Wednesday, February 15, 2012

Kenyataan Media Kempen Menutup Aurat Antarabangsa

Menyedari kepentingan untuk menerapkan nilai-nilai Islam dalam masyarakat yang kini hebat dilanda konflik identiti, kami mengumumkan pelancaran penubuhan Gerakan Menutup Aurat yang terdiri daripada gabungan 10 NGO Islam di Pulau Pinang. Diharapkan dengan usaha yang bersepadu ini, dapat menarik minat masyarakat umum untuk lebih mengenali cara hidup Islam secara syumul khususnya dalam aspek menjaga aurat dan pergaulan. Dengan ini, 14 Februari setiap tahun akan dijadikan Hari Kempen Menutup Aurat Antarabagsa dengan disertai oleh NGO bersekutu kami di Indonesia, Thailand, Hong Kong, England, Macau.  Pemilihan 14 Februari sebagai Hari Kempen Menutup Aurat ini adalah berdasarkan fakta meningkatnya pergaulan bebas dikalangan belia dan juga sebagai simbolik menentang ekspliotasi komersial terhadap kerosakan akhlak belia muslim. Hari ini, telah dijadikan modal promosi untuk melariskan perkhidmatan dan produk para peniaga menerusi iklan-iklan yang menggalakkan pergaulan bebas dan cinta tanpa batasan syariah. 

Kami menghormati perayaan Valentine sebagai satu kebudayaan yang menurut kajian, berasal daripada penyembahan dewa cinta masayarakat Rom Kuno dan dikaitkan juga dengan hari memperingati jasa pederi St. Valentine di Itali yang mempromosikan percintaan. Namun, perlu diingat bahawa masyarakat muslim dilarang menyambut perayaan ini atas aspek kaitannya dengan sambutan keagamaan agama lain dan juga imej pergaulan bebas yang dibawanya. Justeru, kami menyeru segenap lapisan masyarakat muslim untuk menyokong usaha ini secara berterusan saban tahun. 

Kempen menutup aurat merupakan satu kempen yang mudah difahami dan ringkas namum penting dalam Syariat Islam. Menutup aurat merupakan perkara wajib yang perlu dilaksanakan oleh setiap Muslim. Kami bersyukur kerana ada kesedaran menutup aurat dikalangan belia Malaysia namun kefahaman berkenaan cara menutup aurat dengan sempurna disertai dengan akhlak yang baik masih memerlukan usaha yang berterusan. Kami percaya, apabila segenap masyarakat baik lelaki atau perempuan menutup aurat dengan sempurna dan dengan kefahaman yang jelas terhadap falsafah dan pengajaran disebalik adab berpakaian ini, masyarakat yang lebih harmoni dapat diwujudkan dengan tersebarnya sikap saling menghormati dan sentiasa menjaga maruah diri dan keluarga.

Mardziah Zakaria                                                                                                    14 Februari 2012
Ketua Hal Ehwal Wanita Masjid At-Taqwa  dan
Ahli Jawatankuasa Persatuan Pergerakan Muslimah (SALIMAH)
                                                                                                                                
Pertubuhan NGO yang terlibat :
1
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)  
Aktivis Pengupayaan Insan (API)
      Pertubuhan IKRAM Pulau Pinang
      Pertubuhan ISMA Pulau Pinang
      Kelab Remaja Lestari (KRL)
      Komuniti Suara Kehidupan (KOSUKE)
      NISA’ Pulau Pinang
      Qaryah Masjid At-Taqwa
      Persatuan Ulama Malaysia Caw Pulau Pinang
      Pertubuhan Menangani Gejala Sosial Malaysia (UNGGAS Malaysia)

No comments:

Post a Comment