Monday, July 4, 2016

Outreach Lashkar Cinta: SATU KISAH, SERIBU CERITA

Outreach Lashkar Cinta @ Ramadhan
SATU KISAH, SERIBU CERITA
".. Selonggok manusia terkapar,
Siapa mengaku bertanggungjawab,
Jika kita pihak yang menghindar,
Bersediakah kita untuk berjawab .."









Pada jam 6.30pm, skuad Lashkar Cinta sudahpun mula bertegur sapa dengan gelandangan di sekitar Masjid Kapitan Keling. Seperti biasa, kehadiran kami tidak menjadi pelik bagi mereka. Saban tahun, UNGGAS Malaysia akan berikan Sampul Raya ataupun lain-lain bantuan dalam bentuk barangan kepada mereka dan kedatangan kami sebenarnya sudah diagak.
Petang itu, Skuad hanya ingin membuat pemerhatian terlebih dahulu. Selepas solat Terawih, barulah Sampul Raya akan diagih-agihkan. Keadaan sebelah petang seperti biasa, mereka yang berkeluarga akan duduk setempat sambil bersembang dengan rakan gelandangan lain. Kelihatan anak-anak gelandangan yang berusia sekitar 4 tahun hingga 14 tahun bermain-main di pinggiran jalan bersama rakan-rakan yang sama senasib. Bagi mereka, itu taman permainan. Main ‘police & thieves’ di koridor kaki lima, tidak kurang juga kanak-kanak perempuan yang bermain ‘masak-masak’. Jelas kegembiraan mereka berkongsi mainan yang dibawa dari rumah.
Sambil kami bersila menyertai lingkungan sebuah keluarga gelandangan, sambil kami mengorek beberapa perkara. Makanan mereka berbuka dan bersahur sudah tidak menjadi masalah bagi mereka. Ada sahaja hamba Allah yang akan memberi makan. Murtabak, Nasi Ayam, Nasi Kandar, itu antara menu mereka. Sekiranya tiada yang memberi, Masjid Kapitan Keling akan menjadi tempat mereka berbuka. Duit Raya? Sudah semestinya ada yang memberi. Hari Khamis itu sahaja, ada tiga pihak yang memberi mereka Sampul Raya termasuklah petang itu mereka didatangi sekumpulan pelajar dari Kolej Cosmopoint. Menurut seorang mak cik gelandangan, ada suatu hari mereka mendapat sampul raya RM50.
“Depa punya kalut, sampai ada duit RM50 terkoyak tiga. Biaq pi kat depa, nak berebut sangat, ambik soqang sikit”, cerita beliau dalam loghat utara sambil ketawa.
Menurutnya, ramai juga yang bagi duit raya. Dengan jumlah mereka yang tidak terlalu ramai, hampir semua gelandangan di situ menerima bahagian mereka. Ramadhan tahun ini nampaknya tidak terlalu ramai seperti tahun sebelumnya, hal ini diakui sendiri gelandangan tetap di situ. Hanya sekitar 100 orang termasuk yang tua, muda dan kanak-kanak. Mungkin malam ini atau malam esok, jumlah mereka akan bertambah.
Pada jam 10.30 malam pula, kami berlima memulakan strategi untuk memberi Sampul Raya kepada mereka yang memerlukan. Perlu ada strategi, jika tidak, kita hanya perlukan satu minit sahaja untuk menghabiskan 90 Sampul Duit Raya. Sebenarnya, Sampul Raya sekadar token untuk bersembang dengan mereka. Tujuan utama ialah mengorek kisah yang membawa mereka hidup bergelandangan pada bulan Ramadhan, dan ada juga yang sememangnya gelandangan tetap di situ. Ya. Bersembang, berhemoi dan mendengar cerita memberikan kita satu gambaran mengenai kehidupan mereka.
Berat mereka untuk bercerita. Namun, setelah kami membina hubungan yang mesra, sedikit demi sedikit mereka mahu bercerita. Bermacam-macam kisah di sebalik satu jalan. Makanan yang dimakan sama, tidur beralaskan kotak yang sama, bunyi deruan motorsikal dan kereta yang sama, berbumbungkan langit yang sama, namun cerita kisah hidup mereka yang berbeza.
Ada pak cik yang kudratnya sudah hilang untuk bekerja, ada remaja yang berhijrah ingin mencari kerja, ada mak cik yang sememangnya suka bergelandangan biarpun ada rumah, ada isteri yang ingin membantu suaminya dengan bergelandangan menunggu bantuan wang tunai atau barangan, ada kanak-kanak yang tidak mengikut ibu bapa bergelandangan dan lain-lain lagi kisah tersembunyi.
Setelah jam menunjukkan 11.30pm, kami mengeluarkan sampul dan agihkan pula kepada kanak-kanak di situ. Tidak sampai beberapa saat, kami dikerumuni kanak-kanak dan tak kurangnya yang remaja dan golongan tua. Kami asingkan khas untuk kanak-kanak. Jadi, kami umumkan yang mendapat sampul raya hanya kanak-kanak. Ramai. Mencecah 20 kanak-kanak di sekitar situ. Terserlah kegembiraan mereka mendapat sampul raya. Sambil memberi, sambil kami ingatkan untuk manfaatkan sebaiknya duit yang diperolehi.
Setelah selesai Sampul Raya diagihkan, kami tidak terhenti sekadar itu. Kami mula bersembang dengan kanak-kanak dan remaja di situ. Ada yang bersekolah dan ada juga yang sekadar bersekolah hingga darjah 5. Tidak mampu katanya. Sambil kami bersembang santai, sambil kami menyelitkan sedikit kata-kata motivasi untuk mereka. Masing-masing mendengar dengan teliti. Ya. Kalam itu yang mereka ingin dengar. Kalam yang mengingatkan mereka tentang kejayaan hidup.


