Wednesday, August 15, 2012

RAMADHAN DISCOVERY: SIAPA MEREKA DI HATI KITA

" Sebaris Senyuman Tidak Bermakna Jika Kita Tidak Pernah Untuk Menyelami Kehidupan Dan Kesusahan Mereka Insan Bergelar Gelandangan"


Program ”Ramadhan Discovery: Siapa Mereka di Hati Kita” ini wujud hasil daripada perbincangan yang serius pihak UNGGAS  tentang kepentingan mengambil peduli tentang nasib gelandangan dan cara mengatasi masalah gelandangan ini. Hal ini demikian kerana pada pengamatan dan pemerhatian pihak UNGGAS sejak 2 tahun kebelakangan ini orang tak berumah atau gelandangan ini makin memenuhi Pulau Pinang. Fenomena ini makin menjadi-jadi apabila menjelang Ramadhan.Ada yang sanggup datang dari negeri-negeri lain semata-mata untuk mendapatkan sumbangan orang ramai.

Sebagai negeri yang menjadi tarikan kepada sektor pelancongan, kehadiran gelandangan ini mungkin agak sedikit mencacatkan wajah ceria sekitar tapak warisan dunia. Ia juga mungkin akan mengundang persepsi buruk pelancong kepada negara. Oleh itu, UNGGAS berasa terpanggil untuk mengetahui masalah sebenar yang membelenggu kehidupan golongan seperti ini dan kenapa memilih untuk berada di kawasan tumpuan orang ramai. Program ini diadakan bukanlah hanya sekadar program jangka pendek sahaja. UNGGAS sedang merancang untuk mengadakan susulan program ini. Oleh itu, pada 26 Julai dan 30 Julai 2012 yang lalu, kami bersama beberapa orang sukarelawan turun padang untuk mengutip data gelandangan yang ada sekitar kawasan Masjid Kapitan dan Chulia Street.Sebanyak 103 borang telah berjaya diisi. Daripada maklumat yang diisi dalam borang, ada diantara gelandangan ini telah hidup bergelandangan selama 25 tahun.

Saturday, August 4, 2012

Kenyataan Media : Isu Gelandangan Pulau Pinang Dan Program Ramadhan Discovery


Kenyataan Media

Isu Gelandangan Pulau Pinang Dan Program Ramadhan Discovery

Pertubuhan Menangani Gejala Sosial Malaysia (UNGGAS), Pertubuhan Aktivis Pengupayaan Insan (API) dengan kerjasama Universiti Teknologi Petronas (UTP) serta kariah Masjid Kapitan Keling mengumumkan bahawa pada hari ini satu program bertemakan “Ramadhan Discovery: Siapa Mereka di Hati Kita?”.
Program pada hari ini telah mendapat sumbangan daripada pihak MPPP dan juga PUZ sebanyak RM4000 ringgit manakala selebihnya melalui kutipan awam UNGGAS dalam bentuk beras, pakaian dan juga wang.
Dapat kita lihat pada bulan Ramadan, golongan gelandangan adalah antara golongan yang akan memenuhi jalanan di sekitar Georgetown. Komuniti gelandangan ini juga adalah berbeza daripada bulan-bulan yang lain kerana sebahagian yang datang dan berkampung di sini pada bulan Ramadhan ini berasal dari negeri lain seperti Kedah dan Perak. Perlu dijelaskan bahawa program ini bukan bertujuan untuk menggalakkan golongan ini hidup meminta-minta tetapi lebih kepada satu program advokasi dan pengumpulan maklumat.
Setelah hampir saban tahun menjalankan program untuk warga jalanan ini, kami mendapati tiada satu tindakan yang efektif dan berterusan daripada pihak berwajib untuk menangani permasalahan ini. Kita perlu sedar bahawa golongan ini tidak boleh dianggap sebagai satu kelompok sahaja kerana mereka sebenarnya terdiri daripada pelbagai latar belakang yang memerlukan kaedah yang berlainan untuk ditangani.
Melalui satu mesyuarat yang telah dipengerusikan oleh Unit Korporat MPPP bersama wakil JKM, PUZ, Pejabat Daerah serta UNGGAS, masalah utama yang dihadapi oleh pihak-pihak berkenaan adalah kekurangan data yang lengkap untuk mengkelaskan setiap gelandangan terbabit. Melalui pengkelasan individu gelandangan ini, mudahlah pihak-pihak berwajib mengambil tindakan penguatkuasaan (jika didapati ada kesalahan) dan juga kebajikan kepada mereka yang benar-benar layak. Kami juga ada mencadangkan agar diwujudkan sebuah rumah perlindungan harian yang boleh menjadi ‘one stop center’ bagi tujuan pengdokumentasian, penguatkuasaan dan kebajikan ini. 
Dalam program kali ini, hanya 103 orang sahaja yang dapat didokumentasikan kerana jumlah sumbangan yang terhad.
UNGGAS dengan kerjasama pihak-pihak tersebut mengadakan program khas ini bertujuan untuk meraikan kelompok gelandangan, dalam masa yang sama cuba berusaha mewujudkan pusat perlindungan (shelter).
Antara tujuan lain selain mengumpul maklumat gelandangan yang ada di Pulau Pinang, kami mendekati golongan ini bagi tujuan dakwah dan pendidikan, perkara ini penting kerana apa yang mereka lebih perlukan adalah perubahan sikap di samping bantuan untuk meneruskan kehidupan. Kami juga tidak mahu, kejadian rakan NGO kami dari API yang bertembung dengan mubaligh Kristian ketika mereka sedang berdakyah kepada golongan gelandangan muslim seperti mana yang disiarkan akhbar Berita Harian dan Sinar Harian  berulang lagi.
Sekian, Terima Kasih.

