Wednesday, September 24, 2014

Sebulan Lagi SPM. Calon Sekolah Juvana Hadapi Titik Penting Dalam Hidup Untuk Perubahan

Program kelas Akademik untuk remaja juvana di Sekolah Tunas Bakti, Butterworth masih berjalan. Hanya tinggal lebih kurang sebulan 10 hari sahaja lagi menjelang SPM pada november ini. Moga-moga semua pelajar SPM yang disabitkan kesalahan juvana ini beroleh kejayaan dalam SPM sekaligus dalam hidup.

Setinggi-tinggi penghargaan kepada semua guru sukarela yang komited dan berdedikasi. Mereka tidak mahu dikenali, jadi kami gunakan kod nama untuk mereka.
1) Pn N
2) Pn S
3) En R
4) En Z
5) En I
6) Cik A

Pendidikan merupakan senjata paling ampuh untuk perubahan masyarakat. Mudah-mudahan usaha yang kecil ini memberikan manfaat yang besar kepada mereka dan keluarga mereka yang terlibat. Bagi mereka yang masih ingin menjadi guru sukarela bersama UNGGAS Malaysia. Projek BuFFER (Book And Food For Better Future ) masih memerlukan guru yang berdedikasi. 

Hubungi kami melalui email unggasmail@gmail.com atau fb page Urusetia Menangani Gejala Sosial Malaysia (UNGGAS MALAYSIA).

n.fitri amir


Monday, September 22, 2014

Rumah Perlindungan Gelandangan Tak Sempat Siap

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Taib, berkata pihaknya kesuntukan masa menyiapkan rumah itu walaupun Datuk Seri Najib Razak mengatakan ia akan siap sebelum akhir tahun ini.

Katanya, DBKL masih belum menyelesaikan proses membeli bangunan untuk dijadikan rumah perlindungan gelandangan.

"Kalau ikut apa yang perdana menteri minta, beliau mahukan rumah perlindungan siap sebelum akhir tahun 2014, maksudnya kita sudah tidak cukup masa.
"Apabila kita dapat sahaja beli bangunan tersebut, maka kita akan segerakan kerja-kerja menyiapkan rumah itu," katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis pelancaran Garis Panduan Reka Bentuk Bandar Pusat Kuala Lumpur.

6 Julai lalu, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata DBKL merancang membeli rumah kedai bagi dijadikan rumah perlindungan untuk gelandangan di ibu negara, sebagai tambahan kepada Anjung Singgah yang disediakan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

"Kita akan beli empat rumah kedai empat tingkat di Lorong Haji Taib untuk diubah suai (menjadi rumah perlindungan)," katanya, dan menambah rumah perlindungan yang selesa itu dijangka siap menjelang hujung tahun ini.

Ia ekoran kenyataan kontroversinya mengharamkan dapur jalanan daripada menyediakan bantuan makanan kepada gelandangan di pusat bandaraya.

Beberapa hari kemudian, Najib, ketika melakukan tinjauan aktiviti dapur jalanan di sekitar ibu kota, berkata tempat khas bagi menempatkan golongan gelandangan itu dijangka siap dalam masa enam bulan.

Najib berkata selain menyediakan tempat tidur pada waktu malam, ia juga akan dilengkapi kemudahan bilik mandi serta lokar menyimpan barangan golongan kurang bernasib baik itu.

"Itu yang dia perlu, bukan flat tapi tempat di mana dia boleh tidur supaya tidak tidur di tepi jalan," katanya.

Datuk Bandar itu berkata selain di kawasan Jalan Raja Laut, DBKL juga sudah mengenal pasti sebuah bangunan yang boleh dijadikan rumah perlindungan iaitu berdepan Jalan Chow Kit.

Katanya, bangunan itu adalah bekas hotel lama di mana pemiliknya sudah menyatakan kesediaan menjualkannya kepada kerajaan.

Bagi proses itu, beliau berkata DBKL kini sedang menantikan harga bangunan tersebut yang akan dinilai oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta

"Kita juga sudah memaklumkan kepada Kementerian Wilayah Persekutuan untuk meminta jabatan tersebut menyegerakan urusan itu," katanya.

Selain itu, Phesal berkata Malaysia Resources Corporation Bhd (MRCB) juga menyatakan minatnya untuk membangunkan rumah perlindungan gelandangan berdekatan hospital kerajaan.

