Saturday, August 27, 2011

Nyatakan Bantahan Terhadap Agenda Anti-Tuhan BLACK METAL

Surat bantahan dan memohon tindakan pihak berwajib telah dihantar kepada Majlis Agama Islam, Jabatan Mufti, ADUN Kawasan, Exco Agama dan Timb. Ketua Menteri.


Tuan,

Saya mewakili pihak Urusetia Menangani Gejala Sosial (UNGGAS Malaysia), sebuah NGO yang khusus berkerja di lapangan Gejala Sosial dan Angkatan Pemuda Pemudi Islam (API) ingin mengambil perhatian pihak Tuan berkenaan Konsert Black Metal yang akan diadakan pada 10 Septembar 2011 di Dewan Serbaguna Tapak Ekspo Seberang Jaya. Bermula jam 3 petang - 10 malam.



Kumpulan yang akan membuat persembahan pada hari tersebut adalah IMPIETY dari Singapura. Tinjauan yang dibuat pada laman web dan laman sosial rasmi IMPIETY jelas menunjukkan cara hidup BLACK METAL yang mereka promosikan. Perkataan IMPIETY juga dalam bahasa Inggeris jelas membawa maksud anti-tuhan dan penyembahan kepada syaitan.

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu Kali Ke-9 Penggal Ke-8 yang bersidang pada 22 Jun 2010 telah membincangkan Kertas Kerja Mengenai Kumpulan "Black Metal" Di Negeri Terengganu. Mesyuarat telah membuat keputusan seperti berikut:

Amalan dan perbuatan kumpulan “Black Metal” adalah sesat dan bercanggah dengan ajaran Islam yang sebenar. Oleh itu, umat Islam diharamkan menyertai dan beramal dengan kumpulan tersebut kerana perbuatan dan amalan mereka boleh menyebabkan seseorang itu terkeluar daripada Islam.

Dengan ini, saya ingin memohon perhatian pihak Tuan agar bertindak dalam bidang kuasa yang ada pada Tuan demi menyalamatkan AKIDAH anak muda kita yang semakin hanyut.

Kita hangat membicarakan soal MURTAD dan gerakan gereja tanpa kita sedari bahawa anak muda kita juga lemah menghadapi ancaman akidah melalui hiburan. Lebih malang lagi ia terus menjurus kepada kepercayaan anti-tuhan dan penyembahan syaitan sebagai idola.

Melalui laman web facebook yang memprosikan acara ini, sudah ada seramai 685 orang yang menyatakan hasrat untuk hadir. Saya menjangkakan, jalan-jalan akan dipenuhi oleh remaja-remaja berpakaian Black Metal pada hari berkenaan.

Saya berharap konsert ini dapat dibatalkan dan anak-anak muda yang hadir pada konsert ini dapat dikaunseling dan diberi bimbingan sewajarya.

Saya juga berharap, pihak polis dapat memantau aktiviti ini agar tidak terjadi apa-apa kejadian yang tidak diingini.

Disini saya sertakan 'link' rujukan untuk pihak Tuan.

facebook: http://www.facebook.com/impietyofficial
http://www.facebook.com/event.php?eid=173837969345740
web : http://www.mightyimpiety.com

Tindakan daripada pihak Tuan sangatlah kami hargai. Kami memohon nama kami secara individu tidak dinyatakan dalam apa-apa tindakan Tuan demi menjaga keselamatan kami daripada ancaman balas jika ada pihak yang tidak berpuas hati.


UNGGAS Malaysia
Angkatan Pemuda Pemudi Islam

Serambi Dakwah,
Lorong Bagan Lalang 22, Taman Bagan Lalang,
Bagan Lalang, 13400, Butterworth, P.Pinang.

No comments:

Post a Comment