Monday, June 27, 2011

Kenyataan Akhbar Bantahan Mengadakan Peragaan Baju Renang (Swimming Suit Show)

Kami kumpulan wanita dari Angkatan Pemuda Pemudi Islam (API), Pertubuhan Menangani Gejala Sosial Malaysia (UNGGAS) dan Persatuan Persaudaraan Muslimah Malaysia cawangan Pulau Pinang (SALIMAH) ingin menarik perhatian semua pihak khususnya pihak berkuasa negeri Pulau Pinang dan media berkenaan Penganjuran Peragaan Baju Renang yang dijangka berlangsung 2 Julai 2011.
Pada 1 hingga 3 Julai 2011, satu pameran IT akan berlangsung di D’PlAZZA Mall (bersebelahan dengan PISA). Pameran ini dikelolakan oleh dua badan utama iaitu Karpersky dan Persatuan ICT Pulau Pinang (PICTA). Semasa pameran ini berlangsung, diselitkan beberapa aktiviti untuk menarik kehadiran lebih ramai pengunjung khususnya masyarakat Pulau Pinang. Salah satu acara tersebut adalah Peragaan Baju Renang yang turut diadakan di tempat yang sama. Oleh itu wujud persoalan tentang rasional menganjurkan pertunjukan baju renang semasa pameran ICT. Kebimbangan kami yang paling utama adalah kesan tidak langsung penganjuran acara seperti ini.
Selain itu, iklan tentang peragaan baju renang ini juga banyak disebar di kawasan kampung-kampung yang majoriti penduduknya melayu. Hal ini menampakkan penyebaran budaya yang bercanggah dengan nilai-nilai yang ada dalam agama Islam iaitu agama orang-orang melayu.

Wednesday, June 22, 2011

NGO Pulau Pinang & ‘Miss ICT’

Oleh : Asti Toba

Pelbagai perkembangan dinamis sedang melanda negara. Pada bulan Julai akan datang ini banyak Badan Bukan Kerajaan (NGO) terlibat dalam satu isu sosial-politik negara yang menyentuh akan tanggungjawab profesional Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Isu-isu yang diperjuangkan oleh NGO adalah penting bagi kebaikan negara selain daripada menghidupkan gerakan demokrasi. Namun NGO harus juga memberi perhatian kepada isu sosial dan moral yang berkaitan dengan wanita. Misalnya Pulau Pinang bakal menjadi tuan rumah penganjuran satu pertandingan bergelar "Miss ICT".



Pertandingan ini akan memperagakan peserta wanitanya berpakaian mandi di hadapan khalayak awam. Ini sinonim dengan satu bentuk aktiviti pendedahan sebahagian besar tubuh wanita yang akan diadili oleh golongan lelaki dan wanita. Aktiviti sebegini adalah sama seperti satu pengeksploitasian terhadap tubuh wanita dan ianya tiada hubungan langsung dengan usaha mahu mempromosikan produk terbaharu ICT.

Pihak berkuasa yang akan menganjurkan pertandingan ini mungkin alpa yang jika berbuat demikian ia sebenarnya mendukung aktiviti yang tidak bermoral ini. Dengan itu apakah pihak NGO khasnya yang berpusat di Pulau Pinang harus berdiam diri atau membuat desakan agar pertandingan Ratu ICT itu dibatalkan sama sekali dan digantikan dengan yang lebih sesuai dengan norma bangsa dan agama rasmi Islam dan juga perasaan wanita amnya. Tubuh wanita tidak harus diperagakan. Tubuh badan wanita bukan barang dagangan untuk ‘melariskan’ jualan.

Wednesday, June 15, 2011

Jamil Khir: Permohonan murtad 135 orang diluluskan

Mahkamah Syariah menerima 863 kes permohonan untuk menukar status agama Islam dari tahun 2000 hingga 2010, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.



Beliau menjawap soalan lisan daripada Er Teck Hwa (DAP-Bakri) yang meminta perdana menteri menyatakan jumlah permohonan murtad bagi penganut Islam dan berapakah jumlah yang diluluskan mengikut negeri sepanjang sedekad yang lalu.

Er juga memohon penjelasan kerajaan mengenai cara-cara yang diambil bagi menangani kes-kes gejala murtad itu.

Jamil dalam jawapannya berkata mengikut perangkaan yang dibekalkan kepada kementeriannya menunjukkan sejumlah 168 orang yang memohon untuk meninggalkan agama Islam diluluskan.

Bagaimanapun perangkaan yang dibekalkan kepada Dewan Rakyat itu tidak selaras dengan jumlah yang dikira.

Mengikut kiraan Malaysiakini, jumlah permohonan untuk murtad adalah 686 manakala permohonan yang diluluskan pula adalah 135 orang.

Mengikut data yang dibekalkan, jumlah tertinggi yang diluluskan adalah dari Sabah iaitu seramai 67 orang dan diikuti dari Negeri Sembilan dengan 33 orang.



Jumlah permohonan untuk meninggalkan Islam yang terbesar adalah di Sabah - 238, Negeri Sembilan - 172, Selangor - 99 dan Perak - 47.

Tiada permohonan murtad dicatatkan di Kelantan.

"Dalam menangani gejala murtad, Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) sentiasa melasanakan program dan aktiviti bagi mengelakkan berlakunya gejala ini terutamnya di kalangan saudara-saudara baru.

"Antara program dan aktiviti yang dilaksanakan adalah seperti khidmat nasihat; ziarah dan lawatan ke rumah; aktivitiaktiviti pengukuhan agama; kelas pengajian agam; dan sokongan Baitulmal,"

Dipetik :Malaysiakini.com