Menginsafi ramai komuniti gelandangan atau mesra dipanggil rakan jalanan terdiri dikalangan penganut beragama Islam, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) dikenali sebagai Urusetia Menangani Gejala Sosial (Unggas) berusaha memelihara akidah golongan kurang bernasib baik itu selain memberi sumbangan makanan dan pakaian.
Sukarelawan Unggas juga pendakwah bebas, Ustaz Khaime Farzu berkata, kesempitan hidup dilihat mudah menjerumuskan sebahagian rakan jalanan kepada perasaan putus asa untuk meneruskan kehidupan sehingga sampai tahap menyalahkan takdir.
“Mengapa aku jadi begini? Mengapa bangsa dan agama aku tidak menolong? Kecenderungan untuk mereka tergelincir akidah itu tinggi tidak terkecuali sama ada dari kalangan yang berpendidikan sebab mereka yang hidup dalam keadaan terdesak ini menilai mengikut rasional logik semata-mata,” ujarnya ketika ditemui Malaysia Dateline di perkarangan Masjid Jamek selepas Subuh tadi.
Menyertai Unggas sejak lapan tahun lalu, beliau tidak menafikan usaha NGO berkenaan sedikit sebanyak mendekatkan rakan jalanan bahkan anggota sukarelawan sendiri dengan agama Islam.
“Kita buat di masjid supaya mereka sedar bahawa agama Islam mengambil berat akan kebajikan rakan jalanan sebab ada antara mereka yang membandingkan dengan agama dan peranan rumah ibadat agama lain. Kita di Unggas berusaha supaya rakan jalanan tidak lari dari Islam.
“Pada masa sama juga, mereka serta aktivis yang bertugas sekurang-kurangnya dapat solat Subuh berjemaah di sini (Masjid Jamek). Saya pula akan mendekati rakan jalanan mendengar masalah atau luahan hati mereka sebelum memimpin dengan pandangan dan motivasi yang digariskan oleh Islam.
“Alhamdulillah, atas usaha Unggas mendekatkan rakan jalanan dan sukarelawan dengan masjid ini, sudah ramai mula peka dengan kewajipan untuk bersolat,” jelasnya yang akan bertolak dari kediamannya di Pantai Dalam sejak pukul 5.30 pagi hampir setiap hari Ahad jika keadaan mengizinkan.
Mengulas panggilan ‘rakan jalanan’ yang dipopularkan Unggas, Ustaz Khaime berkata, istilah tersebut diguna bagi merapatkan jurang dengan komuniti yang lazim dipanggil gelandangan itu.
“Bagi kami di Unggas, gelaran rakan jalanan lebih baik daripada menyebut mereka sebagai gelandangan sebab mereka semua rakan dan sahabat kita yang memerlukan sokongan, bahkan saudara seagama yang tidak harus dipandang rendah. Biar mereka selesa dan menerima kehadiran kita,” tambahnya yang juga guru Sekolah Rendah Agama di Taman Maluri, Cheras.
Ramainya ‘orang kita’
Sementara itu, aktivis Unggas, Farid Mustafa berpendapat semua pihak harus membuka mata akan kewujudan komuniti rakan jalanan yang difahamkan jumlahnya bertambah ekoran banjir besar melanda pantai timur Semenanjung khususnya Kelantan.
“Ramainya orang kita (Melayu Islam). Jangkaan kami bah besar di Kelantan tahun lalu juga ada benarnya apabila ada kalangan mangsa bencana alam itu yang berhijrah ke Kuala Lumpur selepas harta benda dan rumah habis musnah.
“Tambah pula di sana mereka susah mendapat kerja. Bantuan untuk makanan juga kita tambahkan kira-kira 100 bungkusan,” ujarnya kepada Malaysia Dateline ketika mengagihkan sumbangan makanan selepas selesai solat Subuh berjemaah.
Ustaz Khaime Farzu |
Bagi sekretariat Unggas, Zasara Abd Wahid pula, 50 daripada 300 bungkusan makanan pada pagi itu akan diagihkan kepada rakan jalanan yang menghuni sekitar bawah jambatan berdekatan Masjid Negara dan Kotaraya.
“Setiap bungkusan kita bekalkan nasi, roti, kuih dan minuman. Ada penerima iaitu rakan jalanan yang sama seperti tahun lalu. Ada juga orang yang baru sampai KL tapi ramainya, orang kitalah, Melayu juga termasuk mereka dari Sabah dan Sarawak,” jelasnya yang menyertai aktiviti Unggas sejak 2009.
Sementara itu, aktivis Raudah Musa dari Wangsa Maju ketika ditanya Malaysia Dateline memberitahu, beliau akan bertolak ke Masjid Jamek hampir setiap minggu jika tiada halangan paling awal pukul 4.30 pagi.
Zasara Abd Wahid |
“Saya nak rasa pengalaman seperti diperoleh orang lain dalam membantu rakan jalanan ini dan Alhamdulillah sejak saya menyertai Unggas Ramadan tahun lepas, saya lebih memahami perasaan dan masalah mereka alami,” ujarnya lagi sambil berharap rakan jalanan untuk jangka panjang dapat berdikari memajukan diri.
Raudah Musa |
No comments:
Post a Comment