"Kita sudah berbincang dengan kementerian juga, rumah perlindungan yang bakal dibina di hadapan hospital awam akan dibangunkan pihak MRCB.

"Dan kami juga sudah berbincang dengan MRCB untuk mereka kemukakan cadangan dan reka bentuk bangunan bagi DBKL pertimbangkan," katanya. – 22 September, 2014. The Malaysian Insider.

Tuesday, September 9, 2014

Pengalaman pertama bersama penghuni STBTAT

Alhamdulillah, segala puji hanya selayaknya diberikan kepada ALLAH.

Program khas untuk membantu 29 penghuni Sekolah Tunas Bakti, Teluk Air Tawar (STBTAT), Butterworth telah bermula pada 5 September, Jumaat yang lalu.

Setelah UNGGAS Malaysia menyebarkan poster pencarian guru sukarela, alhamdulillah ramai yang menghubungi kami untuk bertanya mengenai kekosongan guru sukarela.

Guru sukarela yang dicari adalah khas untuk mengajar 29 penghuni STBTAT yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) November nanti.

Subjek yang memerlukan guru sukarela segera adalah Sains, Matematik, Bahasa Inggeris dan Pendidikan Islam. Alhamdulillah dalam masa sehari sahaja, ada yang sudi mengajar subjek ini secara sukarela.

Setakat ini, lima guru sukarela yang akan mengajar mereka sehingga SPM tiba.

Kelas Pertama.. Aktif bukan Pasif...



Respon dari kedua pihak amat positif, samada pihak guru sukarela atau penghuni STBTAT. Masa berlalu terasa amat pantas oleh mereka. Sedar tidak sedar, masa mengajar dan belajar telahpun tamat. 

Antara komen guru sukarela:-

Sains: "Sangat bersemangat nak belajar. Tanya ja memanjang. Tapi kena kawal, takut meleret"

Matematik: "Kebanyakannya berjaya menyelesaikan soalan linear equation. Tambahan pula, mereka sangat excited nak belajar. Jelas kelihatan mereka juga sangat menghargai guru. Malah, terserlah mereka sangat dahagakan ilmu."

Bahasa Inggeris: "Mereka sangat mudah untuk menerima arahan dan kerjasama yang baiki diberikan. Boleh dikatakan mereka berdisiplin dalam kelas. Namun agak susah kerana apabila diberikan tugasan untuk menyenaraikan kebaikan mereka, mereka sangat payah untuk tuliskan. Sedangkan sebenarnya, ada kebaikan yang mereka lakukan tanpa mereka sedari tetapi mereka masih gelar diri mereka jahat."

Sekian laporan untuk kelas pertama bersama adik-adik penghuni STBTAT yang ceria dan spontan. Nantikan cerita menarik untuk kelas minggu hadapan.


"Jika anak Adam meninggal dunia, maka amalnya putus kecuali tiga perkara; shadaqah jariyah, ilmu yang bermanfaat, dan anak soleh yang mendoakannya." Hadis Riwayat Muslim.

Wednesday, September 3, 2014

GURU SUKARELA UNTUK PENGHUNI SEKOLAH TUNAS BAKTI DIPERLUKAN!

Pernahkah anda membayangkan atau merasai sendiri pengalaman masuk ke dewan peperiksaan tanpa sebarang persiapan atau persiapan yang ala kadar? 

Tambahan lagi, peperiksaan yang bakal diduduki adalah peperiksaan Sijil pelajaran Malaysia (SPM).

Hal ini bakal berlaku kepada 29 penghuni Sekolah Tunas Bakti (STB) Teluk Air Tawar, Butterworth, Pulau Pinang yang akan menduduki peperiksaan SPM Oktober nanti sekiranya kita tidak berbuat sesuatu.

Oleh itu, UNGGAS MALAYSIA (Like Page) sangat mengalu-alukan sesiapa sahaja (tidak tertakluk kepada guru sahaja) untuk mengajar mereka di STB bermula bulan ini. Mohon sebarkan juga kepada rakan dan kenalan anda.

Hubungi/sms: 0174133858 untuk maklumat lanjut.

‘Jika anak Adam meninggal dunia, maka amalnya putus kecuali tiga perkara; shadaqah jariyah, ilmu yang bermanfaat, dan anak soleh yang mendoakannya.’ Hadis Riwayat Muslim.