“.. Dalam hidup kita apa yang penting ILMU. Kejarlah ILMU. Hanya ilmu yang boleh mengubah nasib hampa semua. Ya. Hampa sekarang memang kuat. Kudrat ada. Boleh kerja apa pun. Sapu sampah, basuh pinggan di kedai makan, buruh binaan. Tapi bila hampa tua nanti, kudrat semua dah hilang, masa tu hampa nak kerja apa?”, pesan salah seorang dari kami.
Tunduk mereka. Mungkin mengenangkan nasib diri sendiri, atau sedang mengimbas kembali sikap mereka terhadap ilmu. Banyak kisah yang kami kongsikan kepada mereka. Kisah-kisah kejayaan dan kegagalan. Semua itu sebagai panduan hidup mereka. Lama juga berceloteh bersama mereka. Sehingga jam menunjukkan 1.00 am, kami meminta untuk mengundur diri. Mereka seperti tidak ingin melepaskan kami. Mereka membuntuti kami hingga ke kenderaan kami. Mungkin tidak puas meluahkan rasa. Ketawa mereka kedengaran puas apabila sekali sekala kami bergurau.
Setelah bersalaman. Kami berpisah. Tangan mereka kelihatan melambai-lambai kami sehingga kami hilang di pandangan mereka. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikulnya. Berada dalam hiruk pikuk bandar, bukannya suatu tempat yang kondusif untuk mereka mengenal hidup.
Kisah mereka kelihatan sama, tetapi cerita di sebaliknya yang membezakan.
Semoga dengan kehadiran kita dan kepedulian kita, mereka akan bermotivasi untuk mengubah hidup dan nasib diri sendiri. Kita hanya mampu membantu sekadarnya, selebihnya mereka yang harus bertindak. Namun, usaha kita perlu diteruskan dan tidak mengenal putus asa. Sambil berkongsi rezeki, sambil memberi motivasi. Duti atau barang akan habis, namun kata-kata motivasi dari kita akan melekat sepanjang hidup mereka. Mudah-mudahan.
-------------------------------------------------
Tidak lupa juga kepada yang menyumbang duit raya kepada mereka. Alhamdulillah, kutipan kita sebanyak RM300 selama dua hari. Semoga rezeki kalian diberkati ALLAH. Insha ALLAH.

No comments:

Post a Comment