Monday, July 7, 2014

Mereka Bukan Haiwan Liar: Nasib Golongan Jalanan Dan Memaknai Hari Warisan Georgetown

Kami mengucapkan selamat menyambut Hari Warisan buat warga Pulau Pinang sempena perayaan pengisytiharan Georgetown sebagai kota warisan dunia pada 7 Julai setiap tahun. Ia pasti merupakan sesuatu yang dinantikan kerajaan negeri Pulau Pinang kerana dengan pengistiharaan ini, bermakna Pulau Pinang bakal menerima kemasukan ribuan pelancong dari dalam dan luar negara. Pelbagai acara-acara kebudayaan dicipta dan dirancang dengan teliti di setiap lorong-lorong dan bangunan-bangunan bersejarah kota mutiara ini.
Living Haritage 2014 merupakan acara rasmi Kerajaan Negeri bersama majlis perbandaran dan Georgetown Heritage Inc. Ini adalah acara tahunan yang kononya  menonjolkan kebudayaan hidup dan komuniti Georgetown yang aman damai dan ceria. Sebanyak 13 acara telah dirancang untuk sambutan selama dua hari. Dan sepanjang bulan Julai pelbagai tawaran-tawaran menarik dibuat oleh hotel-hotel dan agensi pelancongan disini. Kehidupan disini semuanya nampak ceria dan penuh kebahagiaan.
Disebalik keghairahan untuk menyambut kehadiran pelancong-pelancong ini bersama wang yang mereka bawa, wujud sedikit kesesalan dalam jiwa kami tentang salah satu komuniti lain yang sama-sama wujud di Georgetown. Mereka ini adalah golongan jalanan yang saban hari berusaha untuk mencapai kebahagiaan mereka sendiri disebalik hiruk pikuk kepesatan pembagunan di kota lama ini. Timbul persoalan siapa mereka dihati kita ? Pada awal bulan Julai, pemerhatian kami di KOMTAR, Masjid Kapitan dan kawasan-kawasan biasa gelandangan berkumpul mendapati golongan ini ditahan atas nama 'diselamatkan' dan dihimpun pusat tahanan sementara. Perkara ini berlaku dalam masa pesta sambutan hari warisan ini berlangsung. Sikap seperti ini, kami lihat seolah-olah hanya melepaskan batok ditangga dan menyapu sampah ke bawah tikar. Ia bersifat penyelesaian sementara demi memaparkan wajah palsu Georgetown kepada warga pelancong kononnya kota ini bebas dari krisis sosial. Sedangkan mereka hanya hilang pada pandangan mata selama beberapa hari, minggu atau bulan sebelum mereka menjelma semula. Jadi siapa mereka dihati kita ? Tidakkah mereka juga warga kota ini yang berhak diberi pembelaan ? Atau mereka hanya sekadar sampah ekonomi yang perlu disisihkan dan jika boleh dibuang lenyap dari muka bumi Georgetown ini.
Dari segi ekonomi, kami faham Pulau Pinang sebenarnya berusaha untuk keluar dari perangkap ekonomi berpendapatan sederhana dan bersaing dengan negara-negara jiran. Jadi Pulau Pinang perlu cepat untuk keluar dari pergantungan terhadap industri pembuatan yang memerlukan tenaga buruh yang lebih kompetitif. Dalam usaha membuka pintu ekonomi baru dalam bentuk knowledge-base dan value added industry, maka Georgetown perlu menjadi kota idaman yang selesa didiami oleh penghuni-penghuni baru yang profesional dan dikunjungi oleh para pelancong asing yang sanggup tinggal lama dan menghabiskan wang disini.
Namun demi mencapai matlamat untuk menjadikan Georgetown sebuah kota lestari, jangan pula kita menjadi hipokrit. Warga jalanan ini tidak patut dilihat sebagai musuh yang perlu dimusnahkan tetapi rakan yang perlu dibantu. Ya, mereka mungkin ada sifat-sifat nagatif yang sukar kita terima tetapi ia perlu dilihat sebagai masalah yang perlu dibantu sebagaimana seorang penagih rokok perlu dibantu untuk berhenti merokok bukan ditangkap dan dihumban keluar dari rumah. Tidak dapat dinafikan, kemunculan golongan ini sebenarnya berpunca dari pembangunan ekonomi dan sosial yang tidak seimbang. Mereka adalah suara-suara terpendam yang lahir dari keluarga yang pincang, mereka yang dirobohkan rumah dan dipaksa tinggal diflat-flat sempit yang tidak kondusif, masalah dadah, pelacuran dan kemiskinan bandar.
Bukan makanan yang benar-benar mereka perlukan, kehadiran NGO-NGO pemberi makanan ini hanya usaha langsung untuk memastikan mereka tetap dapat makan dan hidup. Mereka sebenarnya memerlukan sebuah perancangan penyelesaian yang teliti dan intensif. Tiada jalan mudah untuk usaha ini. Menangkap dan mengurung mereka untuk jangka waktu tertentu tidak akan menyelesaikan masalah. Mereka perlu dikelaskan dengan teliti, mereka yang miskin dan tidak boleh bekerja perlu dibantu dengan rumah dan kewangan, penagih dadah perlu dipulihkan, kanak-kanak lari dari rumah perlu diberi motivasi dan dikembalikan kepada keluarga, rumah-rumah pelacuran dan sindiket-sindiket perlu dihapuskan.
Jelas usaha untuk menjadikan Georgetown sebagai sebuah kota kondusif memerlukan usaha gigih dan mereka yang berautoriti jangan jadi malas dan perlu berusaha lebih gigih bersama komuniti NGO dan komuniti setempat. Operasi tangkap dan lepas tidak akan menyelesaikan masalah. Mereka bukan haiwan liar. Cadangan tidak masuk akal Bandaraya Kuala Lumpur yang dicadangkan Ku Nan untuk menyaman NGO2 yang membantu golongan ini juga jangan dijadikan sandaran kerana kita seharusnya masih punyai hati perut.

Jabatan Kebajikan Masyarakat, Majlis Perbandaran Pulau Pinang, Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa lainnya perlu serius bekerjasama dan mempunyai perancangan yang berterusan untuk mengatasi masalah ini. Makanan bukan masalah utama kepada isu ini. Jiwa kosong, tiada motivasi, tiada kemahiran, dan tiada keadilan sosio ekonomi adalah puncanya. Janganlah menuding jari sesama sendiri untuk menunjukkan siapa yang lebih hebat. Kita perlu berbincang dan mencapai kata sepakat.

N.F Amir
UNGGAS Malaysia


No comments:

Post a Comment