dapat berfungsi semaksima mungkin untuk menangani gejala sosial berdasarkan kajian setempat yang dilaksanakan dan program latihan yang diberi.

Menurut Nurfitri Amir, Unggas memilih untuk menangani gejala sosial di Malaysia ekoran wabak itu dilihat makin serius berlaku sepanjang tahun.

"Isu bohsia, lepak, minum minuman keras, budaya black metal, bersekedudukan, trash metal dan banyak lagi sudah berleluasa sejak dulu lagi. Masa akan datang, kita tidak tahu apa lagi isu yang akan timbul.

"Sebab itu, kita di Unggas berusaha membanteras gejala sebegini kerana melihat satu keperluan untuk kita memobilisasi golongan muda ke arah keinginan, keyakinan, kemahiran dan daya bertindak yang berkesan menangani gejala sosial terutamanya di kalangan remaja dan belia," katanya kepada Citra.

Ditanya berkenaan persaingan Unggas Malaysia dengan NGO yang sedia ada di Malaysia, Nurfitri Amir tersenyum.

"Persoalan persaingan dengan NGO lain tidak timbul kerana kami meraikan pepatah the more the merrier bermakna lebih banyak NGO yang melaksanakan kerja-kerja kemasyarakatan, beban tanggungjawab untuk komuniti boleh dikongsi bersama.

"Unggas berbentuk gerakan yang membuat advokasi dan menyebarkan fahaman dakwah lapangan iaitu dakwah perlu dilaksanakan dengan turun ke lapangan, menyelami kehidupan mereka yang terlibat dalam isu sosial dan memahami sosio budaya masyarakat di sekelilingnya.

"Maka untuk memastikan gerak kerja Unggas berkekalan, pemahaman dakwah lapangan ini akan diterapkan dalam setiap komuniti yang kami dekati. Apabila mereka faham, mereka akan melaksanakan idea unggas ini dalam komuniti setempat mereka atas apa jua nama sekalipun seperti JKK, kariah, kelab pelajar dan sebagainya," katanya.

Aktiviti disertai

"Pelbagai aktiviti disertai Unggas, antaranya menyertai Ops Sayangi Remaja iaitu membawa sukarelawan untuk turun ke tempat tumpuan pada malam merdeka, malam tahun baru, malam Hari Malaysia dan hari kekasih dengan tujuan berjumpa dan nasihat menasihati remaja dan dewasa yang berhimpun.

"Melakukan kebajikan pemberian makanan kepada gelandangan bertujuan mendekati, memahami dan menasihati mereka serta melakukan pemetaan komuniti dan kajian sosiobudaya komuniti tempatan dalam isu kemiskinan, pusat hiburan dan pelacuran.

"Maklumat ini akan digunakan untuk tujuan advokasi dan lobi perubahan polisi ke arah anti isi sosial," katanya.

Khidmat kaunseling dan bantuan penyelesaian masalah kepada mereka yang terlibat dengan isu sosial, melaksanakan kempen menutup aurat tahunan yang dinamakan kempen Gerakan Menutup Aurat dan mengadakan Latihan Aktivis Dakwah Dalam Isu Sosial untuk belia turut diadakan Unggas Malaysia

Nurfitri Amir berkta, setakat ini, aktiviti dilakukan Unggas sering kali mendapat sambutan ramai malah boleh dikatakan banyak programnya memberi impak positif kepada masyarakat.

"Saya percaya setiap perkara baik yang dilakukan pasti akan memberi impak positif kepada masyarakat.  

"Kami percaya Unggas memberikan inspirasi dan harapan kepada ramai individu dan keluarga untuk berubah. Begitu juga dengan komuniti, sekarang kesedaran untuk turun kelapangan dan jalanan semakin tinggi," katanya.

Beroperasi di Serambi Dakwah, Lot 3560, MK 16, Lorong Bagan Lalang 22, Taman Bagan Lalang, Butterworth, Pulau Pinang, besar harapan beliau terhadap Unggas.

"Harapan saya agar persatuan ini terus memberi inspirasi kepada rakyat untuk  melaksanakan tanggungjawab dan ambil peduli isu yang ada dalam komuniti.

