Wednesday, August 15, 2012

RAMADHAN DISCOVERY: SIAPA MEREKA DI HATI KITA

" Sebaris Senyuman Tidak Bermakna Jika Kita Tidak Pernah Untuk Menyelami Kehidupan Dan Kesusahan Mereka Insan Bergelar Gelandangan"


Program ”Ramadhan Discovery: Siapa Mereka di Hati Kita” ini wujud hasil daripada perbincangan yang serius pihak UNGGAS  tentang kepentingan mengambil peduli tentang nasib gelandangan dan cara mengatasi masalah gelandangan ini. Hal ini demikian kerana pada pengamatan dan pemerhatian pihak UNGGAS sejak 2 tahun kebelakangan ini orang tak berumah atau gelandangan ini makin memenuhi Pulau Pinang. Fenomena ini makin menjadi-jadi apabila menjelang Ramadhan.Ada yang sanggup datang dari negeri-negeri lain semata-mata untuk mendapatkan sumbangan orang ramai.

Sebagai negeri yang menjadi tarikan kepada sektor pelancongan, kehadiran gelandangan ini mungkin agak sedikit mencacatkan wajah ceria sekitar tapak warisan dunia. Ia juga mungkin akan mengundang persepsi buruk pelancong kepada negara. Oleh itu, UNGGAS berasa terpanggil untuk mengetahui masalah sebenar yang membelenggu kehidupan golongan seperti ini dan kenapa memilih untuk berada di kawasan tumpuan orang ramai. Program ini diadakan bukanlah hanya sekadar program jangka pendek sahaja. UNGGAS sedang merancang untuk mengadakan susulan program ini. Oleh itu, pada 26 Julai dan 30 Julai 2012 yang lalu, kami bersama beberapa orang sukarelawan turun padang untuk mengutip data gelandangan yang ada sekitar kawasan Masjid Kapitan dan Chulia Street.Sebanyak 103 borang telah berjaya diisi. Daripada maklumat yang diisi dalam borang, ada diantara gelandangan ini telah hidup bergelandangan selama 25 tahun.

Saturday, August 4, 2012

Kenyataan Media : Isu Gelandangan Pulau Pinang Dan Program Ramadhan Discovery


Kenyataan Media

Isu Gelandangan Pulau Pinang Dan Program Ramadhan Discovery

Pertubuhan Menangani Gejala Sosial Malaysia (UNGGAS), Pertubuhan Aktivis Pengupayaan Insan (API) dengan kerjasama Universiti Teknologi Petronas (UTP) serta kariah Masjid Kapitan Keling mengumumkan bahawa pada hari ini satu program bertemakan “Ramadhan Discovery: Siapa Mereka di Hati Kita?”.
Program pada hari ini telah mendapat sumbangan daripada pihak MPPP dan juga PUZ sebanyak RM4000 ringgit manakala selebihnya melalui kutipan awam UNGGAS dalam bentuk beras, pakaian dan juga wang.
Dapat kita lihat pada bulan Ramadan, golongan gelandangan adalah antara golongan yang akan memenuhi jalanan di sekitar Georgetown. Komuniti gelandangan ini juga adalah berbeza daripada bulan-bulan yang lain kerana sebahagian yang datang dan berkampung di sini pada bulan Ramadhan ini berasal dari negeri lain seperti Kedah dan Perak. Perlu dijelaskan bahawa program ini bukan bertujuan untuk menggalakkan golongan ini hidup meminta-minta tetapi lebih kepada satu program advokasi dan pengumpulan maklumat.
Setelah hampir saban tahun menjalankan program untuk warga jalanan ini, kami mendapati tiada satu tindakan yang efektif dan berterusan daripada pihak berwajib untuk menangani permasalahan ini. Kita perlu sedar bahawa golongan ini tidak boleh dianggap sebagai satu kelompok sahaja kerana mereka sebenarnya terdiri daripada pelbagai latar belakang yang memerlukan kaedah yang berlainan untuk ditangani.
Melalui satu mesyuarat yang telah dipengerusikan oleh Unit Korporat MPPP bersama wakil JKM, PUZ, Pejabat Daerah serta UNGGAS, masalah utama yang dihadapi oleh pihak-pihak berkenaan adalah kekurangan data yang lengkap untuk mengkelaskan setiap gelandangan terbabit. Melalui pengkelasan individu gelandangan ini, mudahlah pihak-pihak berwajib mengambil tindakan penguatkuasaan (jika didapati ada kesalahan) dan juga kebajikan kepada mereka yang benar-benar layak. Kami juga ada mencadangkan agar diwujudkan sebuah rumah perlindungan harian yang boleh menjadi ‘one stop center’ bagi tujuan pengdokumentasian, penguatkuasaan dan kebajikan ini. 
Dalam program kali ini, hanya 103 orang sahaja yang dapat didokumentasikan kerana jumlah sumbangan yang terhad.
UNGGAS dengan kerjasama pihak-pihak tersebut mengadakan program khas ini bertujuan untuk meraikan kelompok gelandangan, dalam masa yang sama cuba berusaha mewujudkan pusat perlindungan (shelter).
Antara tujuan lain selain mengumpul maklumat gelandangan yang ada di Pulau Pinang, kami mendekati golongan ini bagi tujuan dakwah dan pendidikan, perkara ini penting kerana apa yang mereka lebih perlukan adalah perubahan sikap di samping bantuan untuk meneruskan kehidupan. Kami juga tidak mahu, kejadian rakan NGO kami dari API yang bertembung dengan mubaligh Kristian ketika mereka sedang berdakyah kepada golongan gelandangan muslim seperti mana yang disiarkan akhbar Berita Harian dan Sinar Harian  berulang lagi.
Sekian, Terima Kasih.

NurFitri Amir Muhammad                                                                             3 Ogos 2012
YDP UNGGAS Malaysia