NurFitri Amir Muhammad                                                                             3 Ogos 2012
YDP UNGGAS Malaysia

Tuesday, July 31, 2012

KUTIPAN DATA GELANDANGAN SEKITAR MASJID KAPITAN KELING

Salam Ramadhan

PROGRAM DISCOVERY RAMADHAN

Seperti Tahun sebelumnya Pihak Unggas turun kelapangan sekali lagi membawa peserta-peserta yang berminat untuk menyelami kehidupan gelandangan di Sekitar George Town Penang. Mereka didedahkan dengan realiti kehidupan di Kota Kapitalis dan masalah yang membelenggu mereka.

Kali ini setelah membentangkan Kertas Cadangan pusat Perlindungan warga Jalanan [PEWAJA], Pihak JKM, MPPP dan PUZ meminta UNGGAS menjalankan satu saringan bagi membentuk 1 DATABASE yang menyenaraikan maklumat golongan Gelandangan di sekitar George Town.







Secara kasarnya lebih kurang 100 lebih golongan fakir miskin dan homeless mendaftarkan maklumat diri mereka kepada sukarelawan Unggasdan Kupon bantuan diberikan kepada mereka untuk ditebus pada 3 Ogos nanti pada Program Dicovery Ramadhan

Katil di Kaki Lima


















Hanya mampu tidur untuk menahan lapar,
Sementara menunggu waktu berbuka.














Pak Cik Ramli yang mengalami penyakit Hati bengkak dan jangkitan Peparu
memerlukan sedikit bantuan wang bagi menjalani rawatan di Hospital Kepala
Batas, beliau mendengar pada bulan Ramadhan Bantuan Zakat diberikan di Masjid
Kapitan dan beliau datang meminta simpati. Kami akan cuba mendaftarkan Pak cik
masuk ke senarai mereka yang menrima bantuan Zakat bagi meringankan Beban.



















Golongan Pelarian dari Rohingnya
yang meminta Sedekah di hadapan Masjid
Kapitan.


Bukti KAD UNHCR 
[The UNITED NATION REFUGEE AGENCY]
yang dibawa oleh pelarian dari Rohingnya.
Database mereka dikumpul oleh kami bagi membolehkan mereka menumpang di sebuah Pusat perlindungan Warga Jalanan yang bakal dibina kelak.

Sukarelawan Kami Meneruskan Pendaftaran
di Malam hari di Chulia Street untuk bertemu
golongan Penarik beca yang tidak berumah di sana.

