Kenyataan Media
Persatuan Ulamak
Malaysia Cawangan Pulau Pinang (PUMPP) bersama Pertubuhan Menangani Gejala
Sosial Malaysia (UNGGAS Malaysia) merujuk kepada keputusan Kementerian Dalam
Negeri (KDN) untuk membiarkan penerbit filem mengedit filemnya sendiri dan Lembaga
Penapisan Filem (LPF) hanya akan menjadi penasihat untuk penayangan filem
tempatan mahupun luar negara. Diberitakan lagi, segala bentuk lakonan atau
adegan yang turut melibatkan seks, keganasan atau bertentangan dengan akidah
tidak lagi disekat tetapi hanya akan dilabelkan mengikut isi kandungan filem
berkenaan. Kenyataan Ketua Setiausaha KDN, Tan Sri Mahmood Adam bahawa
kementeriannya tidak lagi menyekat penayangan filem walaupun ada unsur-unsur
penyimpangan akidah dan penghinaan agama kecuali ianya melampau (Harian Metro,
22 Disember) sangat merisaukan pihak kami. Tanda aras ‘melampau’ tidak pula
diberitahu kepada umum. Oleh kerana filem merupakan satu media hiburan yang utama, kami memandang serius isu
ini dan meminta pihak kerajaan mempertimbangkan semula perkara berkenaan.
Pihak kerajaan telah memberi ruang yang luas dalam hal kebebasan
media di di Internet. Maka, kami beranggapan, pihak kerajaan tidak sepatutnya
mengabaikan hak majoriti rakyat yang masih memegang nilai-nilai agama dan norma
ketimuran dengan melonggarkan pula kawalan terhadap filem-filem tempatan dan
asing. Sebelum ini pun, sudah banyak filem, drama dan teater yang mengangkat
kegiatan tidak bermoral untuk diperkenalkan kepada masyarakat. Keputusan
kerajaan ini dilihat sebagai melangkah kebelakang. Sepatutnya, undang-undang
berkenaan diperkemas dan diperelokkan kaedah perlaksanaanya. Alasan bahawa
undang-undang ini menyekat kemajuan industri perfileman adalah tidak relevan
sama sekali. Adakah kita hanya akan dianggap maju jika turut sama memperjudikan
akidah dan akhlak seperti di barat. Ini adalah pandangan kolot yang tidak
menyedari ketamadunan timur. Perkara ini juga tidak selari dengan kempen budi
bahasa, kempen pencegahan jenayah dan kempen menangani gejala sosial yang sedang
dilaksanakan oleh kerajaan. Kaitan antara pengaruh filem terhadap psikologi
masyarakat tidak boleh dipertikaian dalam hal ini sepertimana yang telah
dibuktikan oleh pelbagai kajian-kajian nasional dan juga antarabangsa.
Jika dilihat dalam konteks media internet masa kini, terlalu banyak
provokasi kaum dan agama yang dibuat melalui filem-filem pendek dan video-video
amatur. Kami bimbang, dengan membuka seluas-luasnya satu lagi platform media perdana
ini tanpa kawalan yang sepatutnya, keadaan akan menjadi lebih kronik. Terlalu
banyak filem-filem negatif yang bercanggahan dengan nilai moral dan agama termasuk
yang menghina kaum dan agama-agama tertentu dihasilkan saban tahun terutamanya
dari negara luar malahan ada juga yang dihasilkan penerbit tempatan.
Kami mengajak pemerintah dan pemain industri yang berkenaan untuk
mengambil iktibar Surah An-Nur ayat 19 yang bermaksud
‘ Sesungguhnya orang-orang yang ingin agar
perbuatan yang sangat keji itu (kemaksiatan) tersiar di kalangan orang-orang
beriman, mereka mendapat azab yang pedih di dunia dan di akhirat. Dan Allah
mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui’.
Kami mempertikaikan keputusan ini yang dibuat tanpa mengambil kira
pandangan pihak berautoriti dan masyarakat umum. Kami sebagai mewakili
masyarakat Islam yang merupakan masyarakat mojoriti dan kedudukan Islam di
negara ini sudah termaktub dalam perundangan , turut merasa sungguh terkilan
kerana satu demi satu isu yang dilihat menghina Islam timbul dalam media cetak
dan elektronik sejak kebelakangan ini. Kami juga memberi peringatan, keputusan
kerajaan terhadap perkara ini bakal mengundang padah yang mungkin sukar
dikawal. Perlu diingatkan, kebebasan yang dijamin oleh pemerintah tidak boleh
disalah ertikan. Setiap orang bebas melakukan apa sahaja selagi tidak mengganggu
dan merosakkan masyarakat. Walaupun seseorang itu bebas dan merdeka, jika
kemerdekaannya itu menyebabkan dia lalai daripada kewajipannya menjaga
kemerdekaan orang lain bahkan merosakkan masyarakat, sudah semestinya dia patut
disekat dan dihukum. Menghukumnya itu adalah kewajipan bagi pemerintah.
Dr. Mohd Nazmi Desa
SETIAUSAHA PUMPP
(019-4777844)
Nurfitri Amir Muhammad
YANG DIPERTUA UNGGAS Malaysia.
Perlukah meneruskan pemansuhan penapisan filem jika dengan pemansuhan tersebut akan menyebabkan lebih banyak kerancuan dalam masyarakat. Sedangkan filem-filem tidak kira filem dari tempatan atau luar yang telah ditapis pun dilihat seperti tidak ditapis, inikan pula bila memansuhkan penapisan ini. adakah ini satu lagi ujikaji pihak berwajib? tidak bimbangkah kita jika lebih banyak filem-filem yang berunsur ganas, seram, seks ditayangkan? adakah hanya ingin mengejar keuntungan semata-mata tanpa memikirkan kesannya kepada audian? Pada saya, perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku kerana ia akan lebih membawa kemudaratan dan keburukan daripada kebaikan. Jangan nanti menyalahkan anak-anak jika mereka tidak lagi berakhlak dengan akhlak sepatutnya, jika hari ini kita sendiri yang menyediakan segala-gala kemudahan untuk menghancurkan akhlak mereka.
ReplyDelete