Assalamualaikum.
Sekitar Outreach Lashkar Cinta bersama pelajar kelas kerja sosial UUM pada sabtu lepas, 29 April. Tahniah diucapkan kepada semua aktivis dan sukarelawan.
Perkongsian pengalaman salah seorang aktivis kita.
"..Kasih AYAH berpanjangan.."
Jam tepat 1.00am. Kaki sudah lenguh untuk mengatur langkah. Kami membuat keputusan untuk terus berkumpul di Masjid Lebuh Acheh sementara menunggu Kumpulan Lebuh Chulia dan KOMTAR pulang dari outreach.
Ketika itu, kami (Kumpulan Masjid Kapitan Keling) berada betul-betul di simpang empat di hadapan masjid Kapitan Keling. Di sudut kaki lima rumah kedai, kami ternampak dua orang PaK Cik gelandangan sedang bersembang rancak. Kami terus sertai mereka.
Kami berlima. Rancak kami berbual dengan dua orang pak cik itu. Seorang suka disapa Pak Cik Ri, seorang lagi Pak Cik India, Uncle Ramu. Pnerimaan mereka membuatkan suasana berasa selesa dan harmoni. Sekali sekala kami bertukar soalan untuk mengenali antara satu sama lain.
Sehinggalah soalan daripada salah seorang dari kami, bertanya pekerjaan Pak Cik Ri sebelum dia bergelandangan. Sudah 30 tahun. Bukan suatu masa yang singkat. Umurnya mencecah 60-an. Tiba-tiba Pak Cik Ri terasa sebak. Keadaan menjadi sayu buat seketika. Beliau dibuang kerja kerana menagih dadah.
Tanpa kami bertanya, Pak Cik yang ingin bercerita meluahkan perasaannya. Beliau tak sanggup pulang ke rumah kerana sekarang beliau berusaha untuk tidak mengambil dadah, Walaupun dua orang anaknya selalu ajak pulang ke rumah.
"Pak Cik tak mau depa nampak pak cik macam ni. Anak mana nak ayah yang macam ni." kata Pak Cik Ri. Nada beliau penuh kesal.
Pusat pemulihan bagaikan rumah kedua beliau. Tetapi itu dahulu. Sekarang, katanya, dia nak BERUBAH. Niat itu ada dalam hatinya.
".. Pak Cik ambil sebulan sekali sahaja sekarang. Pak Cik tak boleh nak tahan. Tapi, pak cik memang nak berhenti. Dulu pak cik hari-hari ambik .."
Mendengar luahan beliau, kami semua memberi semangat kepada beliau. Sehinggakan Pak Cik Ri berasa sebak. Setiap kali kami memberi kata-kata semangat beliau sambut dengan Terima Kasih Banyak sambil menahan sebak.
".. Pak Cik tak pernah dengar orang kata macam ni kat pak cik .. Betul. Ini kali pertama. Terima Kasih banyak.."
----------------------------------
Kebiasaannya, kita dengar gelandangan dibuang keluarga kerana menagih. Tetapi, Pak Cik Ri yang membuat keputusan untuk membuang diri sendiri kerana tidak mahu membebankan anak-anaknya.
Kami sangat berharap Pak Cik Ri akan pulang ke pangkuan anak-anaknya disebabkan persekitaran di sini tidak sesuai untuk beliau.