PUTRAJAYA: Kerajaan menolak cadangan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) untuk mengkomersialkan penanaman ketum sebagai punca pendapatan sampingan kepada pekebun kecil getah.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata perkara itu diputuskan setelah mendengar taklimat RISDA sebentar tadi berhubung cadangan itu selepas mendapati mudaratnya lebih besar berbanding manfaat.
Katanya, kementerian juga sudah mendapatkan pandangan pelbagai pihak termasuk Kabinet, Kementerian Kesihatan, Kementerian Pendidikan, kementerian Dalam Negeri (KDN), polis serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK). "Semuanya sependapat jika projek ini diteruskan, ia akan membawa lebih banyak masalah sosial kepada masyarakat.
Jadi, kita tidak akan teruskan projek ini. "Sebaliknya, RISDA akan teruskan usaha tambah pendapatan pekebun kecil dengan menanam tanaman sampingan lain seperti cili dan cendawan selain program keusahawanan lain," katanya pada sidang media selepas mendengar taklimat RISDA, di sini hari ini.
Ismail Sabri berkata, kerajaan pernah membentangkan usul di Parlimen untuk menyenaraikan ketum, yang kini terletak di bawah Akta Racun Negara 1952, mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 tetapi menghadapi beberapa masalah teknikal dan ditarik balik sementara.
Bagaimanapun, katanya, usul untuk menyenaraikan ketum mengikut Akta Dadah Berbahaya akan tetap dilakukan apabila isu teknikal berkaitan diatasi. "Justeru, tidak wajar bagi membenarkan tanaman ketum sekarang tetapi terpaksa mengharamkannya apabila akta itu dikuatkuasakan," katanya.
Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/
No comments:
Post a Comment