"Unggas tidak mengharapkan apa-apa kredit atau sanjungan melainkan harapan agar amalan aktivis dan sukarelawan Unggas diterima ALLAH SWT," katanya sambil mengalu-alukan pembaca Sinar Harian melayari blog www.sinarloronggelap.blogspot.com.

http://www.sinarharian.com.my/rencana/unggas-banteras-gejala-sosial-1.280044

Monday, May 12, 2014

Brainstorm Projek Book and Food for Better Future (BuFFER Zone)

Pada 10 Mei lepas, satu sesi brainstorming perancangan Projek BuFFER Zone telah diadakan oleh Team Research & Action UNGGAS Malaysia.
Sesi ini telah dihadiri oleh wakil UNGGAS Malaysia, Kelab Social Work Crew USM, Pergerakan Perkhidmatan Masyarakat USM, Kariah Masjid Sembilang, MIM Brothers, dan individu-individu aktivis.
Program kelas akademik / motivasi, makanan tambahan & projek ekonomi pertanian akan bermula secara rasmi Julai (lepas raya). Tetapi kempen dan kelas pengajian untuk para ibu dan majlis sambutan berbuka puasa berkala akan mula Ramadhan ni.
Bulan 6 dan 7 ini, tumpuan akan diberikan terhadap kempen mengumpulkan sukarelawan dan dana.
InsyaAllah setiap sukarelawan yang dtg mengajar dan beri motovasi akan diberi sedikit duit untuk keperluan petrol kenderaan / tambang.
Kawasan flat terbabit terletak di Ampang Jajar. Susur keluar Permatang Pauh dari highway PLUS. Boleh rujuk posting sebelum ini di www.sinarloronggelap.blogspot.com untuk laporan isu.
Semoga ia menjadi kenyataan.

Wednesday, May 7, 2014

Menghayati Hidup Gelandangan bersama pelajar USM

Coming Up Next Event:- "Change How You See Homeless, Make Them Visible"

1- 9/5 (Jumaat): Menyantuni Gelandangan bersama 20 ahli Kelab My Agrosis USM sekitar Georgetown

2- 10/5 (Sabtu) Menyantuni Gelandangan bersama 40 ahli Persatuan Mahasiswa Islam (PMI) USM sekitar Georgetown

*Antara objektif program adalah untuk memberi persepsi baru kepada peserta keadaan malam terutamanya situasi hidup gelandangan

Tuesday, April 29, 2014

Masa Untuk Bertindak ! Anda Diperlukan !

Community Research and Action Group: masa untuk bertindak.
InsyaAllah. Setelah pemerhatian, temuramah, sesi hemoi dan pemetaan dibuat, bermula Mei seperti yang telah diwar-warkan. Team Research And Action UNGGAS Malaysia akan memulakan Projek pembangunan komuniti flat100 ampang jajar dengan pendekatan untuk dua isu.
1. Pendidikan
2. Sosio Ekonomi.
Secara ringkas kita memerlukan sukarelawan untuk menjadi guru@motivator, memasak makanan untuk kanak-kanak, pembantu teknikal untuk tanaman herba dengan EM dan pembantu pemasaran produk herba.
Kita juga mengalukan para ahli akademik untuk menjalankan kajian sosioekonomi dan sosiobudaya dengan kerjasama UNGGAS Malaysia.
Tidak kurang penting, sumbangan kewangan dari orang ramai.
Mohon bersedia untuk mendaftarkan diri bila poster iklan dikeluarkan nanti. Kita akan jemput mereka yang mendaftar dalam meeting gerak kerja mungkin pada 10 mei. Bagi yang belum tahu isu apa yang dibincangkan, boleh rujuk posting sebelum ini. Mohon share.

Friday, April 18, 2014

Projek Flat 100 Ampang Jajar. Demi Kesejahteraan Masyarakat ! Kalau Bukan Anda Siapa Lagi ?

