Tuesday, June 26, 2012

CERITA KAMI, KISAH ANDA JUA : Hati Seorang Ibu; Anakku Seorang Pelacur !!!


Hati Seorang Ibu : Anakku Seorang Pelacur !!!

“Disebabkan makcik terlalu kecewa dan buntu, makcik pernah doakan supaya anak itu mati. Lebih baik mati daripada menyusahkan orang lain!!”

Sebenarnya saya sangat ingin menyelami hati wanita itu. Seorang  wanita separuh umur yang anaknya terlibat gejala sosial. Dia sudah terlalu buntu. Suaminya juga punya rasa yang sama sepertinya.

“Adik (gelarannya kepada saya) tahu, suami makcik sudah beberapa kali kata nak pijak dia sampai mati. Setiap kali kami  bangun tidur, perkara pertama yang kami fikirkan adalah dia, anak tak tahu diuntung itu.”

Wajah si ibu  kelihatan terlalu geram. Seketika, dia menyapu air mata yang mula mengalir di pipinya.  Deras sekali.Menandakan kesedihan menyelinap jiwa dan seluruh dirinya.


 “Makcik bukan bencikan dia, tapi perbuatannya kepada kami ibu bapa kandungnya sungguh melukakan hati. Dia tak mahu sekolah, lepas tu kejar lelaki sana sini. Kepala batunya bukan kepalang. Tiada satu pun perkataan kami dia nak dengar. Penipunya, jangan kiralah.”

Pertemuan petang itu diatur khusus untuk memberi kaunseling kepada seoang remaja perempuan yang terlibat dengan kes pelacuran. Anak ibu berwajah sendu tadi. Bersama tiga orang sahabat dan seorang ustazah, kami bawa dua beranak itu ke sebuah surau. Seusai melakukan solat Asar, kaunseling dijalankan. Ustazah memberi kaunseling kepada anak perempuannya, dan saya diminta memberi kaunseling ringan-ringan kepada si ibu. 
Sepanjang perbualan, saya dapati si ibu sudah terlalu berputus asa. Mungkin kerana segala usahanya untuk memulihkan anak  sulungnya itu menemui jalan buntu.

“Disebabkan makcik terlalu kecewa dan buntu, makcik pernah doakan supaya anak itu mati. Lebih baik mati daripada menyusahkan orang lain!!”