Thursday, June 20, 2013

Road To Ramadhan Discovery : Bahagia Bergelandangan

Bulan Ramadhan akan hadir kembali sedikit hari sahaja lagi. Seperti tahun sebelum ini, UNGGAS Malaysia akan mengadakan program khas sempena Ramadhan. Kepada yang berminat, nantikan sebaran yang akan dibuat. Ramadhan merupakan bulan yang berbeza dalam 'scene' gelandangan di Georgetown. Fakir miskin akan hadir dari tempat sejauh Baling dan Taiping membawa keluarga mereka tidur dijalanan. Sebelum berbincang lebih lanjut berkenaan pandangan alam UNGGAS berkenaan isu ini, kita baca tulisan penulis pelajar jurusan sains komunikasi berkenaan pengalaman beliau ketika bersama kami di lapangan. Tulisan ini diterbitkan dalam majalah projek tahun akhir kumpulan mereka. 





Penulis dan foto : Muhammad Adam Abu Bakar

Jam tepat menunjukkan pukul sembilan malam. Saya agak risau untuk menyertai misi mendekati gelandangan secara terbuka tanpa diiringi mana-mana pihak keselamatan Pada malam itu, misi ini dilaksanakan bagi mendapatkan data kelompok dan bilangan gelandangan di sekitar George Town serta cuba untuk mencari punca masalah ini dengan mendekati gelandangan. Sebelum berkumpul, saya dan rakan-rakan dari Pertubuhan Menangani Gejala Sosial Malaysia (UNGGAS Malaysia) berkumpul bagi membincangkan cara-cara untuk mendekati golongan ini.

Pelbagai soalan diajukan kepada pengerusi UNGGAS, Nurfitri Amir Muhammad atau lebih dikenali sebagai abang Amir, dan alhamdulillah semuanya dijawab dengan tenang. Namun, itu tidak dapat menghilangkan resah di hati saya. Seakan-akan memahami, abang Amir datang mendekati saya yang sedang duduk di bangku sugul mendiamkan diri. “Adam jangan risau, insyaAllah tiada perkara buruk yang akan berlaku sekiranya kita menganggap mereka yang hidup bergelandangan ini sama seperti kita,” katanya Abang Amir turut menjelaskan kepada saya tentang cara untuk mendekati gelandangan. Menurutnya, perkara yang perlu diutamakan adalah keyakinan diri dan memberikan senyuman yang ikhlas. Ini kerana gelandangan akan beranggapan bahawa kita adalah pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat yang akan mengambil mereka untuk dipindahkan ke rumah orang-orang tua. Selain itu, pemberian makanan kepada golongan gelandangan ini akan menjadi sebagai suatu token untuk mendekati mereka dan berbual bersama mereka. Tepat jam sebelas malam, kami mula bergerak di sekitar kawasan George Town. Pada malam itu, pihak UNGGASdan lima belas orang pelajar Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia terlibat dalam usaha  untuk mendekati gelandangan. 

Antara kawasan terpilih untuk di buat kajian adalah kawasan sekitar Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), Lebuh Chulia, dan di Masjid Kapitan Keling. Saya, abang Amir, dan tiga orang lagi siswi  Kampus Kejuruteraan ditempatkan di kawasan sekitar Komtar. Hampir lima belas minit perjalanan, kami tiba di lokasi. Suasana di sekitar Komtar lengang, jauh berbeza jika dibandingkan pada waktu siang yang penuh dengan kenderaan dan masyarakat setempat. 

Kami memulakan operasi di kawasan parkir teksi. Perasaan gementar, takut, dan teruja bercampur baur. 
Tidak sampai lima minit kami berjalan kaki, kami menemui seorang gelandangan yang baru sahaja selesai mengutip bahan buangan seperti tin minuman, kotak, dan surat khabar. Saya menghampirinya sambil membawa sebungkus nasi dan air mineral sebagai cara untuk mendekatinya dengan harapan dapat berbual bersamanya. 

“Hai pak cik, selamat malam,” Ujar saya dalam nada risau namun tidak lupa untuk melemparkan senyuman padanya. 

“Ya, you datang sini nak kasi makanan kan?” beliau membalas. 

Setelah memberikan makanan dan minuman padanya, saya mula berbual bagi mendapatkan maklumat 
mengenainya. Beliau memperkenalkan dirinya sebagai Tan Eng Teong yang berusia lima puluh tahun. Menurutnya beliau sudah hidup sebagai gelandangan sejak dua puluh tahun lalu. Baginya, beliau sudah lali dengan pandangan masyarakat terhadapnya. Tan Eng Teong yang lebih mesra dipanggil Uncle Tan menyifatkan tiada siapa yang mahu hidup bergelandangan atau merempat tanpa desakan yang tidak mampu di atasi. Beliau kelihatan kurus dan memakai pakaian yang koyak akibat reput. 