Flat100 Ampang Jajar, Kariah Sembilang.
Setelah pemetaan komuniti dilaksanakan, kami telah bermesyuarat bersama Pengerusi dan Setiausaha kariah berkenaan iaitu Masjid Sembilang tentang hasil tinjauan kami, berikut merupakan isu yg dipersetujui dan rancangan yg bakal dilaksanakan:

Isu / masalah:
1. Masalah anak-anak kecil terabai dan berkeliaran di sekeliling flat, dijaga kakak atau abang yang masih kecil boleh mengundang musibah. Ini berlaku kerana tekanan hidup untuk mencari rezeki lebih berat untuk ibubapa tanggung sehingga hal-hal kebersihan, kesihatan dan keselamatan anak jatuh ke tempat kedua. Berikutan tekanan hidup juga, ramai yang terlibat dalam konflik keluarga. Jumlah ibu tunggal atau ibu tinggal (suami jarang pulang ke rumah) juga ramai. Ini turut menyumbang kepada anak-anak kecil terbiar dan ada yang didapati menahan lapar, tidak makan tengah hari sementara menunggu kepulangan ibu.

2. Jumlah remaja yang keciciran pelajaran seawal sekolah rendah yang ramai. Ini disebabkan kebanyakan mereka tidak lagi berminat untuk belajar dan terlibat dalam aktiviti luar. Namun ada juga yang terpaksa berhenti sekolah untuk mula bekerja bagi menampung kos hidup keluarga.

3. Kawasan sekitar flat dan juga taman rekreasi yang berhadapan dengan flat sering menjadi tempat maksiat oleh muda mudi selain masalah hidu gam dan gejala dadah

4. Masalah perpaduan antara kaum dimana jarang berlaku interaksi kerana kurang aktiviti kemasyarakatan secara bersama.

Potensi:
1. Flat ini telah dimasukkan ke dalam kawasan kariah Masjid Sembilang bermula akhir tahun lepas. Masjid ini merupakan masjid yang aktif dalam hal-hal kemasyarakatan. Satu program kerjasama untuk mengenal pasti keluarga yang memerlukam bantuan kewangan telah dibuat secara bersama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Pusat Urus Zakat (PUZ) dimana jawatankuasa masjid telah memastikan semua dokumen dan bukti-bukti dikumpulkan untuk memudahkan JKM dan PUZ meluluskan bantuan bagi mereka yang terlibat. Hasilnya 120 keluarga telah dikenal pasti dan mendapat bantuan tahunan atau bulanan. Pihak kariah juga komited untuk membantu sebarang bentuk program komuniti.
Isu : mengapa masih ada kanak-kanak terbiar dan konflik keluarga jika sebelum ini dikatakan kewangan adalah puncanya. Ini memberi gambaran, bantuan kewangan semata-mata bukan penyelesaiannya.  Motivasi untuk berubah dan kemahiran mengurus kewangan mungkin diperlukan.

2. MPSP telah memberikan kebenaran untuk penghuni flat menggunakan tanah lapang bersebelahan flat untuk dijadikan tapak pertanian sementara untuk pendapatan sampingan.
Isu: keadaan kering dan tanaman kurang hasil. Masing-masing menaman jenis tanaman berlainan, jadi potensi pasaran kurang.

3. Terdapat surau dan dewan dibawah flat yang boleh digunakan untuk aktiviti.

4. Sebahagian penduduk flat mempunyai semangat untuk melakukan perubahan dalam komuniti mereka.

Perancangan:
1. Pendidikan merupakan senjata paling ampuh untuk perubahan masyarakat. Kita telah lihat bantuan kewangan (walaupun mungkin tidak seberapa) disalurkan namun kejadian anak terbiar, keciciran sekolah dan konflik keluarga masih berlaku. Maka aspek kesedaran atau motovasi perlu dilihat. Kami merancang untuk mengadakan kelas pendidikan sekaligus motivasi kepada anak-anak (juga ibubapa secara berkala) disini. Kelas tidak perlu mengikut silibus sekolah tetapi lebih terbuka seperti Komunikasi Bahasa Inggeris dan Matematik Asas. Ini bertujuan untuk tidak meminggirkan mereka yang telah berhenti sekolah utk hadir.