Suasana hening Senja
Masjid Kapitan Keling, Georgetown,

Penang

Sifatnya yang Pemurah memberi makanan
bubur lambuk, moreh dan Zakat menyebabkan
ia menjadi 'Main Attraction' bagi Fakir miskin, warga jalanan, Pelarian dan Pengemis untuk berkampung di sini bagi mencari
'Rezeki Ramadhan'

Tuesday, July 24, 2012

PENCARIAN SUKARELAWAN UNTUK RAMADHAN DISCOVERY: "SIAPA MEREKA DI HATI KITA" DAN RAYUAN SUMBANGAN

Sukacita dimaklumkan UNGGAS Malaysia dengan kerjasama Universiti Teknologi Petronas (UTP) , NGO muda Pulau Pinang, qaryah Masjid Kapitan Keling dan agensi kerajaan akan mengadakan satu program bersempena dengan kedatangan bulan Ramadhan yang mulia ini. Hal ini demikian kerana pada bulan ramadhan, golongan gelandangan adalah antara golongan yang akan memenuhi jalanan di sekitar Georgetown. UNGGAS dengan kerjasama pihak-pihak di atas akan mengadakan program khas iaitu "Ramadhan Discovery: Siapa Mereka Di Hati Kita " bagi meraikan kelompok ini, dalam masa yang sama cuba berusaha mewujudkan pusat perlindungan ( shelter) untuk golongan ini.

Antara impak yang boleh diperoleh dari program ini adalah:
  • Mengumpul maklumat gelandangan yang ada di Pulau Pinang.
  • Mengenalpasti isu sebenar yang dihadapi oleh golongan ini.
  • Mendekati golongan ini bagi tujuan dakwah dan pendidikan.
  • Mengenalpasti masalah sebenar gelandangan.
  • Peserta akan didedahkan kepada realiti kehidupan masyarakat.
Untuk program ini kami mencari sukarelawan yang berminat untuk membantu kami untuk menjayakan program tersebut yang dijangka akan diadakan pada 3 dan 4 Ogos 2012. Selain sukarelawan daripada Universiti Teknologi Petronas ( UTP ), kami juga berbesar hati untuk menerima sukarelawan lain pada program tersebut. Jom ramai-ramai kita membantu demi kesejahteraan masyarakat. 


UNGGAS Malaysia juga berbesar hati untuk menerima sumbangan daripada orang ramai yang sudi untuk menyumbang kepada 200 gelandangan sempena program ini.Diharapkan dengan sumbangan ini dapat memberi sedikit kegembiraan kepada insan-insan gelandangan ini.


Thursday, July 19, 2012

RAYUAN RAMADHAN 1433 HIJRAH

Sempena menyambut kedatangan bulan Ramadhan yang mulia ini. pihak UNGGAS ingin mengadakan sedikit kutipan derma rayuan ramadhan untuk membiayai aktiviti-aktiviti UNGGAS yang akan berlangsung sepanjang tahun... jika tidak keberatan atau mempunyai lebihan wang bolehlah menyalurkan sumbangan anda kepada kami. Moga rahmat Allah sentiasa mengiringi kebaikan kalian. moga rezeki kalian juga bertambah-tambah dan berkat.

Tuesday, June 26, 2012

CERITA KAMI, KISAH ANDA JUA : Hati Seorang Ibu; Anakku Seorang Pelacur !!!


Hati Seorang Ibu : Anakku Seorang Pelacur !!!

“Disebabkan makcik terlalu kecewa dan buntu, makcik pernah doakan supaya anak itu mati. Lebih baik mati daripada menyusahkan orang lain!!”

Sebenarnya saya sangat ingin menyelami hati wanita itu. Seorang  wanita separuh umur yang anaknya terlibat gejala sosial. Dia sudah terlalu buntu. Suaminya juga punya rasa yang sama sepertinya.

“Adik (gelarannya kepada saya) tahu, suami makcik sudah beberapa kali kata nak pijak dia sampai mati. Setiap kali kami  bangun tidur, perkara pertama yang kami fikirkan adalah dia, anak tak tahu diuntung itu.”

Wajah si ibu  kelihatan terlalu geram. Seketika, dia menyapu air mata yang mula mengalir di pipinya.  Deras sekali.Menandakan kesedihan menyelinap jiwa dan seluruh dirinya.


 “Makcik bukan bencikan dia, tapi perbuatannya kepada kami ibu bapa kandungnya sungguh melukakan hati. Dia tak mahu sekolah, lepas tu kejar lelaki sana sini. Kepala batunya bukan kepalang. Tiada satu pun perkataan kami dia nak dengar. Penipunya, jangan kiralah.”

