Kami kumpulan wanita dari Angkatan Pemuda Pemudi Islam (API), Pertubuhan Menangani Gejala Sosial Malaysia (UNGGAS) dan Persatuan Persaudaraan Muslimah Malaysia cawangan Pulau Pinang (SALIMAH) ingin menarik perhatian semua pihak khususnya pihak berkuasa negeri Pulau Pinang dan media berkenaan Penganjuran Peragaan Baju Renang yang dijangka berlangsung 2 Julai 2011.
Pada 1 hingga 3 Julai 2011, satu pameran IT akan berlangsung di D’PlAZZA Mall (bersebelahan dengan PISA). Pameran ini dikelolakan oleh dua badan utama iaitu Karpersky dan Persatuan ICT Pulau Pinang (PICTA). Semasa pameran ini berlangsung, diselitkan beberapa aktiviti untuk menarik kehadiran lebih ramai pengunjung khususnya masyarakat Pulau Pinang. Salah satu acara tersebut adalah Peragaan Baju Renang yang turut diadakan di tempat yang sama. Oleh itu wujud persoalan tentang rasional menganjurkan pertunjukan baju renang semasa pameran ICT. Kebimbangan kami yang paling utama adalah kesan tidak langsung penganjuran acara seperti ini.
Selain itu, iklan tentang peragaan baju renang ini juga banyak disebar di kawasan kampung-kampung yang majoriti penduduknya melayu. Hal ini menampakkan penyebaran budaya yang bercanggah dengan nilai-nilai yang ada dalam agama Islam iaitu agama orang-orang melayu.