“Dulu, saya tinggal di Jalan Perak. Namun disebabkan pembangunan yang dilakukan, rumah saya pada waktu itu dirobohkan dan langsung tidak diberikan pampasan,” katanya dalam nada kecewa. 

Beliau menambah, masyarakat sekeliling lebih mudah untuk menghukum dari melihat apa yang terjadi. 

“Bagaimana saya mahu bekerja, lihatlah bagaimana keadaan sekarang,” katanya. 

Beliau yang sudah kehilangan kad pengenalan, telefon bimbit akibat dicuri oleh penagih dadah merasakan hidupnya sudah berakhir. 

“Saya perlu mendapatkan surat beranak saya di Jabatan Pendaftaran Negeri dan bayaran yang dikenakan adalah lima ringgit. 

“Sekiranya saya buat kad pengenalan, saya harus membayar wang sebanyak tiga ratus ringgit. Dan jika saya membuat laporan polis, saya akan ditangkap dan akan dihantar ke rumah orang-orang tua di Taiping,” katanya. Perasaan sayu mula timbul dalam diri saya apabila melihat bagaimana Uncle Tan yang masih tidak berkahwin dan seorang diri meneruskan kehidupan sehariannya. 

“Bagi orang kaya, tiga ratus ringgit adalah sedikit tapi pada uncle, wang sebanyak itu boleh digunakan untuk keperluan asas sekadarnya selama dua atau tiga bulan,” tambah uncle Tan sambil menyisir rambutnya menggunakan tangan. 

Hampir lima belas minit perbualan kami misi mendekati gelandangan dan berjalan di sekitar kawasan Komtar masih diteruskan. 

Tidak lama kemudian, saya terus mendekati seorang lagi gelandangan yang baru sahaja selesai makan dan hendak melabuhkan punggungnya di atas sekeping kotak makanan segera. 

Perasaan saya sedikit yakin ekoran kejayaan pertama saya menembual gelandangan tadi. Sama seperti tadi, saya datang menghampiri seorang pemuda yang berusia dalam lingkungan 20-an. Setelah memberi salam dan menghulurkan makanan, saya mengajak pemuda berkenaan untuk berbual. Beliau adalah Zainol Zaimi yang berasal dari Desa Pandan, Kuala Lumpur. Baginya hidup bergelandangan adalah sesuai dengan jiwanya. 

Zainol yang berusia dua puluh tujuh tahun merasakan bahawa hidupnya telah musnah. Hal ini kerana beliau sudah hidup bergelandangan sejak berusia tiga belas tahun lagi. 

“Saya tidak meneruskan pembelajaran di sekolah menengah kerana tidak mendapat kebenaran ibu bapa yang menyuruh saya bekerja di kedai makan sebagai pencuci pinggan bagi membantu keluarga,” katanya. 

Beliau menambah, pada waktu sekarang susah untuk mendapatkan kerja walaupun bekerja di restoran makanan segera. “Syarat minimum untuk bekerja di restoran makanan segera adalah Penilaian Menengah Rendah (PMR), dan saya pula hanya memiliki sijil Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR),” katanya dalam nada sayu. 

Zainol adalah seorang pemuda yang sentiasa tersenyums dan berpakaian ala- ala tentera. 

“Saya juga pernah ditangkap oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat dan ditahan selama enam bulan. 

“Setelah dibebaskan saya mula melarikan diri ke Pulau Pinang, dan hingga kini saya telah hidup bergelandangan selama tiga bulan di Pulau Pinang,” katanya. 

Baginya lebih baik hidup bergelandangan daripada dari hidup memakan rasuah seperti yang dilakukan sesetengah golongan kolar putih. “Saya tidak melakukan sebarang 

kesalahan, saya hanya tidur di kaki lima pada waktu malam.” ujar Zainol. 

Terfikir di benak saya sama ada Zainol mahu atau tidak mahu mengubah cara hidupnya. Adakah beliau tidak mahu untuk tidur di tilam yang tebal, selimut yang dapat memanaskan badan dan juga bantal yang empuk? 

Saya sempat bertanyakan soalan tentang kehidupan keluarganya di Kuala Lumpur. 

“Ayah saya sudah meninggal dunia akibat mengambil dadah. 

“Ibu saya pula kini bekerja sebagai pelayan kelab malam di ibu kota manakala adik-adik saya terus hidup sebagai anak jalanan,” katanya. 

Pelbagai perkara yang bermain di fikiran saya apabila memikirkan pengalaman yang dilalui pada malam itu. Tinjauan yang kami lakukan untuk pukul dua pagi. 

Setelah selesai mengumpulkan maklumat, kami terus bergerak pulang ke USM. 

Cukuplah dengan pengalaman 

itu, kita perlu mengambil pengajaran terhadap perkara yang berlaku dalam masyarakat sekeliling seperti kata pepatah ‘yang baik dijadikan panduan dan yang buruk dijadikan sempadan.’

No comments:

Post a Comment