Pertemuan petang itu diatur khusus untuk memberi kaunseling kepada seoang remaja perempuan yang terlibat dengan kes pelacuran. Anak ibu berwajah sendu tadi. Bersama tiga orang sahabat dan seorang ustazah, kami bawa dua beranak itu ke sebuah surau. Seusai melakukan solat Asar, kaunseling dijalankan. Ustazah memberi kaunseling kepada anak perempuannya, dan saya diminta memberi kaunseling ringan-ringan kepada si ibu. 
Sepanjang perbualan, saya dapati si ibu sudah terlalu berputus asa. Mungkin kerana segala usahanya untuk memulihkan anak  sulungnya itu menemui jalan buntu.

“Disebabkan makcik terlalu kecewa dan buntu, makcik pernah doakan supaya anak itu mati. Lebih baik mati daripada menyusahkan orang lain!!” 

Monday, May 7, 2012

Laporan Program Meniti Ranjau Malam Siri 1

Setelah melakukan perjumpaan dan pemetaan gelandangan sebelum ini, akhirnya Program Meniti Ranjau Malam Siri 1 selamat diadakan. Program ini telah berlangsung pada 3 Mei 2012. Program anjuran Persatuan Kerja Sosial Universiti Utara Malaysia dengan kerjasama Yayasan Sinar Salam Malaysia Zon Utara dan UNGGAS Malaysia telah disertai oleh hampir 70 peserta. Peserta telah berkumpul di Pusat Operasi UNGGAS seawal 7.35 malam. setelah makan malam dan solat jamak, peserta diberi taklimat dan tunjuk cara semasa turun padang nanti. Taklimat ini dikendalikan oleh penggerak-penggerak UNGGAS iaitu Nurfitri Amir, Ustaz Kamaruddin dan Bukhari.

Aktiviti sebelum turun lapangan: -ketibaan rombongan peserta, solat berjemaah, makan malam dan taklimat serta pembahagian kumpulan.


Aktiviti semasa turun lapangan: - Memberi makanan kepada gelandangan sekitar Komtar, Menemubual Gelandangan, Sesi perkongsian dan sesi pemberian cenderahati.

Thursday, May 3, 2012

Program Ranjau Malam Siri 1

Program Ranjau Malam Siri 1 akan berlangsung malam ini ( 3 Mei 2012). Program hasil kerjasama diantara UNGGAS MALAYSIA, Persatuan Kerja Sosial Universiti Utara Malaysia dan Yayasan Salam ini akan bermula seawal 9 malam. Peserta yang dijangka berjumlah 60 orang akan berkumpul di Pusat Operasi UNGGAS di Serambi Dakwah Bagan Lalang untuk taklimat perjalanan program. Selepas taklimat, peserta akan di bawa ke 6 kawasan sasaran sekitar Georgetown. Bahagian turun lapangan ini akan dikelolakan oleh Pertubuhan Aktivis Pengupayaan Insan Malaysia (API MALAYSIA ) dan UNGGAS Malaysia. 

Thursday, April 26, 2012

PEMETAAN GELANDANGAN DI SEKITAR GEORGETOWN

Pada 25 April 2012 yang lepas, UNGGAS Malaysia bersama-sama dengan Koordinator Zon Utara Yayasan Salam Malaysia Haji Fazilah B. Ismail serta wakil pelajar jurusan Kerja Sosial Universiti Utara Malaysia telah turun ke lapangan untuk melakukan sedikit pemetaan sosial untuk isu gelandangan di sekitar Georgetown.  Pemetaan komuniti ini diadakan adalah sempena Program Meniti Ranjau Malam Siri 1 yang akan diadakan pada 3 hingga 4 Mei ini di sekitar Komtar, Pulau Pinang. Program ini adalah hasil kerjasama antara Persatuan Kerja Sosial Universiti Utara Malaysia, Pertubuhan Menangani Gejala Sosial Malaysia ( UNGGAS Malaysia) dan Yayasan Salam Malaysia Zon Utara.

Kami mula berkumpul di Pejabat Urusan UNGGAS seawal 9.30 malam untuk bersama-sama mengadakan sedikit perbincangan dan taklimat tentang program tersebut. kami mula bertolak ke Georgetown kira-kira 11 malam untuk pemetaan komuniti.