2. Tanah lapang yang telah dijadikan tanah pertanian boleh dibangunkan dengan lebih baik melalui bantuan 'efficient microbial' (EM) atau mikroorganisna berkesan. Dengan cara ini tanah dapat disuburkan, baja racun perosak dan penggalak boleh dihasilkan sendiri melalui sisa dapur. Kos EM juga tidak mahal. Tanaman yang ditanam juga perlu diselaraskan supaya hasilnya banyak dan boleh dijual secara pukal kepada pemborong seperti pasar raya. Diharapkan, aktiviti ini dapat menambah kewangan keluarga yg terbabit dan menjadi platform utk memupuk perpaduan.

3. Turun Lapangan berkala untuk bertemu dengan belia salah laku gejala sosial dengan kata-kata nasihat dan doa yang baik-baik.

Banyak lagi yang perlu dilakukan untuk memastikan kerja buat ini berhasil. Kerja-kerja komuniti seperti ini tidak menjanjikan apa2 kecuali kepuasan dapat membantu apa sahaja dan lebih penting lagi mengharapkan ia diterima oleh Allah sebagai satu ibadah.

Kami memerlukan sukarelawan yang berminat dan komited untuk memfokuskan projek komuniti flat 100 ampang jajar ini. Kalau bukan anda siapa lagi ? Jadilah seperti benih yang baik yang bila dicampak ke laut menjadi pulau.

Hubungi Afifaliza 0194223850 atau Amir 0137069509 melalui sms / whatsapp untuk sertai kami.

Kebanyakan pokok yang ditanam ialah pisang dan kekabu
 

Saturday, March 22, 2014

Bagaimana Hendak Melaksanakan Lobi dan Protest Terhadap Isu-isu Komuniti


Panduan Bagaimana Bertindak Terhadap Acara Mungkar. Step by Step.

Fenomena Parti Muzik bukanlah sesuatu yang baru. Saban tahun ia pasti ada sama ada dalam bentuk GIG underground atau Party terbuka yang mainstream. Dalam hal pembatalan konsert berbentuk parti seperti Life In Color World Largest Paint Parti yang dijadualkan pada 19 April 2014, kami percaya ia tidak akan berlaku jika kejadian kematian 6 remaja akibat 'ais' atau 'Methamphetamine' di konsert Future Music FestivalAsia pada 14 Mac lalu tidak terjadi. Ini kerana, tuntutan membatalkan konsert atas nama ia melalaikan dan mengundang bala bukanlah sesuatu yang diambil peduli oleh pihak berkuasa kerana parti muzik sudah menjadi norma dalam masyarakat Malaysia.

Secara tidak langsung kematian ini adalah 'rahmat' yang sudah tentu ada hikmahnya. Jadi apa yang perlu kita lakukan jika di komuniti kita akan dilaksanakan konsert atau parti muzik liar ? Ia boleh dibahagikan dengan dua kaedah, lobi (pujuk pihak yang berkenaan secara dalaman) dan protest (bantah secara terang-terangan).

Lobi:
1. Kenal pasti mereka yang boleh membuat keputusan untuk meneruskan atau membatalkan parti tersebut. Antaranya, Pihak Berkuasa Tempatan, Exco (wakil rakyat) yang terbabit, Ketua Balai atau Penganjur sendiri. Maklumat perhubungan mereka boleh dicari diinternet.

2. Kenal pasti cara terbaik yang paling disukai oleh pihak berkenaan sama ada surat, email, panggilan telefon, membuat pertemuan dua hala, atau berhubung melalui wakil mereka.

3. Pastikan anda bersikap ramah dan kawal sifat marah tidak kira sebesar mana isu yang anda hendak sampaikan. Ingat, objektif kita ialah hendak mempengaruhi mereka atau dalam erti kata lain pujuk/dakwah agar mereka membatalkan acara terbabit. Perkataan kesat, nada marah hanya akan membuat mereka yang mempunyai kuasa rasa tercabar dan sifat ego mereka akan menyebabkan mereka meneruskan acara terbabit. Pastikan percakapan anda fokus hanya kepada isu dan bangkitkan kerisauan anda dangan fakta kenapa ia harus dibatalkan. Cuba kaitkan dengan kesan negatif terhadap imej mereka kerana orang-orang ini biasanya mementingkan imej.

