Persoalan peningkatan gejala sosial muda-mudi sehingga menjuruskan kepada akibat yang tidak sihat merupakan antara bahan pemikiran dan perbincangan yang sering dikupas dalam pelbagai program kesedaran seperti ceramah, forum dan bengkel pemantapan rohani. Sebagai seorang aktivis dakwah dan sosial yang mengendalikan isu-isu sosial, penulis pula menjadikan aktiviti turun lapanganan sebagai sebuah kaedah untuk meninjau sendiri permasalahan yang sering berlegar dalam kalangan remaja pada hari ini dengan melakukan tinjauan di tempat-tempat yang dipercayai merupakan kawasan untuk anak-anak remaja berkumpul dan berseronok. Tinjauan yang bermula selepas zuhur hingga lewat malam membawa penulis melihat sendiri keadaaan sebenar yang membentuk pelbagai kerosakan yang wujud dalam diri golongan belia pada hari ini.
Kawasan tinjauan pula meliputi kompleks membeli belah dan bangunan-bangunan terbiar. Tinjauan ke kawasan-kawasasan tertentu mendapati tin-tin arak, botol-botol gam, kesan-kesan tempat berzina, kondom, contengan-contengan kata-kata lucah didinding menjadi antara bentuk sebenar kawasan yang membentuk kerosakan generasi muda pada ketika ini. Penulis terbayang bagaimanakah mereka sanggup melakukan aktiviti mungkar di kawasan ini justeru penulis sendiri merasa jijik dan sesak nafas menghidu bau yang begitu busuk dan hapak. Ditambah lagi dengan keadaan kawasan tersebut yang gelap dan berair disebabkan kebocoran siling, maka penulis beranggapan mereka yang sanggup beraktiviti di situ merupakan golongan yang tegar untuk melakukan kemungkaran.
Kompleks membeli belah pula merupakan kawasan yang menjadi tempat pertemuan antara sesama kekasih dan kumpulan tertentu. Mereka akan menghabiskan sejumlah masa yang banyak untuk bermain permainan di mesin slot. Kebiasaannya pusat permainan ini terletak di tingkat atas dan di sekitarnya pula terdapat pusat snuker dan boling. Mesin slot tersebut pula mengandungi banyak elemen keganasan dan lucah selain beberapa permainan yang berunsurkan judi. Keadaan juga menjadi buruk apabila tidak ada penguatkusaan oleh pihak berwajib untuk menghalang remaja-remaja daripada masuk ke kawasan permainan slot tersebut. Bahkan remaja-remaja juga boleh bermain apa sahaja permainan tanpa kawalan sesiapa. Maka secara ringkasnya penulis boleh mengatakan bahawa permainan yang menjadi pilihan utama golongan ini tentulah yang berunsurkan seks dan lucah. Bahkan beberapa rakan aktivis penulis juga turut diajar oleh seorang kanak-kanak berusia 10 tahun bagaimana mengendalikan mesin slot tersebut. Keadaan ini menunjukkan betapa licik dan mudahnya kanak-kanak seusia begini dihadapkan dengan alat-alat yang membentuk kerosakan dalam keperibadian remaja.
Mengapa kompleks membeli belah menjadi tempat pertemuan muda mudi yang menghabiskan masa seharian bersama-sama merupakan persoalan yang perlu difikirkan bersama. Berdasarkan temu ramah dengan beberapa remaja yang berkeliaran di kompleks tersebut mendapati bahawa antara alasan mereka ialah ibu bapa yang bercerai, ibu bapa yang sibuk bekerja, dorongan rakan-rakan, sengaja menghabiskan waktu cuti dan sebagainya. Lebih malang lagi ialah apabila terdapat kalangan muda mudi tersebut tidak pulang langsung ke rumah dan menjadikan kedai-kedai terbiar sebagai tempat melepak dan tidur. Kaji selidik ringkas juga mendapati faktor rumah yang sempit juga menyebabkan anak-anak menjadi bosan untuk berada di rumah, ditambah pula dengan kawasan perumahan flat yang tidak menggalakkan perkembangan jasadi dan rohani anak-anak. Maka mereka akan melepaskan perasaan yang tidak tenteram tersebut bersama rakan-rakan. Agak malang juga bila mendapati bahawa terdapat pusat-pusat berunsurkan Islam dan dakwah di sekitar kawasan yang penulis tinjau namun gagal memainkan peranan yang sewajarnya untuk membasmi kegiatan tidak bermoral yang berlaku di sekitar kawasan tersebut.