Gambar-Gambar sekitar pemetaan komuniti:

   Sesi perbincangan
Wakil Yayasan Salam Wilayah Utara ( Berbaju Kuning)

Wednesday, March 21, 2012

PAMERAN STATIK SEMPENA KARNIVAL INDAH TAMAN AIR ITAM

Pada 18 Mac yang lalu, UNGGAS Malaysia telah dijemput oleh Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Kampung Melayu untuk mengadakan pameran statik bersempena dengan Karnival Indah Taman Air Itam.  Pelbagai program yang menarik telah diadakan sepanjang karnival berlangsung. Antara agensi yang turut sama dalam pameran tersebut ialah pihak Perpustakaan Awam Daerah Timur Laut,Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Alam Sekitar, Lembaga Tabung Haji, Klinik Kesihatan Daerah, Jabatan Bomba Dan Penyelamat, dan beberapa agensi lain lagi.

Gambar-Gambar Sekitar Program:


Tuesday, March 20, 2012

BENGKEL PEMBANGUNAN MANUAL ISLAM DAN MAK NYAH

Pada 13-15 Febuari 2012 yang lalu, Jabatan kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah menganjurkan satu bengkel yang dinamakan Bengkel Pemantapan Manual Muslim Dan Mak Nyah. Bengkel ini diadakan dengan tujuan untuk mewujudkan satu manual khas berlandaskan Islam untuk menangani isu Mak Nyah. Bengkel ini dihadiri oleh wakil-wakil daripada UNGGAS Malaysia, Majlis Agama Islam Selangor, Kementerian Kesihatan Malaysia Bahagian AIDS/STI, Kementerian Wanita, Keluarga Dan Masyarakat, Bekas Mak Nyah, Persatuan Ulamak Cawangan Wilayah Persekutuan, Majlis AIDS Negara dan beberapa organisasi lain.



Sepanjang tiga hari berada di sana, pelbagai input yang berharga telah diterima. Hari pertama kami berada di sana, kami didedahkan dengan pembentangan kertas kerja Oleh Dr. Zulkifli Bin Mohamad al-Bakri yang bertajuk “ Mak Nyah dari perspektif Islam”. Dalam pembentangan ini, beliau mengupas tentang definisi mak nyah, hukum berkenaan mak nyah serta cadangan untuk menyelesaikan masalah ini.

Friday, March 2, 2012

MEMBANTAH GERAKAN UNTUK MENERIMA DAN MENYEBARLUASKAN KANDUNGAN RESOLUSI 17 JUN 2011, PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU BERKENAAN ORIENTASI SEKSUAL & IDENTITI GENDER DAN HAK KEBEBASAN BERAGAMA


KENYATAAN AKHBAR PERTUBUHAN-PERTUBUHAN PEMBELA ISLAM (PEMBELA)

1 HARIBULAN MAC 2012 BERSAMAAN 8 RABIUL AKHIR 1433

MEMBANTAH GERAKAN UNTUK MENERIMA DAN MENYEBARLUASKAN KANDUNGAN RESOLUSI 17 JUN 2011, PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU BERKENAAN ORIENTASI SEKSUAL & IDENTITI GENDER DAN HAK KEBEBASAN BERAGAMA


Pada 17 Jun 2011, Majlis Hak Asasi Manusia (HAM) Pertubuhan bangsa-bangsa Bersatu telah meluluskan suatu resolusi berkenaan apa yang didakwa sebagai pencabulan hak asasi manusia berdasarkan orientasi seksual dan identiti gender. Walaupun mendapat sokongan yang kecil (hanya 23 negara yang menyokong), resolusi ini telah diluluskan dan bakal menzahirkan akibat yang sangat besar terhadap kelangsungan tamadun manusia dan kehidupan beragama. Resolusi ini terhasil dari tafsiran yang dangkal dan dimanipulasi mengenai fitrah seksual manusia, norma-norma kehidupan beradab serta menafikan peranan dan pengaruh agama di dalam kesejahteraan manusia. Resolusi tersebut meletakkan golongan LGBT di tempat yang salah, dengan memberikan pengiktirafan yang mengelirukan kepada mereka tanpa menyelesaikan permasalahan sebenar mengikut lunas agama dan nilai-nilai sebenar kemanusiaan.