Saturday, August 4, 2012

Kenyataan Media : Isu Gelandangan Pulau Pinang Dan Program Ramadhan Discovery


Kenyataan Media

Isu Gelandangan Pulau Pinang Dan Program Ramadhan Discovery

Pertubuhan Menangani Gejala Sosial Malaysia (UNGGAS), Pertubuhan Aktivis Pengupayaan Insan (API) dengan kerjasama Universiti Teknologi Petronas (UTP) serta kariah Masjid Kapitan Keling mengumumkan bahawa pada hari ini satu program bertemakan “Ramadhan Discovery: Siapa Mereka di Hati Kita?”.
Program pada hari ini telah mendapat sumbangan daripada pihak MPPP dan juga PUZ sebanyak RM4000 ringgit manakala selebihnya melalui kutipan awam UNGGAS dalam bentuk beras, pakaian dan juga wang.
Dapat kita lihat pada bulan Ramadan, golongan gelandangan adalah antara golongan yang akan memenuhi jalanan di sekitar Georgetown. Komuniti gelandangan ini juga adalah berbeza daripada bulan-bulan yang lain kerana sebahagian yang datang dan berkampung di sini pada bulan Ramadhan ini berasal dari negeri lain seperti Kedah dan Perak. Perlu dijelaskan bahawa program ini bukan bertujuan untuk menggalakkan golongan ini hidup meminta-minta tetapi lebih kepada satu program advokasi dan pengumpulan maklumat.
Setelah hampir saban tahun menjalankan program untuk warga jalanan ini, kami mendapati tiada satu tindakan yang efektif dan berterusan daripada pihak berwajib untuk menangani permasalahan ini. Kita perlu sedar bahawa golongan ini tidak boleh dianggap sebagai satu kelompok sahaja kerana mereka sebenarnya terdiri daripada pelbagai latar belakang yang memerlukan kaedah yang berlainan untuk ditangani.
Melalui satu mesyuarat yang telah dipengerusikan oleh Unit Korporat MPPP bersama wakil JKM, PUZ, Pejabat Daerah serta UNGGAS, masalah utama yang dihadapi oleh pihak-pihak berkenaan adalah kekurangan data yang lengkap untuk mengkelaskan setiap gelandangan terbabit. Melalui pengkelasan individu gelandangan ini, mudahlah pihak-pihak berwajib mengambil tindakan penguatkuasaan (jika didapati ada kesalahan) dan juga kebajikan kepada mereka yang benar-benar layak. Kami juga ada mencadangkan agar diwujudkan sebuah rumah perlindungan harian yang boleh menjadi ‘one stop center’ bagi tujuan pengdokumentasian, penguatkuasaan dan kebajikan ini. 
Dalam program kali ini, hanya 103 orang sahaja yang dapat didokumentasikan kerana jumlah sumbangan yang terhad.
UNGGAS dengan kerjasama pihak-pihak tersebut mengadakan program khas ini bertujuan untuk meraikan kelompok gelandangan, dalam masa yang sama cuba berusaha mewujudkan pusat perlindungan (shelter).
Antara tujuan lain selain mengumpul maklumat gelandangan yang ada di Pulau Pinang, kami mendekati golongan ini bagi tujuan dakwah dan pendidikan, perkara ini penting kerana apa yang mereka lebih perlukan adalah perubahan sikap di samping bantuan untuk meneruskan kehidupan. Kami juga tidak mahu, kejadian rakan NGO kami dari API yang bertembung dengan mubaligh Kristian ketika mereka sedang berdakyah kepada golongan gelandangan muslim seperti mana yang disiarkan akhbar Berita Harian dan Sinar Harian  berulang lagi.
Sekian, Terima Kasih.

NurFitri Amir Muhammad                                                                             3 Ogos 2012
YDP UNGGAS Malaysia

No comments:

Post a Comment