TPPA DAN ISU SOSIAL
Ini adalah kebimbangan kami berkenaan isu-isu yang mungkin akan timbul apabila TPPA ditandatangani :
1. Peraturan-peraturan PBT berkenaan operasi kelab-kelab malam, operasi hotel, rumah urut dan yang seangkatan dengannya boleh dicabar .
2. Lembaga Penapisan Filem mesti mencairkan tapisan secara berperingkat peringkat kononnya untuk mengikut standard barat yang lebih terbuka.
3. Filem-filem ganas, aksi ngeri, pembunuhan dan kata-kata kesat tidak boleh ditapis.
4. Artis-artis antarabangsa tidak perlu mengikut garis panduan persembahan PBT / JAKIM.
5. Peraturan peraturan rokok seperti amaran kanser akibat rokok, dan polisi-polisi akan datang tidak dapat dilaksanakan, cukai rokok yang tinggi boleh menyebabkan kerajaan disaman oleh syarikat rokok atas alasan halangan untuk berniaga. Begitu juga halnya dengan cadangan kawalan terhadap Vape atau apa lagi produk baru yang mungkin menjejaskan kesihatan awam.
6. Peraturan-peraturan jualan arak di tempat terbuka perlu ditarik balik atau syarikat arak boleh saman kerajaan kerana menghalang mereka berniaga.
7. Pengharaman buku-buku, majalah import yang menghina Islam tidak dapat dilaksanakan.
8. Bahan-bahan luar (bercetak atau digital) yang mempromosikan LGBTIQ tidak boleh dihalang untuk diniagakan.
9. Majalah lucah, filem-filem kuning, lagu-lagu lucah tidak boleh dihalang masuk ke Malaysia atas nama kebebasan perdagangan.
10. Cadangan untuk meletakkan ketum dibawah akta dadah mungkin dicabar oleh syarikat-syarikat farmasi. Begitu juga cadangan untuk mengawal pengedaran gam untuk menghindari gejala hidu gam juga mungkin tidak dapat dilaksanakan.
11. Apabila ekonomi merosot, institusi keluarga terdesak dan tertekan, institusi keluarga akan retak dan gejala sosial akan meningkat.
Tuan-tuan sekalian,
TPPA atau Trans Pacific Partnership Agreement adalah sebuah perjanjian 12 buah negara pasifik. Ia diwar-warkan sebagai sebuah perjanjian perdagangan paling moden abad ke 21 oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa (MITI), Tok Pa.
Namun, ia sesungguhnya bukan hanya berkisar soal perdagangan. Ia juga melibatkan perjanjian untuk mengubah dasar undang-undang dan juga turut memberi kesan kepada sosio-budaya masyarakat.
Sehingga kini isi kandungan yang telah dimuktamadkan di Atlanta pada 5 Oktober lalu masih belum dibentangkan kepada umum. Pihak kerajaan telah menyatakan bahawa ia akan dibentangkan di Parlimen pada Januari 2015, namun semua sedia maklum bahawa jika ia diperdebatkan mana yang baik dan mana yang buruk sekalipun, teks perjanjian tidak boleh lagi dipinda.
Dan lebih mengecewakan lagi, Perdana Menteri menerusi mesyuarat Kabinet tidak memerlukan kelulusan Parlimen pun untuk menandatangani TPPA seperti yang telah dijelaskan Menteri berkenaan.
Selain isu-isu sosial yang dijelaskan diatas, perjanjian ini juga dilihat lebih memberi hak kepada syarikat-syarikat gergasi berbanding kepentingan awam dalam hal Hak Pekerja, Bekalan Ubatan, Kedaulatan Makanan dan Perundangan, Perolehan Kerajaan dan Industri Kecil dan Sederhana.
Kami menyeru kepada pemimpin negara-negara yang menyertai Trans Pacific Partnership Agreement (TPPA) ini untuk menolak sebarang usaha ke arah Kolonisasi Korporat terhadap warga Asia Pasifik dan berusaha untuk melindungi, mengekalkan dan mempromosi sistem perdagangan yang benar-benar bebas, adil dan selamat di antara negara-negara yang terlibat.
Istilah Kolonisasi Korporat sangat tepat untuk merujuk kepada Regim TPPA, kandungannya dan proses perlaksanaannya kerana kepentingan gergasi-gergasi korporat sangat jelas telah mempengaruhi peruntukan-peruntukan kontroversi di dalam perjanjian ini.
Ia adalah satu perjanjian mudarat yang akan memberi kesan kepada kedaulatan negara, memperjudikan kesejahteraan ekonomi, dan akan menyebabkan kesusahan dan penderitaan kepada rakyat negara ini.
INILAH PENDIRIAN PERTUBUHAN URUSETIA MENANGANI GEJALA SOSIAL DALAM ISU TPPA INI.
Terima Kasih.
Nurfitri Amir Muhammad
Presiden
UNGGAS Malaysia
Mohon disebar luaskan.