Terdapat juga remaja yang membawa adik kecil yang berusia seawal lima hingga enam tahun. Penulis merasakan kebenaran bahawa remaja pada ketika ini “matang sebelum usia”. Malangnya kematangan tersebut tidak pula diarahkan untuk melakukan sesuatu yang bermanfaat dan membanggakan ibubapa. Kematangan yang berlegar dalam jiwa anak-anak remaja sedari sekolah rendah dan menengah ialah kematangan berlumba motosikal, melayari laman-laman web lucah, bercakap soal-soal seks dengan rakan sebaya, memiliki keinginan naluri seks dalam relatif usia yang masih muda. Hal ini belum lagi ditambah oleh remaja perempuan yang sudah cekap memilih pakaian yang ranggi dan canggih, mengenakan mekap di wajah, bercakap soal lelaki dan pekerjaan dan sebagainya. Bentuk-bentuk matang sebelum usia seperti ini merupakan masalah kita yang amat rumit untuk ditangani namun bukan mustahil untuk segera dikendali.
Apa yang dapat penulis jadikan kesimpulan awal ialah isu pembuangan bayi yang semakin meningkat berlaku bukan semata-mata satu isu yang terasing bahkan mempunyai satu “pakej mungkar” yang saling melengkapi. Perhubungan lelaki dan perempuan tanpa kawalan, pusat hiburan yang tumbuh merata-rata dan kurangnya perhatian ibu bapa, masyarakat dan pihak sekolah. Tambahan pula, dengan penyebaran klip video lucah yang sangat mudah untuk diperoleh di internet atau boleh dimuat turun di kedai-kedai telefon bimbit menyebabkan golongan belia sering dirangsang naluri seksnya. Apatah lagi pergaulan bebas yang menjadi perkara biasa dalam kehidupan seorang belia ketika ini, maka naluri seks tersebut menjadi lebih mudah untuk disalurkan melalui jalan berzina. Perlakuan zina tersebut bukanlah dilakukan atas kesedaran yang waras tetapi hanya untuk tujuan keseronokan semata-mata. Maka apabila menyedari dirinya sudah hamil, ditambah pula dengan pemikiran yang tidak matang maka jalan yang tidak matang juga yang akan diambil iaitu jalan yang termudah untuk dilakukan; membunuh atau membuang sahaja bayi yang dilahirkan.
Penulis merasakan kerosakan yang berlaku dalam persekitaran pembangunan generasi muda pada ketika ini amat merisaukan justeru sifat kasih sayang dan kemanusiaan hampir sudah dihilangkan dan terhakis dalam diri mereka sendiri. Hal inilah yang menyebabkan kita dengan mudah pula mendengar berita-berita yang sangat menyanyat hati seperti kes buli sehingga menyebabkan kematian, bunuh bayi dalam kandungan, gaduh antara sesama kumpulan samseng sehingga menyebabkan kematian dan kecederaan, rempit dan rogol. Majoriti besar yang terbabit dalam kes ini merupakan golongan belia yang bakal menjadi generasi yang bakal meneruskan kesinambungan pemerintahan negara suatu masa nanti. Jika beginilah bentuk generasi yang wujud pada hari ini dengan dilambakkan dengan pelbagai isu yang melemaskan hati dan fikiran, maka apakah pula harapan kita untuk negara ini pada masa mendatang?
Mohd Arif Juhani bin Abdul Rahman
Aktivis Urusetia Menangani Gejala Sosial (UNGGAS)
Persatuan Ulama Malaysia Pulau Pinang (PUMPP)
No comments:
Post a Comment