4. Lebih berkesan lagi jika anda gunakan saluran politik yang sealiran dengan pembuat keputusan terbabit. Maknanya jika exco yang meluluskan konsert adalah dari parti A, pengaruhi dahulu seseorang yang berjawatan atau berpengaruh dalam parti A dan minta beliau menjadi orang tengah untuk menyampaikan hasrat kita.

5. Sebelum mengakhiri perbualan atau surat, beritahu bahawa kita akan follow up mereka semula. Tunggu dalam tempoh 3 hari hingga tiga minggu bergantung kepada kegentingan isu. Jika tiada jawapan, hubungi semula dan lobi lagi.

6. Ajak rakan-rakan anda (lebih baik jika mewakili sesuatu organisasi seperti kelab, NGO atau paling mudah kariah) untuk melakukan perkara yang sama. Lebih ramai, lebih baik.

7. Disamping itu, mula menulis surat bantahan terbuka di akhbar tanpa menggunakan ayat-ayat menghina atau mencabar.

8. Tunggu respon positif daripada pihak berkenaan tanpa jemu untuk follow up. Jika respon yang diterima nagatif, maka bolehlah melaksanakan aksi protes pula.

Kadang-kadang kita lebih mudah dan suka melaksanakan aksi protest dan malas untuk melaksanakan lobi@pujuk. Lebih-lebih lagi jika pihak yang berlawanan dengan kita adalah daripada aliran politik yang berbeza. Namun sebenarnya, aksi lobi selalunya lebih berkesan.

Protest:
1. Pastikan anda faham dari sudut mana patut anda tonjolkan protest. Contohnya; sudut gajala dadah, arak atau parti tidak sesuai dengan bulan ramadahan contohnya, atau artis yang dijemput mempromosikan LGBT.

2. Baca buku, akhbar, artikel, berkenaan isu-isu berkaitan. Anda akan perlukannya untuk membuat advokasi yang berkesan.

3. Ajak ramai rakan-rakan yang lain untuk terlibat. Gunakan media sosial untuk mencari pengaruh. Tujuan media sosial adalah untuk mengumpulkan sokongan, ia bukan satu bantahan secara rasmi.

4. Hasilkan flyers, dan buat edaran disekeliling komuniti setempat. Boleh juga hasilkan banner dan gantung di kawasan berkenaan.

5. Laksanakan himpunan aman di kawasan terbabit. Untuk mengelakkan masalah, isi borang pemberitahuan kepada Polis dalam masa 10 hari sebelum perhimpunan. Lebih baik gunakan nama organisasi untuk mengisi borang, bukan individu. Jika anda tidak mahu mengisi borang pun boleh, tapi apalah sangat mengisi borang. Kita tak mahu disibukkan pula nanti oleh gangguan polis, kita nak pastikan acara dibatalkan. Kekerasan dalam perhimpunan tidak patut berlaku.

6. Walaupun kehadiran sedikit, pastikan anda panggil media atau buat rakaman untuk disebarkan dimedia sosial. Sediakan awal-awal kenyataan media bercetak dan edarkan kepada media yang hadir selepas membuat sidang media. Anda boleh dapatkan no perhubungan media di internet, dan jemput mereka secara rasmi melalui email atau pesanan.

Acara protest boleh dilaksanakan sebelum konsert atau parti bermula, jika kerisauan anda tetap tidak diendahkan, anda boleh mengadakan himpunan pada masa dan hari yang sama dengan acara parti tadi. Tetapi diingatkan hal begini kadang-kala akan berakhir dengan pergaduhan.

Tugas untuk menghentikan acara mungkar ini adalah tugas mereka yang diberi kuasa. Tanggungjawab kita adalah untuk menyedarkan pihak yang berkuasa agar bertindak dan berdakwah kepada mereka yang terlibat agar tidak terlibat. Kami tidak bersetuju kekerasan digunakan untuk menghentikan parti tersebut. Dakwah itu luas, kita telah melaksanakan tanggungjawab dari hal lobi@pujuk sehingga protest. Jangan pula lupa untuk berdoa kerana Allah yang menggerakkan hati manusia...

Jika info ini berguna. Silalah kongsikan.