Thursday, January 30, 2014

POP CULTURE : Menyelami Penyakit Sosiobudaya Masyarakat, Kita Juga Adalah Punca

   Kami memandang serius isu eksploitasi masyarakat terutamanya wanita dan kanak-kanak. Tanpa sedar, eksplotasi ini bukan sahaja sekadar kaedah mahu cari lebih pelanggan untuk menjual produk tetapi juga menjual mimpi-mimpi indah agar manusia menjadi 'lebih' dalam segala hal;

•Lebih mewah 
•Lebih prestij 
•Lebih gaya 
•Lebih bangga 
•Lebih ego 
•Lebih kaya 
•Lebih puas 
•Lebih senang 
•Lebih ghairah 
•Lebih mempersona

Penyakit umat manusia zaman pasca moden ini adalah satu sikap yang disebut sebagai Ekstasi Gaya Hidup. Ekstasi Gaya Hidup ini membawa kenikmatan palsu, kebahagiaan pura-pura dan keindahan yang dibuat-buat. Ekstasi ini didasari oleh nafsu yang tidak terkawal untuk sentiasa menikmati sesuatu dengan lebih banyak akhirnya menghasilkan Kebudayaan Sampah dan Budaya Murahan yang disuburkan oleh para kapitalis jahat yang hanya mementingkan wang dan kuasa.

Sifat nafsu manusia yang ingin lebih ini terus dibelai dan dipuaskan hingga membawa kepada munculnya sebuah industri Kebudayaan Popular Massa (Mass Pop Culture). Perkiraannya mudah;

‘Mass Production’ (penghasilan besar2 an) + ‘Mass Dissemination’ (pengedaran/pengiklanan besar2 an)
= ‘Homogenisation of Taste’ (penyeragaman kemahuan).

Perlu dijelaskan Homogenation of Taste kami terjemahkan sebagai 'Penyeragaman Kemahuan' kerana kemahuan itu datang dari nafsu dan biasanya bukan keperluan. Ambil produk-produk kecantikan sebagai contoh, oleh kerana masyarakat dunia telah diprogramkan oleh media bahawa kulit putih, mata besar, payudara montok, kaki panjang dan badan kurus itu cantik, maka larislah produk-produk ini. Ia tidak terhad kepada produk kecantikan tetapi merangkumi gadget, pakaian, makanan, majalah yang kita baca, muzik yang kita dengar, pasangan yang kita pilih, apa yang kita percaya dan seluruh aspek kehidupan kita yang lain. 



Jadi, siapa yang menentukan apa yang perlu kita beli, pakai dan apa yang perlu kita percaya ?
Trend Setters yang menetukan, mereka terdiri daripada Golongan Elit, Pemimpin Politik dan Tuan Punya Industri. 

Mereka membazir wang di tempat-tempat mewah, melalui media kita akan ikut. Mereka bergaul tanpa batas, melalui media kita akan ikut. Mereka berperilaku dan berkata lucah, melalui media kita akan ikut. Mereka pecah amanah namun tetap bergaya, melalui media kita akan ikut. Mereka ganas dan sempoi, melalui media kita akan ikut. Mereka pandang jijik pada golongan miskin, melalui media kita akan ikut. Mereka hidup dalam kehidupan individualistik dan penuh meterial, melalui media kita akan ikut. Mereka hidup hanya untuk makan, beli kereta, luaskan rumah, dapatkan isteri cantik, puaskan nafsu untuk hilangkan 'tekanan', melalui media kita akan ikut...

Maka setiap kali anda pergi ke supermarket, menonton tv, membaca majalah, mendengar berita atau melayari internet, ingatlah kita bukan robot yang hanya menerima apa yang diprogramkan dan kita bukan objek eksploitasi yang boleh mereka buat sesuka hati. Hiduplah secara bersederhana, bukan menidakkan keperluan mencari wang dan kesenangan hidup. Tetapi sekadar memberi peringatan, banyak wang bukan alasan untuk kita memiliki apa sahaja keinginan yang kita perlukan, ya memang benar itu wang anda dan anda telah tunaikan zakat, tetapi mari kita renungkan, berapa banyak buruh kanak-kanak di China dan India yang telah kita perah keringat mereka dengan upah yang sedikit demi menghasilkan kasut import berjenama kita. Berapa ekar bukit bukau yang telah musnah menjadi kuari batu yang kontang demi memuaskan nafsu kita untuk rumah yang besar walaupun penghuninya hanya dua orang. Berapa ramai pula orang-orang kampung miskin yang dipaksa pindah dengan pampasan seciput untuk memberi ruang membina rumah besar kita. Yang akhirnya mereka inilah yang terjebak dengan jenayah dan gejala sosial keraja tekanan hidup. Berapa juta pula ikan tuna yang kita musnahkan sehingga ia hampir pupus demi kita menikmati Sushi mewah di hotel-hotel lima bintang, bukan untuk kenyang, hanya untuk rasa. Fikir-fikirkanlah...

Kami kongsikan disini link video Killing Us Softly 4 daripada aktivis anti eksploitasi wanita dari Amerika Syarikat. Beliau telah mengkaji bagainama iklan mempergunakan imej wanita semata-mata untuk menjadi objek seks bagi melariskan produk.

 (Amaran: gambar-gambar iklan yang ditunjukkan dalam video ini tidak ditapis) 

Nurfitri Amir Muhammad
Pengerusi UNGGAS Malaysia

No comments:

Post a Comment