Wednesday, May 21, 2014

UNGGAS Banteras Gejala Sosial - Sinar Harian

14 Mei 2014 : PERTUBUHAN Menangani Gejala Sosial Malaysia (Unggas) yang mula digerakkan pada 2008 bertekad untuk membantu golongan yang terjebak dalam kancah penyakit sosial dan membantu mereka keluar dari ruang tersebut melalui pencegahan dan pemulihan.

Pada masa sama, Unggas berusaha memahami permasalahan sosial dalam aspek makro dan mikro.

Yang Dipertua, Nurfitri Amir Muhammad berkata, Unggas ada misi tersendiri sepanjang penubuhannya sebagai badan bukan kerajaan (NGO).

Misi Unggas adalah mewujudkan komuniti setempat yang dapat berfungsi semaksima mungkin untuk menangani gejala sosial berdasarkan kajian setempat yang dilaksanakan dan program latihan yang diberi.

Menurut Nurfitri Amir, Unggas memilih untuk menangani gejala sosial di Malaysia ekoran wabak itu dilihat makin serius berlaku sepanjang tahun.

"Isu bohsia, lepak, minum minuman keras, budaya black metal, bersekedudukan, trash metal dan banyak lagi sudah berleluasa sejak dulu lagi. Masa akan datang, kita tidak tahu apa lagi isu yang akan timbul.

"Sebab itu, kita di Unggas berusaha membanteras gejala sebegini kerana melihat satu keperluan untuk kita memobilisasi golongan muda ke arah keinginan, keyakinan, kemahiran dan daya bertindak yang berkesan menangani gejala sosial terutamanya di kalangan remaja dan belia," katanya kepada Citra.

Ditanya berkenaan persaingan Unggas Malaysia dengan NGO yang sedia ada di Malaysia, Nurfitri Amir tersenyum.

"Persoalan persaingan dengan NGO lain tidak timbul kerana kami meraikan pepatah the more the merrier bermakna lebih banyak NGO yang melaksanakan kerja-kerja kemasyarakatan, beban tanggungjawab untuk komuniti boleh dikongsi bersama.

"Unggas berbentuk gerakan yang membuat advokasi dan menyebarkan fahaman dakwah lapangan iaitu dakwah perlu dilaksanakan dengan turun ke lapangan, menyelami kehidupan mereka yang terlibat dalam isu sosial dan memahami sosio budaya masyarakat di sekelilingnya.

"Maka untuk memastikan gerak kerja Unggas berkekalan, pemahaman dakwah lapangan ini akan diterapkan dalam setiap komuniti yang kami dekati. Apabila mereka faham, mereka akan melaksanakan idea unggas ini dalam komuniti setempat mereka atas apa jua nama sekalipun seperti JKK, kariah, kelab pelajar dan sebagainya," katanya.

Aktiviti disertai

"Pelbagai aktiviti disertai Unggas, antaranya menyertai Ops Sayangi Remaja iaitu membawa sukarelawan untuk turun ke tempat tumpuan pada malam merdeka, malam tahun baru, malam Hari Malaysia dan hari kekasih dengan tujuan berjumpa dan nasihat menasihati remaja dan dewasa yang berhimpun.

"Melakukan kebajikan pemberian makanan kepada gelandangan bertujuan mendekati, memahami dan menasihati mereka serta melakukan pemetaan komuniti dan kajian sosiobudaya komuniti tempatan dalam isu kemiskinan, pusat hiburan dan pelacuran.

"Maklumat ini akan digunakan untuk tujuan advokasi dan lobi perubahan polisi ke arah anti isi sosial," katanya.

Khidmat kaunseling dan bantuan penyelesaian masalah kepada mereka yang terlibat dengan isu sosial, melaksanakan kempen menutup aurat tahunan yang dinamakan kempen Gerakan Menutup Aurat dan mengadakan Latihan Aktivis Dakwah Dalam Isu Sosial untuk belia turut diadakan Unggas Malaysia

Nurfitri Amir berkta, setakat ini, aktiviti dilakukan Unggas sering kali mendapat sambutan ramai malah boleh dikatakan banyak programnya memberi impak positif kepada masyarakat.

"Saya percaya setiap perkara baik yang dilakukan pasti akan memberi impak positif kepada masyarakat.  

"Kami percaya Unggas memberikan inspirasi dan harapan kepada ramai individu dan keluarga untuk berubah. Begitu juga dengan komuniti, sekarang kesedaran untuk turun kelapangan dan jalanan semakin tinggi," katanya.

Beroperasi di Serambi Dakwah, Lot 3560, MK 16, Lorong Bagan Lalang 22, Taman Bagan Lalang, Butterworth, Pulau Pinang, besar harapan beliau terhadap Unggas.

"Harapan saya agar persatuan ini terus memberi inspirasi kepada rakyat untuk  melaksanakan tanggungjawab dan ambil peduli isu yang ada dalam komuniti.

"Unggas tidak mengharapkan apa-apa kredit atau sanjungan melainkan harapan agar amalan aktivis dan sukarelawan Unggas diterima ALLAH SWT," katanya sambil mengalu-alukan pembaca Sinar Harian melayari blog www.sinarloronggelap.blogspot.com.

http://www.sinarharian.com.my/rencana/unggas-banteras-gejala-sosial-1.280044

No comments:

Post a Comment