“Alhamdulillah saya amat besyukur sebab masih diberi kesempatan untuk untuk bertaubat”. Kata si gadis remaja semasa di temu bual oleh seorang wartawan majalah.
Kata-kata seperti “saya amat menyesal dengan segala perbuatan yang saya lakukan dulu, saya nak mulakan hidup baru”. Atapun “saya malu dengan tindakan liar saya selama ini, saya nak bertaubat”.
Jika diamati mungkin intonasi serta ayat mempunyai perbezaan namun sebenarnya membawa maksud yang sama. Beginilah luahan setiap gadis remaja yang berada di pusat-pusat pemulihan tajaan kerajaan, NGO dan perseorangan.
Mempunyai satu harapan dan matlamat yang cukup murni ‘PERUBAHAN’ itulah bait-bait kata yang sering terlontar dari bibir mugil setiap gadis yang pernah terperangkap dalam lorong kebejatan sosial.
dan sebagai masyarakat awam, pasti akan membina pelbagai persepsi mengikut pengalaman, ilmu, dan nilai kemanusiaan yang dianuti.
ada golongan masyarakat yang menyambut baik harapan golongan ini, namun tidak kurang juga golongan yang mempunyai pandangan pesimis terhadap harapan golongan ini.
Maka saya juga tidak boleh lari dari membina persepsi saya sendiri. Berada dalam sebuah organisasi yang memberi pemulihan dari segi akhlak dan nilai hidup kepada gadis remaja, membuatkan saya membina satu persepsi dan cuba menukar kepada kenyataan yang perlu difikirkan.
Merujuk kepada firman dalam
Apakah manusia mengira bahwa mereka akan dibiarkan hanya dengan “kami telah beriman,” dan mereka tidak diuji? Dan sungguh, kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka Allah pasti mengetahui orang-orang yang dusta” (surah al ankabut : 2-3)
Dari itu saya membina satu pandangan berkaitan harapan setiap gadis remaja yang mempunyai kemahuan berubah. Umpama sangkar yang dikuak luas dan burung-burung yang berada dalam sangkar tersebut memboloskan diri. Kecuali anak burung yang masih bertatih. Dan anak burung adalah umpama harapan perubahan dari gadis polos yang sudah terpalit dek kerakusan arus pemodenan.
Maka apabila berada dalam proses merubah diri menjadi lebih baik, sering golongan ini tersungkur, justeru itu sering kita dengar mengenai gadis remaja ini yang mengulangi kesalahan yang sama. Alasannya persekitaran keluarga yang tidak membantu, pengaruh semula rakan lama, tekanan dan juga perlukan keseronokan.
Lain pula halnya bagi gadis remaja yang sediakala dipaksa untuk mentransformkan diri dari identiti yang disenanginya. Maka pelbagai ulah dilakukan. Lari dari tempat pemulihan, memberontak dan sebagainya. Namun rupanya mereka ini tetap menyimpan harapan untuk mengubah diri apabila hatinya diketuk oleh sesuatu yang halus. Namun akibat kekuatan yang masih rapuh, serta desakan hedonism yang lebih mendalam, maka berlakulah pengulangan sikap devian.
Dihujung perkongsian ini, saya ingin menekankan bahawa golongan ini sebenarnya mempunyai sejuta harapan untuk menjadi normal. Namun mereka juga tidak lari dari apa yang ALLAH telah sebutkan. Ditambah lagi dengan kebobrokan persekitaran mengakibatkan gadis remaja itu terhalang untuk istiqamah dengan perubahannya. Namun ketahuilah harapan tetap ada. Berusahalah walaupun sudah tersungkur berpuluh, beratus, beribu malah berjuta kali. Kerana pengakhiran kehidupan setiap manusia itu adalah makna yang terbesar.
oleh : Penyelamat Gadis
No comments:
Post a Comment