Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Taib, berkata pihaknya kesuntukan masa menyiapkan rumah itu walaupun Datuk Seri Najib Razak mengatakan ia akan siap sebelum akhir tahun ini.
Katanya, DBKL masih belum menyelesaikan proses membeli bangunan untuk dijadikan rumah perlindungan gelandangan.
"Kalau ikut apa yang perdana menteri minta, beliau mahukan rumah perlindungan siap sebelum akhir tahun 2014, maksudnya kita sudah tidak cukup masa.
"Apabila kita dapat sahaja beli bangunan tersebut, maka kita akan segerakan kerja-kerja menyiapkan rumah itu," katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis pelancaran Garis Panduan Reka Bentuk Bandar Pusat Kuala Lumpur.
6 Julai lalu, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata DBKL merancang membeli rumah kedai bagi dijadikan rumah perlindungan untuk gelandangan di ibu negara, sebagai tambahan kepada Anjung Singgah yang disediakan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
"Kita akan beli empat rumah kedai empat tingkat di Lorong Haji Taib untuk diubah suai (menjadi rumah perlindungan)," katanya, dan menambah rumah perlindungan yang selesa itu dijangka siap menjelang hujung tahun ini.
Ia ekoran kenyataan kontroversinya mengharamkan dapur jalanan daripada menyediakan bantuan makanan kepada gelandangan di pusat bandaraya.
Beberapa hari kemudian, Najib, ketika melakukan tinjauan aktiviti dapur jalanan di sekitar ibu kota, berkata tempat khas bagi menempatkan golongan gelandangan itu dijangka siap dalam masa enam bulan.
Najib berkata selain menyediakan tempat tidur pada waktu malam, ia juga akan dilengkapi kemudahan bilik mandi serta lokar menyimpan barangan golongan kurang bernasib baik itu.
"Itu yang dia perlu, bukan flat tapi tempat di mana dia boleh tidur supaya tidak tidur di tepi jalan," katanya.
Datuk Bandar itu berkata selain di kawasan Jalan Raja Laut, DBKL juga sudah mengenal pasti sebuah bangunan yang boleh dijadikan rumah perlindungan iaitu berdepan Jalan Chow Kit.
Katanya, bangunan itu adalah bekas hotel lama di mana pemiliknya sudah menyatakan kesediaan menjualkannya kepada kerajaan.
Bagi proses itu, beliau berkata DBKL kini sedang menantikan harga bangunan tersebut yang akan dinilai oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta
"Kita juga sudah memaklumkan kepada Kementerian Wilayah Persekutuan untuk meminta jabatan tersebut menyegerakan urusan itu," katanya.
Selain itu, Phesal berkata Malaysia Resources Corporation Bhd (MRCB) juga menyatakan minatnya untuk membangunkan rumah perlindungan gelandangan berdekatan hospital kerajaan.
"Kita sudah berbincang dengan kementerian juga, rumah perlindungan yang bakal dibina di hadapan hospital awam akan dibangunkan pihak MRCB.
"Dan kami juga sudah berbincang dengan MRCB untuk mereka kemukakan cadangan dan reka bentuk bangunan bagi DBKL pertimbangkan," katanya. – 22 September, 2014. The Malaysian Insider.
No comments:
Post a Comment