Isnin Jun 7, 2010
Oleh SALWA SHA’ARI
SHAH ALAM: Ibu kepada Syafiah Humairah Sahari, kanak-kanak yang mati dibunuh akibat deraan memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa tertuduh, Mohd Fazli Azri Jamil memaklumkan bahawa anaknya dimasukkan ke Hospital Kuala Kubu Bharu, dekat sini kerana cedera terjatuh daripada motosikal.
Siti Nurhanim Aziz, 25, berkata, tertuduh, yang merupakan seorang kenalan menghubunginya pada pukul 11 malam, 25 Februari lalu semasa dia sedang bekerja di Cheras, Kuala Lumpur.
“Selepas diberitahu, saya terus balik dengan menaiki teksi. Semasa saya sampai di hospital, saya diberitahu anak saya telah meninggal dunia,” katanya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Idham Abd Ghani.
Dia yang dipanggil sebagai saksi pendakwaan kedua juga memberitahu, tidak melihat jenazah Syafiah Humaira yang manja dipanggil ‘Pia’ pada malam tersebut.
Sekiranya masih hidup, Syafiah Humaira akan menyambut ulang tahun kelahiran ke-empat pada 22 Jun ini.
Dalam keterangan lain, Siti Nurhanim yang pernah bekerja sebagai pelayan di pusat karaoke di Jalan Imbi, Kuala Lumpur ada menerima Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) daripada tertuduh mengenai keadaan kesihatan Syafiah Humaira.
“Saya terima SMS pada waktu tengah hari, 25 Februari lalu mengatakan anak saya sakit muntah-muntah dan berak-berak. Saya nak balas tapi tiada kredit. Jadi saya tak balas SMS tertuduh,” katanya yang begitu tenang menjawab soalan.
Berkaitan soalan peguam Gurbachan Singh yang mewakili tertuduh mengenai perwatakan tertuduh, saksi menjawab tertuduh seorang yang jujur, bertanggungjawab dan tidak pernah mendera atau memukul Syafiah Humaira.
Malah, dia menambah, tertuduh yang bekerja sebagai pemandu teksi menyayangi Syafiah Humaira, 3 tahun 4 bulan seperti anaknya sendiri walaupun kanak-kanak itu adalah hasil perkahwinannya dengan seorang anggota polis.
Suaminya, Sahari Usul, iaitu bapa kepada Syafiah Humaira kini ditahan reman sementara menunggu perbicaraan di Penjara Sungai Buloh, dekat sini atas kesalahan membunuh. Dia ditahan sejak Januari 2006.
Mereka berkahwin pada 14 Februari 2003. Siti Nurhanim mempunyai seorang lagi anak iaitu Shafiq Haikal.
Dalam pada itu, Siti Nurhanim juga mengakui, dia menjalin hubungan dengan tertuduh enam tahun lalu dan mulai rapat pada penghujung tahun 2006.
“Saya mula sayang (pada tertuduh) dan merancang untuk berkahwin. Saya ada beritahu suami semasa di penjara,” katanya.
Dia juga mengakui hubungannya dengan tertuduh sehingga ke tahap pernah melakukan hubungan seks dan mereka dikurniakan seorang anak lelaki bernama Syakimie Iqbal pada 6 Julai 2008 yang dijaga oleh keluarga tertuduh.
Siti Nurhanim juga memberitahu, keluarga tertuduh menerima dirinya dan Syafiah Humaira dengan baik sehingga ada masanya mereka bermalam di rumah tertuduh.
Sementara itu, semasa Sahari dibawa masuk ke mahkamah untuk tujuan pengecaman, dia yang dikawal empat anggota polis dan dalam keadaan bergari merenung tajam sambil mengangguk-anggukkan kepala ke arah Mohd Fazli Azri, 28, yang berada di kandang tertuduh.
Mohd Fazli Azri dibicarakan atas tuduhan membunuh Syafiah Humaira pada jam 6.30 petang, 25 Februari lalu di padang bola sepak, Jalan Utama, Kawasan Rumah Murah Batu 30, Ulu Yam Lama, Batang Kali, dekat sini.
Pendakwaan dikendalikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
p/s: rantaian permasalahan sosial
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki akan bersambung esok.
No comments:
Post a Comment